Archive

Archive for July 4, 2009

Mabuk Hakiki Mabuk Majazi

FRIDAY NITE

Itulah Belfast pada setiap Jumaat malam Sabtu. Friday Nite, kata orang Irish.

Jumaat malam Sabtu adalah malam semua orang lupa diri.

Saya masih ingat, semenjak tinggal di London lagi, Jumaat malam Sabtu memang menakutkan. Balik kerja dengan menaiki Underground, orang mabuk bergelimpangan, muntah di sana sini. Sungguh memualkan.

Keadaannya lebih buruk lagi di Ireland. Bak kata seorang American di dalam filem Angela”™s Ashes, “lipas pun kaki mabuk, kalau bangsanya Irish!”

Jika ada orang masih mempertikaikan mengapa agama mengharamkan arak, saya dapat menyaksikan betapa besarnya hikmah akal manusia ini dipelihara. Apabila fungsinya dihilangkan dengan mabuk, manusia berubah menjadi haiwan.

Tiada maruah dan harga diri.

Sering sahaja di subuh Sabtu, apabila saya menuju ke Masjid, saya akan dapat melihat ada Irish yang tidur di perhentian bas, berbaring di depan pintu dan macam-macam lagi permandangan yang menjelekkan. Lelaki atau perempuan… sama sahaja.

Irish dan mabuk… adalah dua subjek yang beriringan. Bagaikan aur dengan tebing.

800px-stjamesgate.jpg

Malah tarikan utama pelancong asing ke Ireland, sama ada Utara mahu pun Republic, adalah Irish Pub. Jika ke Dublin, nostalgianya ialah pada melawat tempat lahirnya Guinness Stout diSt. James’s Gate Brewery yang gergasi.

Kadang-kadang mahu membeli cenderamata Irish pun susah sebab semuanya ada lambang Guinness.

KESAN ARAK DAN IRELAND

Kuatnya pengaruh beer seperti ini kepada Irish, mencatatkan beberapa perkara penting dalam hidup saya.

Semasa bertugas di Belfast Islamic Center, saya sering dikunjungi oleh seorang lelaki Irish yang sangat berminat dengan Islam, tetapi menghadapi masalah dengan arak.

“Saya tidak mahu menjadi muslim yang berdosa kerana meminum arak. Tetapi dari segi jiwa, saya anggap diri saya adalah seorang Muslim”, kata lelaki tersebut. Michael namanya, kalau tidak silap saya.

Memang jiwanya sudah “™Islam”™. Beliau mempunyai kefahaman yang jelas untuk menghuraikan di manakah Islamnya diri beliau. Kepercayaannya kepada keesaan Allah, kerasulan Muhammad S.A.W dan ketulenan al-Quran sebagai kalam Tuhan, semuanya diyakini dengan sepenuh hati. Cumanya, beliau takut untuk melafazkan Syahadah kerana tidak mampu membayangkan kehidupan tanpa arak. Juga takut menjadi Muslim yang berdosa.

“Menjadi Muslim yang minum arak, lebih baik daripada kamu kekal begini”, saya melayan persoalan beliau ketika berbual di pejabat masjid.

“Apabila kamu menjadi Muslim, yakinlah bahawa dengan sendirinya kekuatan itu akan datang. Take it easy, one by one!”, saya dan Jamal, Presiden masjid, tidak jemu-jemu memujuk beliau. Sudah setahun lebih beliau dilema sebegitu.

Saya akui, memang sukar untuk orang seperti Michael berpisah dengan arak. Dalam suasana seperti inilah, penting untuk kita menentukan prioriti di dalam dakwah.

MABUK-MABUK IRISH…

Akan tetapi, walau pun Irish ini suka mabuk, mereka adalah orang yang menyenangkan ketika akal mereka sedar. Tanpa arak, saya senang sekali berurusan dengan mereka.

Inilah hakikat yang menjadikan saya optimis, bahawa bumi Ireland adalah bumi yang subur untuk Islam. Kehidupan beragama masih ada tempat. Dan mungkin dengan Islam sahajalah, tabiat suka mabuk mereka dapat dikikis dan imej Irish yang serik dimomokkan oleh orang lain dapat diperbaiki.

Namun, apabila mengingati kembali kesan tinggal di negara mabuk seperti Ireland, adalah pada soal imunisasi saya terhadap arak ini. Ia suatu fitnah besar ke atas iman.

FITNAH DUDUK DI IRELAND

Selepas pulang ke Malaysia pada tahun 2004, saya pernah beberapa kali melihat orang minum arak di kaki lima Bukit Bintang. Pemandangan biasa.

Tetapi perasaan saya tersentak pada suatu hari…

“Astaghfirullah. Macam mana boleh tak rasa apa. Ni yang minum ni, bangsa Melayu, orang Islam. Bukan Irish!”, saya tergamam dan berhenti seketika di depan Lot 10.

Saya beristighfar dan mengurut dada. Dek kerana terlalu biasa melihat orang minum arak, sensitiviti saya terhadapnya terhakis. Hingga apabila saya melihat bangsa seagama sendiri minum arak, hati saya tidak tergerak untuk mencelanya. Tak perasan…

Inilah fitnah hidup di luar negara. Apatah lagi di negara seperti Ireland.

Hal inilah yang saya pesankan kepada pelajar yang mengikuti kursus SKY HIGH anjuran KRIM. Saya mahu mereka serius dalam melakukan muhasabah diri dari semasa ke semasa ketika berada di perantauan, kerana tercalarnya iman… berlaku tanpa disedari.

irish-pub.jpg

Kesedihan di hati saya bertambah-tambah lagi apabila melihat Irish Pub tumbuh satu demi satu di negara sejauh Malaysia. Segala yang ada di tempat orang, semuanya mahu dibawa ke sini. Fitnah hidup di luar negara, tiada bezanya lagi dengan hidup di negara sendiri.

Semuanya mahu diimport ke sini.

Lagak Abrahah pula gayanya.

Mengapa Abrahah?

Abrahah cemburu dengan Kaabah yang menarik orang ramai datang ke Mekah. Beliau juga mahu Kaabah sendiri di kampung halamannya di Yaman.

Pemikiran itu jugalah yang bersarang di kepala sesetengah kita.

Mahu ada Paris sendiri (Bukit Tinggi), mahu ada salji sendiri (Bukit Cahaya, Shah Alam), mahu ada bangunan tertinggi sendiri (KLCC), mahu ada London Eye sendiri (Eye of Malaysia), mahu ada Irish Pub sendiri (lihat di Bukit Bintang) dan entah apa-apa lagi.

Tanpa Guinness pun, orang kita boleh mabuk. Mabukkan kemegahan, populariti dan nama…

AT-TAKAATSUR

at-takathur.JPG

  1. Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya kemegahan hidup.
  2. Sehingga kamu masuk kubur.
  3. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!
  4. Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!
  5. Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui – (apa yang kamu akan hadapi) – dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari Akhirat).
  6. (Ingatlah) Demi sesungguhnya! – kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.
  7. Selepas itu – Demi sesungguhnya! – kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!
  8. Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!

Sekeping Hati Milik Ibrahim

“Selawat Allah ke atas junjungan Muhammad, dan keluarga Muhammad, sebagaimana selawat-Mu ya Allah ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim,” bicara tasyahhud kita saban masa.

“Kami berpagi-pagian di atas fitrah al-Islam, dan kalimah al-Ikhlas, dan agama Nabi kami Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam, dan di atas jalan agama Ibrahim yang Haneef, tidak sekali-kali baginda itu dari kalangan manusia yang menyekutukan-Mu”, zikir kita mengiring terbitnya fajar pagi.

Ibrahim bapa sekalian Anbiya’.

Aidiladha mengangkat syiar memperingati pengorbanan dan kemuliaannya.

Ibrahim pemilik Hati yang Saleem.

Hati yang sejahtera.

QALBUN SALEEM

Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran tentang hati yang sejahtera () sebanyak dua. Sebutan yang pertama adalah berkenaan dengan hati yang sejahtera di dunia, manakala sebutan yang kedua menyentuh tentang Akhirat.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Saafaat [37: 83-84]:

“Dan di antara golongan yang mendokong (seruannya  Nuh) itu adalah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera”

Ayat ini dinyatakan oleh Allah SWT berkenaan dengan titik tolak Ibrahim Alayhi as-Salaam mencari kebenaran, melukis garis pemisah dirinya dengan syirik bapa dan kaumnya, serta asas perjuangan Baginda AS sebagai seorang Rasul.

Firman Allah SWT lagi di dalam surah al-Shu’araa’ [26: 88-89]:

“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera”

Ayat kedua ini pula menyatakan tentang kemutlakan hati sebagai satu-satunya bekalan bermanfaat yang dibawa oleh seseorang semasa mengadap Allah Azza wa Jalla di hari Akhirat nanti.

HATI YANG SEJAHTERA

Ia adalah terjemahan Bahasa Melayu kepada istilah asalnya Qalbun Saleem…. Hati yang bernilai tinggi itu diistilahkan sebagai hati yang ‘Saleem’. Ia berasal daripada perkataan umbi Sa-Li-Ma… yang menghasilkan makna linguistik:

i. Selamat

ii. Penyerahan / kepasrahan / keakuran

Oleh yang demikian, hati yang sejahtera ini terbentuk dengan asasnya yang utama iaitu penyerahan dan ketundukan yang mutlak kepada Allah SWT. Justeru itu hati yang sempurna tidak disebut sebagai ‘hati yang bahagia’ atau(Qalbun Sa’eed), bahkan tidak juga ‘hati yang sihat’ atau (Qalbun Saheeh)! Ini adalah kerana, kedua-kedua karakter itu hanyalah serpihan daripada makna yang terkandung di dalam pengertian hati yang sejahtera (Qalbun Saleem).

Memahami maksud yang terkandung di dalam makna hati yang sejahtera adalah amat penting kerana ia adalah kesimpulan kepada bekalan hidup dan bekalan akhirat. Bagi kehidupan di dunia, Allah SWT menyatakan bahawa, Ibrahim Alayhi as-Salaam, khalilNya, mencari Rububiyyah dan Uluhiyyah, menggariskan kebenaran dan menetapkan langkah di dalam perjuangan Baginda sebagai Rasul dengan berbekalkan hati yang sejahtera.

Firman Allah SWT:

“Dan di antara golongan yang mendokong (seruannya Nuh) itu adalah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera” [Al-Saaffaat 37: 83-84]

HATI YANG SEJAHTERA DI DUNIA

Ulama’ Tafsir telah menghuraikan tentang pengertian atau sifat-sifat yang terkandung di dalam hati yang sejahtera itu. Ia adalah hati yang menyerah kepada Allah, tunduk kepada kehendak dan kemahuan Allah SWT. Apabila hati itu menurut segala kehendak Penciptanya, maka dengan sendirinya ia terpelihara daripada segala yang mencemari pengabdiannya kepada Allah. Menurut Qatadah, ia adalah hati yang bebas merdeka dari syirik dan nifaq. [Fath al-Qadeer, Ash-Shaukani, j4 ms. 460, Dar al-Kalim at-Tayyib, 1998]

Hati yang bebas merdeka ini adalah hati yang murni dengan fitrahnya. Ia adalah hati yang suci bersih dari syirik yang mengelirukan manusia tentang ketuhanan. Ia juga adalah hati yang lepas bebas dari sifat nifaq yang melahirkan prejudis dan karakter dusta dan menipu. Menipu Alllah sedangkan yang sebenar-benarnya ditipu itu adalah dirinya sendiri.

HATI SEJAHTERA SEORANG YANG MENCARI KETUHANAN

Ibrahim Alayhi as-Salaam mendapat keupayaan untuk menemui jawapannya terhadap ketuhanan kerana Baginda membawa hati yang sejahtera, iaitu hati yang suci dari prasangka. Selepas kukuh berpegang dengan hidayah Allah, hati yang sejahtera itu juga tunduk sepenuhnya kepada ketentuan Allah yang memilih Baginda sebagai Rasul. Baginda tidak mempertikaikan pemilihan itu walaupun dengan ketentuan Allah tersebut, bererti Baginda akan berhadapan dengan musuhnya yang paling sukar iaitu bapanya sendiri, si pengukir berhala. Hati yang sejahtera tidak prejudis atau membantah-bantah ketentuan Allah.

Tegasnya, hati yang sejahtera bagi seorang yang sedang mencari ketuhanan bererti hati yang tiada prasangka atau prejudis terhadap Tuhan. Hati seperti ini adalah kunci utama untuk menemukan pemiliknya kepada kebenaran kerana ia membuka luas-luas pintu kepada segala input untuk dianalisa dengan adil dan saksama. Bagi seorang manusia yang sedang ‘mencari Tuhan’, hatinya tidak boleh prejudis. Prejudis adalah perkataan yang datang dari kalimah Bahasa Inggeris iaitu ‘prejudice‘ yang terbentuk dari dua perkataan iaitu ‘pre’ dan‘judgement’Prejudice ini bermaksud membuat keputusan terhadap sesuatu perkara yang sedang di dalam pertimbangan, sebelum sampai kepadanya bukti-bukti dan maklumat yang lengkap. Ia telah membuat sekatan mental, lantas menyempitkan pintu dirinya untuk menganalisa.

Kerana itulah, Allah SWT memilih untuk menjadikan bangsa Arab sebagai kader umat Muhammad SAW yang pertama. Bangsa Arab Jahiliah tidak berpemikiran sebagaimana kaum Rom dan Parsi yang sudah mempunyai mindset berasaskan falsafah dan kepercayaan mereka yang sudah begitu tersimpul dan berakar umbi. Bangsa Arab Jahiliah mensyirikkan Allah dalam bentuk yang mudah, hati mereka senang untuk sampai kepada hati yang sejahtera kerana mereka tidak prejudis kepada ketuhanan. Tiada mulhid atau atheist di dalam masyarakat mereka bahkan semuanya percaya kepada Rububiyyah Allah. Mereka mengiyakan Allah sebagai Tuhan yang menurunkan hujan dan mencipta langit dan bumi. Namun yang masih belum selesai hanyalah Uluhiyyah dan disiplin pengabdian mereka kepada Allah.

Seorang saintis yang luhur di dalam pengkajiannya, akan dengan mudah sampai kepada ‘menemui Tuhan’. Namun bagi saintis yang sudah ada mindset yang prejudis, hatinya akan sentiasa dilarikan daripada akur kepada Allah. Seorang pakar kejuruteraan genetik merasakan kewujudan Tuhan sudah tidak relevan kerana menemui upaya untuk mencipta makhluk mengikut kehendak dirinya. Tetapi prasangka dan prejudis telah membutakan dirinya dari suatu hakikat bahawa manusia yang paling cerdik hanya mampu mencipta sesuatu daripada ada kepada ada. Namun Tuhan mencipta sesuatu dari tiada kepada ada. Sesuatu yang mustahil bagi manusia, walaupun sekadar sebelah kepak nyamuk!

HATI SEJAHTERA SEORANG MUKMIN

Manakala bagi seorang mukmin yang memiliki hati yang sejahtera, hatinya akur, tunduk dan patuh kepada segala ketetapan Allah SWT. Keputusan Al-Quran dan Sunnah NabiNya diterima dengan hati yang tunduk pasrah dan tidak lagi berbantah-bantah dan mempersoalkan “kenapa mesti aku?”, “kenapa mesti begitu” dan sebagainya.

Mungkin hati yang sejahtera inilah yang gagal dimiliki oleh seseorang yang terlalu gemar mempersoalkan suruhan dan larangan Allah ke atas dirinya. Hatinya bukan hati seorang hamba, kerana fitrah seorang hamba adalah akur sahaja kepada suruhan tuannya. Hamba Allah berasa gembira, sejahtera dengan segala apa yang diperuntukkan Allah kepadanya. Jika lelaki diwajibkan dan digesa solat berjemaah di masjid, hatinya dengan ghairah mahu patuh kerana penyerahan hatinya kepada Allah menjadikan dirinya terbuka untuk “menerima apa sahaja” dan diperlakukan semahunya oleh Tuan iaitu Tuhannya.

Namun, seorang hamba yang hilang sifat kehambaan, lebih suka mencari hak-hak untuk manfaat dirinya berbanding dengan peranan dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Sering mencari “APA UNTUK AKU” dan lupa kepada “AKU UNTUK APA”.

Hati yang sejahtera, adalah hati yang tidak malas dari beribadah. Ia adalah hati yang bingkas bangun ketika mendengar seruan Allah. Ia bukan hati nifaq yang bangun mendirikan solat dengan penuh rasa malas, serta amat sedikit mahu ingat kepada Allah Tuhannya [AL-Nisaa; 4: 142]

Hati yang sejahtera ini jugalah yang melahirkan suatu keazaman yang kukuh umpama keazaman Ulul Azmi seperti Ibrahim Alayhi as-Salaam yang melaksanakan perjuangannya di Iraq, Palestin, Mesir dan Hijaz dengan penuh sabar, ta’aluq cinta khullah yang mutlaq kepada Allah SWT.

Sesungguhnya hati yang sejahtera ini adalah hati yang berjaya memenuhi tujuan penciptaannya iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

MENGAPA HATI?

Manusia itu memiliki pelbagai unsur di dalam dirinya. Manusia itu adalah kombinasi tubuh badan fizikal, akal, nafsu dan hati. Namun keseluruhan kerajaan diri manusia itu, rajanya adalah hati. Akal yang beroleh maklumat menghasilkan ‘tahu’. Akan tetapi manusia tidak bertindak mengikut apa yang dirinya tahu. Pengetahuan tidak menjana tindakan apatah lagi untuk tindakan itu sampai menjadi tabiat atau sikap yang konsisten. Lazimnya manusia akan bertindak berdasarkan kepada kehendak hatinya. Hati itu akan membuat keputusan atas nasihat sama ada oleh akal atau sebaliknya, nafsu.

Maka segala perlakuan manusia itu, sebenarnya adalah natijah kepada kerja hati dan bukannya kerja akal. Dengan demikian itu, amat wajarlah untuk hati menjadi fokus. Ia tempat jatuh pandangan Allah, ia tempat terbit perilaku patuh kepada Allah. Maka segala perintah Allah berupa undang-undang, hukum hakam, suruhan dan larangan, semuanya akan muncul dengan titah hati sebagai raja kepada kerajaan diri seorang insan. Jika hatinya mengikut akal yang terpimpin oleh wahyu, terbentuk dengan ‘rasa’ yang terbit dari ketundukan nafsu, maka terbitlah taat dan istiqamah di dalam melaksanakan perintah Allah. Sesungguhnya taat atau maksiat, sangat bergantung kepada tahap kesejahteraan hati seorang manusia. Manusia yang bertemu Allah dengan membawa hati yang sejahtera adalah manusia yang mempersembahkan pita rakaman kepada segala ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah semasa menunaikan kewajipan hidup di dunia.

HATI YANG SEJAHTERA DI AKHIRAT

Firman Allah SWT:

“Hari (Akhirat adalah hari) yang tidak bermanfaat lagi harta mahu pun anak pinak. Kecuali seseorang yang datang kepada Allah dengan membawa hati yang sejahtera” [AL-Shu'araa' 26: 88-89]

Alam Mahsyar adalah alam penilaian terhadap manusia. Ia adalah hati pengisytiharan keputusan bagi ujian yang telah ditempuhi oleh manusia semasa hidupnya di dunia. Seandainya manusia hidup di dunia dengan berbekalkan hati yang sejahtera, maka hati itulah yang akan menjadi persembahannya kepada Allah di akhirat.

Prasangka manusia terhadap peri pentingnya harta dan anak-anak semasa hidup di dunia, akhirnya akan dihadapkan kepada kenyataan bahawa semuanya tidak bermanfaat lagi, kecuali bagi yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Hati yang sejahtera di dunia, akan menguruskan harta sebagai amanah Allah, lantas segala tuntutan dan tanggungjawab infaq ditunaikan. Hati yang sejahtera di dunia juga, akan menguruskan anak-anak sehingga terdidik dan membesar sebagai manusia soleh dan bertaqwa, memiliki hati-hati yang juga sejahtera kepada Allah.

Maka hati yang sejahtera di akhirat, adalah indikasi kepada nilai amalan seseorang. Hiduplah di dunia ini dengan hati yang sejahtera, dan temuilah Allah di alam mendatang juga dengan hati yang sejahtera, kerana di situlah letaknya kebahagian dan keselamatan yang kekal abadi.

Itulah hati seorang IBRAHIM, yang kita tinggikan namanya pada hening AIDILADHA ini.

Tsunami: Teladan al-Quran Dari Kisah Nuh ‘Alayhi al-Salaam

KULIAH MAGHRIB
“Pengantar Sejarah Islam”
SURAU AL-NUR SEKSYEN 5 WANGSA MAJU
(21 MEI 2007)

tsunami.jpg

Pengantar Sejarah Islam: Tsunami Nuh

Pastinya bencana Tsunami mengingatkan kita kepada peristiwa taufan dan banjir besar di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam. Dengan jumlah kematian yang begitu besar (mencecah lebih 120,000 orang), mungkin ia menyamai jumlah mereka yang ditenggelamkan oleh banjir di zaman Nuh Alayhi as-Salam. Ia adalah banjir yang meliputi keseluruhan muka bumi dan pengetahuan tentang pernahnya berlaku banjir besar itu, diiktiraf oleh semua tamadun manusia.

Sewajarnyalah kisah di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam itu dijadikan iktibar. Ini adalah kerana, Allah SWT mengekalkan ingatan umat manusia kepada peristiwa di zaman Nabi Nuh itu supaya ia terus menjadi peringatan, amaran dan pengajaran bagi sekalian umat manusia, mukmin dan kafir. Firman Allah SWT di dalam surah al-Haaqqah ayat 11-12:

“Sesungguhnya ketika air banjir itu melampau-lampau limpahannya, Kami telah damparkan kamu dengan selamat di dalam bahtera (Nabi Nuh) itu. Agar dengan itu Kami jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan bagi kamu. Dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga orang-orang yang mahu menerima pengajaran”

Apabila saya meneliti beberapa potongan ayat al-Quran tentang bencana di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam, saya mendapat kefahaman bahawa ia tidak jauh berbeza dengan bencana Tsunami 26 Disember lepas. Cuma mungkin berbeza dari segi skala kerana Tsunami yang Allah SWT datangkan kepada kita hanya menelan manusia yang menghuni daratan perairan Lautan Hindi, tidak segenap pelusuk bumi.

Renungilah ayat-ayat di dalam surah Hud ayat 40 – 41 berikut:

“Dan apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (faara at-tannur), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina) dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.

Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. ”

Kemunculan banjir besar di zaman Nuh itu bermula dengan limpahan air dari apa yang diistilahkan oleh al-Quran sebagai at-Tannur. At-Tannur ini pada makna asalnya adalah ketuhar atau oven yang digunakan untuk membakar roti. Ia dinamakan sedemikian rupa kerana di dalam ketuhar tersebut api marak membakar menyala-nyala di dalamnya.

Alangkah ganjilnya apabila kita cuba berfikir, bagaimana air keluar melimpah dari ketuhar yang di dalamnya api menyala-nyala!

Liqa’ Mutahaab FiLlaah

Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi di dalam kitabnya Al-Qasas Al-Qurani: ‘Ard Waqaa’ie’ wa Tahlil Ahdaath [Darul Qalam 1419H / 1998M] menyatakan bahawa hikmah Allah SWT di dalam hal ini amatlah besar. Sesuatu yang diketahui umum, air berfungsi memadamkan api. Akan tetapi jika api itu menyala-nyala di tengah air, bagaimanakah ia boleh dipadamkan? Bagaimanakah api dan air boleh ‘mesra’ di dalam ketuhar yang membakar itu?

Sesungguhnya fenomena seperti ini menggambarkan betapa miskinnya qudrat manusia untuk memadamkan api yang menyala-nyala itu sebagaimana mereka juga tidak mampu mengekang air yang melimpah-limpah dari punca api tersebut. [mukasurat 191]

Saya melihat fenomena banjir dan ombak besar di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam dan hubungkaitnya dengan ‘ketuhar’ itu dari satu sudut lain yang mungkin boleh difikirkan bersama. Kita sama-sama mengetahui bahawa ombak Tsunami ini dicetuskan oleh gempa bumi yang berlaku di dasar Lautan Hindi berhampiran Sumatera. Gempa bumi ini berkait rapat dengan Lingkaran Api Pasifik. Batu batan dan api yang membara di perut bumi ini menjadikan kawasan terbabit tidak stabil sehingga mencetuskan gelinciran benua dan jenis-jenis gempa bumi yang lain. Dalam erti kata yang lain, seolah-oleh ombak besar Tsunami ini datang dari ketuhar Lingkaran Api Pasifik yang saya sebutkan sebentar tadi.

Bahkan ombak besar yang melanda bencana di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam itu juga lebih hebat dari Tsunami tempoh hari. Ia digambarkan seperti gunung oleh Surah Hud ayat 42 – 43:

“Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.

Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. ”

Namun bagi kita hari ini, bagaimanakah sepatutnya kita mengambil pengiktibaran daripada bencana Tsunami tempoh hari? Apakah hanya dengan berfikir tentang usaha mengadakan sistem amaran awal semata-mata?

Kita bernasib baik kerana Tsunami itu tidak menelan semua sekali bahkan Malaysia mengalami keajaiban apabila angka kematiannya begitu kecil berbanding dengan negara jiran Acheh. Allah masih mengizinkan kita untuk bermuhasabah dan tidak membinasakan kita semua dengan suatu bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata. Firman Allah SWT:

“Dan takutlah kamu kepada bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata dari kalangan kamu secara khusus” (Al-Anfaal: 25

Tsunami tidak menelan Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong. Tsunami tidak mengundang rebah Flat Pekeliling di Kuala Lumpur walaupun gegarannya cukup kuat untuk mendesak penghuninya lari bertempiaran. Tsunami ini belum seperti ‘Tsunami di zaman Nuh Alayhi as-Salaam’.

Pertamanya, terimalah hakikat bahawa bencana ini bukan ‘kejadian alam tanpa sebab’. Ia adalah amaran Allah. Ia adalah peringatan yang maha menakutkan. Tsunami menelan Acheh yang menyaksikan penindasan pemerintah yang membunuh jutaan penduduk yang mahukan Acheh berdiri bebas merdeka. Bukit bukau di Acheh menjadi gunung kubur manusia yang dibunuh kejam. Tsunami menelan Selatan Thailand yang baru sahaja bermandi darah Muslim Tak Bai, Masjid Kerisik dan sebagainya. Thailand itu juga menyajikan industri seks sebagai tarikan pelancong ke Phuket dan lain-lain. Tsunami membaham warga Pulau Pinang yang saban malam berpesta mungkar di Sungai Nibong. Tsunami juga memamah Pulau Pinang yang menjadi sarang pengedaran dadah, sarang pelacuran, sarang segala jenis kemungkaran dan sarang sampah!

Tsunami juga menelan Sri Langka dan India yang menjadi pentas tradisi menyembelih umat Islam. Tsunami juga menelan Maldives yang menjadi destinasi pelancongan pengunjung warga Barat sehinggakan nilai Islamnya langsung tenggelam tidak kelihatan. Sesungguhnya Tsunami menelan tanah air dan anak watan yang begitu peri lakunya. Amat pedih untuk menyebut hakikat ini, namun kita perlu akur.

Janganlah terlalu saintifik sehingga tidak sudi memikirkan hakikat ini. Tiada kerosakan yang berlaku di muka bumi ini kecuali dengan asbab. Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”

Seterusnya, ingatlah kembali kepada apa yang telah saya sebutkan di awal tadi, bahawa Allah SWT mengekalkan kisah ini di dalam ingatan sekalian manusia, agar kita semua mengambil peringatan.

Qatadah telah menyebut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari [Sahih al-Bukhari nombor 4869], “Allah SWT telah mengekalkan kapal Nuh supaya ia sampai kepada pengetahuan generasi awal umat ini”.

Sebagai penutup, renungilah wasiat Nabi Nuh Alayhi as-Salaam kepada anak-anaknya yang beriman sebelum Baginda wafat pulang kepada Allah.

Imam Ahmad dan al-Bayhaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-’Aas Radhiyallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Suatu ketika kami sedang bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Kemudian datang seorang lelaki dari pedalaman yang memakai jubah besar berwarna hijau (Seehan) dan dihiasi dengan sutera. Lalu Rasulullah SAW berkata:

“Sesungguhnya sahabat kamu ini telah meninggalkan setiap pahlawan berkuda anak pahlawan berkuda serta mengangkat setiap pengembala anak pengembala! (Pakaian yang melambangkan keangkuhan pemakainya)” Lalu Baginda SAW memegang jubah lelaki tersebut dan berkata kepadanya “Aku melihat engkau memakai pakaian orang yang tidak berakal!” Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi “Sesungguhnya Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau berkata kepada anaknya:

“Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua perkara. Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah.

Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya jua makhluk dikurniakan rezeki.

Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)”

Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu?

Nabi SAW menjawab, “Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!”

[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa' wa as-Sifaat: 79]

Inilah pesanan Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam kepada anaknya sebelum wafat. Dan kita ini semua adalah cucu cicitnya Baginda. Terimalah nasihat ini sebagai peringatan.

Sesungguhnya Tauhid dan Kalimah Tauhid adalah sebesar-besar perkara di dalam hidup ini. Menjadikan ia sebagai fokus diri, dan seterusnya disempurnakan pula dengan Takbir membesarkan Allah dan Tasbih mensucikanNya pada lisan dan perbuatan. Syirik yang muncul dengan pelbagai versi di dalam kehidupan kita hari ini bersama perbuatan angkuh, bongkak, takabbur atau Kibr itu pula hendaklah dijauhi. Sesungguhnya Syirik dan takabbur itu telah menjadi syiar dan cara hidup ramai manusia pada hari ini.

Manusia angkuh dengan Allah, orang ramai bongkak dengan hukum hakamNya, malah masih berani berpesta di Sungai Nibong walaupun bencana Tsunami hanya beberapa kilometer jaraknya. Selepas teguran dibuat oleh Mufti dan orang ramai, TV3 masih tidak segan silu meneruskan silsilah Konsert Sure Heboh yang hanya mengukuhkan lagi hedonisma sebagai rukun kehidupan masyarakat sekarang. Tidakkah sikap begini bermaksud memperlekehkan kebenaran? Bukankah sikap ini yang terpilih menjadi amaran Nabi Allah Nuh yang menyaksikan umatnya ditenggelamkan ‘Tsunami’?

Apabila masyarakat kita diperingatkan oleh alim Ulama dengan kebenaran, ramai yang gembira mempersendakan kebenaran tersebut. Ramai yang memperlekehkan ayat-ayat Allah tanpa segan silu. Bahkan dengan sifat jelek seperti itu, tidak hairan jika ramai pula yang zalim, menindas sesama manusia sama ada dengan kuasa, akta, mahu pun sikap dan tanduk di peringkat individu.

Apakah kita mahu menunggu sehingga bumi Malaysia tersenak hidung dengan gelimpangan mayat seperti di Acheh, baru mahu tersentak dari kelekaan semua dan selama ini? Setiap kali menonton siaran berita di televisyen, saya tidak dapat menahan sebak di dada. Tetapi apabila mengenangkan kebiadapan manusia hari ini, mungkin Tsunami sahaja yang mampu memecahkan tempurung kepala kita hari untuk untuk faham dan menginsafi kuasa Allah SWT. Ceramah tak makan, motivasi tak jalan, nasihat tak dilayan, teguran dipinggirkan, yang menang akhirnya tetap hiburan dan keseronokan. Tidakkah kita sebenarnya sudah terlalu jauh pergi meninggalkan sifat diri sebagai hamba Tuhan? Tepuk dada tanyalah iman…

Salam takziah dari saya untuk tamadun manusia.

” Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi.” (Al-A’raaf 98-99)

Nasib Pencacai Ashaab al-Ukhdood

s0236

“Bawa budak itu ke puncak gunung. Tiba di sana, kamu ugut dia. Jika dia mengalah dan meninggalkan kepercayaannya, maka biarkan dia. Tetapi andai dia berdegil, campakkan sahaja budak itu dari puncak gunung ke bawah!” kata raja yang zalim itu kepada orang-orangnya.

Di puncak gunung, keadaan menjadi sangat genting. Orang-orang suruhan raja yang zalim itu sudah bersedia untuk melaksanakan arahan.

doa_kalah_musuh

“Ya Allah, percukupkan aku daripada kejahatan mereka dengan apa-apa sahaja cara yang Engkau kehendaki!” doa si anak muda itu.

Gunung bergegar.

Lantai bumi bergoncang.

Seluruh orang suruhan raja yang zalim itu jatuh dari puncak yang tinggi itu. Mati terbunuh dengan cara kerja Allah yang tidak mereka jangkakan.

Budak muda yang beriman itu ada peluang untuk melarikan diri. Dia sendirian di puncak gunung, menyaksikan kejadian yang dahsyat itu. Tetapi perjuangannya belum selesai. Dia pulang ke istana, mencabar raja yang zalim itu. Ada seribu satu hikmah daripada pilihan budak muda itu.

Setibanya dia di istana, raja amat terkejut.

“Apa yang orang-orang kamu sudah buat!” herdik raja kepada budak itu.

najran

Orang kamu?

Orang aku?

Ada kekeliruan di situ!

PENGAJARAN

Cerita di atas adalah petikan daripada kisah anak muda dan Ashab al-Ukhdud di kota Najran. Ia dikisahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam Surah al-Buruj, dan diperincikan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam di dalam sepotong hadith yang panjang di dalam Sahih Muslim.

Kisah itu penuh iktibar.

Tetapi salah satu kejutan besarnya ialah, tindak tanduk raja pemerintah yang zalim itu. Pelbagai pendedahan dilakukan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang isi perut dan benak hati raja yang zalim itu, agar kita meneladaninya sebagai petunjuk sepanjang zaman.

Lucu sekali, raja itu ramai orang suruhannya. Diarahkan mereka agar mengheret budak itu ke puncak gunung dan kemudiannya ke tengah lautan untuk menghapuskan kebenaran. Tetapi tatkala orang-orang suruhannya gagal melaksanakan misi itu, sikap raja terhadap orang-orangnya terus berubah.

Kata raja itu (seperti yang disebut di dalam hadith):

khianat

“Apa yang orang-orang kamu telah buat?”

Tidakkah ganjil, raja itu menisbahkan orang-orang suruhannya yang gagal itu kepada budak yang dimusuhinya?

Demikianlah para Ulama’ menjelaskan, bahawa itu adalah sikap pemerintah yang zalim. Ketika dia mahu menggunakan orang-orangnya, pelbagai perkara dibuat untuk membina kesetiaan. Tetapi orang suruhan yang setia itu, tatkala khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi, dibuang begitu sahaja tanpa sebarang erti.

Inilah pesanan Allah dan Rasul buat sekalian pencacai yang memperhambakan diri kepada manusia zalim dan kezalimannya, yang sanggup bermati-matian melaksanakan kerja-kerja kotor majikan yang menggajikannya dengan sekelumit habuan dunia, kalian hanyalah tebu-tebu yang habis madu sepah dibuang.

Andai masih ada ruang dirimu diselamatkan…

Mitos Rehlah Ibnu Bathutah Tentang Ibnu Taimiyyah [Catatan 1999]

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan” (Surah Al-Hujurat 49 : 6)

Firman-Nya lagi:

“Dan janganlah kamu berpendirian di dalam sesuatu perkara yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan (di akhirat).” (Surah Al-Isra’ 17 : 36)

Kenyataan bahawa begitu ramai ulama’ yang ditohmah oleh umat Islam sendiri, adalah sesuatu yang pedih untuk diterima tetapi terpaksa diakui bersama. Bermula daripada tuduhan-tuduhan melampau terhadap ulama’ seawal Imam At-Thabari serta Imam Al-Hakim An-Naisaburi dan seterusnya Ibnu Taimiyyah dsb, semuanya itu sentiasa menjadi wacana perbalahan yang selalunya berakhir dengan kerugian terhadap umat Islam itu sendiri. Sikap menelan semua fakta dan bahan penulisan tanpa meneliti secara adil latar belakangnya, adalah satu perilaku yang bercanggah dengan amanah ilmu dan mengakar umbikan permasalahan seperti yang tersebut di atas.

Saya tertarik dengan tulisan saudara Abdul Rasyid Idris di dalam Majalah Tamadun keluaran Jun 1999 yang diberikan tajuk “Lagi Sokongan Buat Syeikh Wahabi” di mukasurat 8. Permusuhan terhadap Muhammad bin Abdul Wahab dan gerakan Wahabiah banyak berpunca daripada hubungkait aliran ini dengan method Ibnu Taimiyyah. Ia digambarkan sebagai proses tajdid (pembaharuan) kepada aliran pemikiran Ibnu Taimiyyah sekaligus mengheret cerita-cerita buruk berkenaan Ibnu Taimiyyah sebagai hujah juga untuk menghukum Muhammad bin Abdul Wahab.

Oleh yang demikian, pembersihan imej Muhammad bin Abdul Wahab, mahu tidak mahu mesti melibatkan usaha memurnikan syakhsiah Ibnu Taimiyyah daripada tohmahan liar mereka yang memusuhinya.

Kebanyakan pihak yang menuduh sesat Ibnu Taimiyyah, banyak mengambil hujah daripada riwayat-riwayat yang terkandung di dalam buku Pengembaraan (Rehlah) Ibnu Bathutah. Misalnya Kiyai Sirajuddin Abbas di dalam bukunya “Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah” yang masyhur di tanah air. Musuh-musuh Ibnu Taimiyyah mendakwa bahawa beliau termasuk di dalam golongan Ahli Tamsil (yang menyamakan Allah SWT dengan makhluk) serta Ahli Tajsim (yang menjisimkan Allah SWT). Dakwaan ini datangnya daripada permusuhan mereka terhadap Ibnu Taimiyyah itu sendiri dan yang keduanya berdasarkan keterangan Rehlah Ibnu Bathutah; sebuah kitab yang penuh dengan pembohongan dan mitos yang tertolak oleh disiplin ilmu yang sahih.

Di sini saya akan membawakan catatan yang dibuat oleh Al-Allamah Bahjatul Baithar tentang penipuan kisah Hadith An-Nuzul (hadith yang menerangkan tentang turunnya Allah dari langit bumi ke dunia) sebagaimana yang dihikayatkan oleh Ibnu Bathutah. Ibnu Bathutah di dalam riwayat pengembaraannya ke Damsyik menceritakan betapa satu ketika beliau melihat Ibnu Taimiyyah mengajar di atas mimbar Masjid Umawi di Damsyik. Lalu beliau ditanya tentang ‘Hadith An-Nuzul’ itu tadi, lantas Ibnu Taimiyyah menjawab, “Tuhan turun sebagaimana turunnya aku ini..!”. Rujuk Rehlah Ibnu Bathutah (juzuk 1 ms. 57)

Berikut adalah beberapa noktah penting tentang riwayat Ibnu Bathutah berkenaan:

  1. Ibnu Bathutah hakikatnya tidak pernah mendengar dari Ibnu Taimiyyah atau berkumpul bersamanya. Ini berdasarkan fakta bahawa beliau telah sampai ke Damsyik pada hari Khamis 19 Ramadhan 726H, sedangkan Ibnu Taimiyyah telah pun dikurung di dalam penjara Kota Damsyik di awal bulan Syaaban tahun berkenaan. Beliau terus dipenjara di dalam kota itu sehinggalah pulang ke rahmatullah pada malam 22 Dzulkaedah tahun 728H. Jika begitu perihalnya, maka bilakah masanya Ibnu Bathutah melihat Ibnu Taimiyyah mengajar di atas mimbar Masjid Umawi sebagaimana yang didakwa di dalam riwayatnya itu tadi?!
  2. Rehlah Ibnu Bathutah sedia dimaklumi oleh mereka yang mengkajinya sebagai sebuah buku yang penuh dengan riwayat dan hikayat yang ganjil. Banyak fakta di dalamnya tidak mampu diterima oleh akal dan naqal bahkan hanya mengaibkan mereka yang meriwayatkannya. Misalnya di dalam juzuk 1 ms. 54, Ibnu Bathutah menyatakan bahawa di tengah-tengah Masjid Umawi terletaknya makam Nabi Zakaria AS, sedangkan makam berkenaan adalah makam Nabi Yahya AS. Ibnu Bathutah juga menyatakan bahawa beliau telah meriwayatkan daripada Sufian Ats-Tsauri tentang kelebihan Damsyik kononnya mendirikan solat di Masjid Umawi itu sama pahalanya dengan mendirikan 30 ribu solat di tempat lain! Hal ini tidak pernah muncul di dalam periwayatan sesiapa, apatah lagi oleh Sufian Ats-Tsauri. Tidak mungkin bersolat di Masjid Umawi lebih utama dari mendirikan solat di Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.
  3. Ibnu Taimiyyah tidak pernah mengajar atau berkhutbah di atas mimbar Masjid Umawi sebagaimana yang didakwa oleh Ibnu Bathutah. Bahkan apa yang jelas Ibnu Taimiyyah apabila mengajar, hanya duduk di atas kerusi dan dikelilingi oleh hadirin, sebagaimana yang diterangkan oleh Al-Hafidz Adz-Dzahabi.
  4. Al-Hafidz Ibnu Hajar menjelaskan di dalam Ad-Durarul Kaminah (juzuk 1 ms. 154) tentang tindakan sesetengah ulama’ di zaman Ibnu Taimiyyah menghebohkan masalah riwayat turunnya beliau dari tangga mimbar itu berpunca daripada penulisan Ibnu Taimiyyah yang menentang fahaman Wahdatul Wujud, yang mana mereka itu telah menyelitkan sekali kisah kononnya Ibnu Taimiyyah telah turun dari mimbar sebanyak dua anak tangga lalu berkata “.. Tuhan turun sebagaimana turunnya aku ini..” Lantas dengan mitos itu, Ibnu Taimiyyah dikaitkan dengan fahaman tajsim.
  5. Dari kalam Ibnu Bathutah juga, kononnya Ibnu Taimiyyah telah dipenjarakan beberapa tahun dengan perintah Al-Malik An-Nasir, lalu menulis semasa di dalam tahanan itu sebuah kitab tafsir yang dinamakan ‘Al-Bahrul Muhith’. Kemudian bonda Ibnu Taimiyyah telah mengadu dan membantah tindakan Al-Malik An-Nasir lalu diperintahkan agar Ibnu Taimiyyah dibebaskan. Akan tetapi kemudiannya Ibnu Taimiyyah telah dipenjarakan sekali lagi. Ibnu Bathutah mendakwa bahawa beliau berada di Damsyik dan pada waktu itulah beliau menyaksikan perihal Ibnu Taimiyyah dan kisah Hadith An-Nuzul berkenaan.
  6. Ibnu Bathutah juga meriwayatkan kononnya Al-Faqih Al-Maliki menceritakan bahawa Ibnu Taimiyyah telah dipukul dengan tangan dan kasut sehingga terjatuh serbannya lantas tersingkap bahawa di atas kepalanya, Ibnu Taimiyyah memakai kain kasa sutera!

Apa yang jelas, Al-Malik An-Nasir adalah orang yang bertanggungjawab mengeluarkan Ibnu Taimiyyah dari tahanan di Iskandariah, Mesir. Beliau juga merupakan orang yang menyambut ketibaan Ibnu Taimiyyah dengan disertai oleh para hadirin yang ramai termasuk para ulama’ dan qadhi. Antara yang hadir menyambut Ibnu Taimiyyah adalah Ibnu Makhluf Al-Maliki yang memusuhi beliau. Ibnu Makhluf pernah meminta Ibnu Taimiyyah supaya mengeluarkan fatwa membunuh beberapa orang qadhi tetapi tidak mendapat persetujuan Ibnu Taimiyyah.

Manakala bonda Ibnu Taimiyyah pula telah meninggal dunia pada hari Rabu 20 Syawal tahun 716H, selepas Ibnu Taimiyyah pulang ke Damsyik. Beliau tidak pernah mengadu kepada mana-mana pemerintah berkenaan anaknya Ibnu Taimiyyah sebagaimana yang dihikayatkan oleh Ibnu Bathutah.

Memang tidak dinafikan bahawa Ibnu Taimiyyah telah dipenjarakan di akhir hayatnya itu atas perintah Al-Malik An-Nasir. Ini berikutan daripada penguasaan para ulama’ yang memusuhi Ibnu Taimiyyah, terhadap Al-Malik An-Nasir. Mereka mendakwa bahawa Ibnu Taimiyyah telah mengeluarkan fatwa mengharamkan ziarah ke makam Rasulullah SAW, sebagai usaha untuk memfitnahnya. Lantas Al-Malik An-Nasir telah memerintahkan supaya Ibnu Taimiyyah dipenjara. Peristiwa ini berlaku pada hari Isnin 6 Syaaban 726H.

Kisah Al-Faqih Al-Maliki tentang pemakaian sutera oleh Ibnu Taimiyyah itu juga merupakan mitos Ibnu Bathutah. Ibnu Al-Athir mahupun Ibnu Kathir atau Ibnu Hajar Al-Asqalani, tidak pernah meriwayatkan kisah sedemikian rupa, yang mustahil ditinggalkan ketika proses mengadili perawi (ilmu al-jarh wat ta’dil) dibuat. Semestinya Ibnu Taimiyyah kehilangan kredibilitinya jika benar beliau memakai sutera sebagaimana yang didakwa oleh Ibnu Bathutah!

Adapun tohmahan-tohmahan lain yang dilemparkan oleh sekalian pihak terhadap Ibnu Taimiyyah tanpa mendatangkan sebarang bukti, tidaklah ia mempunyai sebarang nilai di sisi keilmuan Islam. Golongan seperti ini sentiasa menjadikan tohmahan dan fitnah sebagai alat untuk menentang musuhnya. Bahkan Baginda SAW sendiri tidak terlepas dari dituduh sebagai ahli sihir dan penyair jahat. Begitu juga fitnah musuh terhadap para sahabat seperti Uthman Al-Affan RA, Abu Hurairah RA, Muawiyah bin Abi Sufian RA dsb. Mereka yang banyak menyumbang kepada umat, mereka jugalah yang banyak diserang tohmahan musuh termasuk daripada kalangan umat Islam yang memperhambakan diri kepada hawa nafsu dan kejahilan.

Kesimpulan

Kita tidak mendakwa sesiapa dengan dakwaan ismah (kemaksuman) selain daripada mereka yang mendapat peruntukan khusus oleh Allah SWT dari kalangan Nabi dan Rasul AS. Di sana terdapat pelbagai pro dan kontra berhubung dengan pendirian dan seruan Ibnu Taimiyyah, baik di zaman beliau mahu pun pada masa-masa yang mendatang selepas itu. Maka kita nyatakan bahawa, bagi Ibnu Taimiyyah apa yang betul, dan ke atasnyalah segala kesilapan yang pernah berlaku. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang layak untuk sekalian hambaNya. Akan tetapi, memburuk-burukan nama beliau atau mana-mana ulama’ yang telah menghabiskan hidupnya untuk mempertahankan Islam, ia bukanlah sesuatu yang sihat untuk diketengahkan ke gelanggang perbualan masyarakat. Tidak dinafikan, ada di antara fatwanya yang berbeza dengan pendapat majoriti dan masyhur, tetapi ia tidaklah menjadi satu kesalahan kerana kedudukannya sebagai mujtahid. Bahkan setiap hujahnya, adalah berserta dengan dalil yang terbuka untuk dibincangkan oleh mereka yang tidak bersetuju, tetapi bukannya dengan melemparkan tohmahan melulu yang bercanggah dengan kemuliaan etika umat ini.

Selain hujah-hujah di atas, ada pula segelintir yang menganggapnya Ibnu Taimiyyah sesat semata-mata dengan alasan bahawa beliau itu seorang banduan yang mati dalam tahanan, adalah hujah dangkal yang memalukan pendukungnya. Sebelum Ibnu Taimiyyah, Imam Abu Hanifah juga pernah dipenjara. Apakah itu menjatuhkan martabat beliau? Tidak sama sekali! Bahkan yang berlaku adalah sebaliknya. Bersedia menanggung azab demi mempertahan kebenaran…!

Jika kita membaca tentang Ibnu Taimiyyah sama ada melalui penulisannya, mahupun berdasarkan pendapat ulama’ tentang beliau, kita akan dapati bahawa Ibnu Taimiyyah tidaklah seperti yang digambarkan oleh tohmahan- tohmahan yang dilemparkan kepadanya bahkan itu semua hanyalah rekaan musuh-musuh yang mengelilingi beliau. Ini adalah kerana, kebanyakan musuh Ibnu Taimiyyah adalah dari kalangan Ahli Fiqh dan Tasauf yang berkepentingan, terutamanya dengan pemerintah ketika itu. Sesungguhnya jihad Ibnu Taimiyyah, usaha beliau dan sumbangan baktinya, tidak mungkin tersembunyi dari pengetahuan sesiapa yang mengkaji, melainkan orang-orang yang jahil dan taasub.

Bacalah tulisan-tulisan Ibnu Taimiyyah yang begitu banyak dan mudah diperolehi. Dari risalah yang ringkas seperti Risalah Al-Wasithiah hinggalah kepada tulisan-tulisannya yang besar seperti Minhaj As-Sunnah yang meruntuhkan ‘berhala’ syiah, pasti akan kita temui suatu pembentangan ilmu yang hebat dan mulia sebagai warisan umat ini. Lihat sahaja Risalah Al-Wasithiah yang beliau sediakan atas permintaan penduduk Wasith. Penjelasan tentang akidah berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih telah diperdebatkan beberapa kali di antara beliau dan ulama’ yang sezaman dengannya. Akan tetapi tidak pula ada yang mampu membuktikan kesalahan atau kesesatan risalah berkenaan, bahkan mereka mengiktirafnya.

Malangnya, bilamana permusuhan mengatasi rasional ilmiah, berlakulah apa yang telah berlaku. Apabila gagal mendatangkan hujah untuk melawan, mereka mencipta pula pembohongan dan fitnah. Bencana ini berterusan pula apabila timbul budaya menafsirkan istilah seseorang tanpa merujuk kepada pemahamannya tentang istilah itu. Penggunaan istilah oleh Ibnu Taimiyyah banyak ditafsirkan sebagai dalil yang membuktikan beliau itu seorang ahli tajsim, menetapkan arah dan tempat bagi Allah dan sebagainya. Sedangkan penggunaan istilah sedia dimaklumi oleh kita semua bagaimana ia mempunyai dilalat (pemaknaan) dan pemahaman yang kadangkala berkembang, berbeza dari seorang kepada seorang yang lain, dari satu zaman ke satu zaman yang lain.Hal yang sama berlaku kepada mereka yang menghukum sesat Syed Quthb semata-mata kerana tidak memahami istilah dan maksud yang Syed Quthb gunakan di dalam penulisan beliau. Sungguh malang keadaan seperti ini…

Inilah yang berlaku kepada Ibnu Taimiyyah dan Muhammad bin Abdul Wahab. Kedua-duanya muncul pada zaman yang rumit. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah muncul ketika umat Islam belum sembuh dari kehancuran Daulah Abbasiyyah tahun 656H. Manakala Muhammad bin Abdul Wahab pula berusaha untuk mengislahkan umat ketika Daulah Othmaniyyah berada di ambang kehancuran. Dua zaman yang menyaksikan bagaimana umat diselaputi segala macam bencana. Daripada masalah khurafat, pembohongan dan bidaah yang tersebar, hinggalah kepada tercemarnya keilmuan Islam dengan hadirnya ramai yang bergelar ulama’ tetapi mempunyai niat jahat untuk mendapatkan sedikit habuan dunia daripada pemerintah. Soal bacaan politik Muhammad bin Abdul Wahab tentang kedudukan Daulah Othmaniyyah adalah soal lain. Aqidah dan fiqh yang sahih, belum menjamin seseorang itu untuk membuat bacaan politik yang tepat. Maka pemberontakan Wahabiah di hadapan kepimpinan Daulah Othmaniyyah adalah tajuk yang berasingan daripada soal kesesatan aqidah dan sebagainya. Setiap satu persoalan hendaklah kita pertimbangkan dengan adil secara berasingan.

Marilah kita bersama-sama meneliti dan merenung kembali segala perihal itu tadi. Adalah tidak wajar kita menganggap satu-satu fakta itu telah muktamad dan benar semata-mata kerana ia masyhur atau disokong oleh segelintir yang menisbahkan diri kepada ilmu dan Islam. Kajilah secara adil agar kerugian umat akibat kemusnahan Baghdad dulu tidak menjadi lebih kronik dengan mentohmah ulama’ dan warisannya yang berbaki.. Mudah-mudahan Allah menunjukkan kepada kita apa yang benar, lalu direzekikan untuk mematuhinya, serta menunjukkan kepada kita apa yang batil, lalu diberi kekuatan untuk membanteras dan menjauhinya.

Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan” (Surah Al-Hujurat 49 : 6)

Firman-Nya lagi:

“Dan janganlah kamu berpendirian di dalam sesuatu perkara yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan (di akhirat).” (Surah Al-Isra’ 17 : 36)