Archive

Archive for July 30, 2009

BERSUCI (TAYAMMUM)

Apa makna tayammum?

Tayammum bermaksud menyapu debu tanah yang bersih ke muka dan dua tangan sebagai ganti wudhuk dan mandi wajib ketika ketiadaan air atau tidak mampu menggunakan air kerana sakit, terlalu sejuk atau sebagainya. Keharusan tayammum telah sabit dengan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak ulamak. Firman Allah di dalam al-Quran (bermaksud);

“Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh (atau mensetubuhi) perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk atau untuk mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu”. (al-Maidah: 6).

Bila diharuskan tayammum?

Secara dasarnya, ada dua sebab yang mengharuskan tayamumm;

1. Kerana keputusan air; sama air tidak ada langsung atau ada sedikit dan tidak cukup untuk mengambil wudhuk.

2. Kerana tidak mampu menggunakan air

Apakah dalil keharusan bertayammum apabila keputusan air?

Dalil keharusan bertayammum kerana keputusan air ialah hadis dari Said bin Abdurrahman bin Abza yang meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; Seorang lelaki datang berjumpa Umar r.a. dan bertanya; “Aku telah berjunub dan aku tidak menemui air (untuk mandi)”. Umar menjawab; “Janganlah kamu mengerjakan solat (hingga kamu menemui air)”. Namun ‘Ammar bin Yasir r.a. (yang ada bersama Umar ketika itu) berkata kepada Umar; “Tidakkah engkau ingat ketika kita sama-sama dalam satu musafir di mana kita berdua telah berjunub dan kita tidak menemui air (untuk mandi). Adapun kamu, maka kamu memilih untuk tidak menunaikan solat. Adapun aku, maka aku telah berguling di atas tanah (untuk bertayammum) dan kemudian aku menunaikan solat”. Apabila diceritakan kepada Nabi s.a.w., maka baginda berkata (kepada ‘Ammar); “Sesungguhnya memadai kamu menepuk dua tapak tangan kamu ke tanah, kemudian kamu hembusnya (untuk menipiskan sedikit debu di tapak tangan itu) dan seterusnya kamu sapukan debu ke muka dan ke dua tangan kamu (hingga pergelangannya)”.

Apakah dalil keharusan bertayammum kerana tidak mampu menggunakan air?

Dalilnya ialah hadis dari Amru bin al-As r.a. yang menceritakan; “Semasa dalam peperangan Zatus-Salasil, aku telah bermimpi (hingga keluar mani) pada malam yang bersangatan sejuk, lalu aku bimbang jika aku mandi mungkin akan membawa kebinasaan kepadaku. Maka aku pun bertayammum dan kemudian aku menunaikan solat Subuh bersama sahabat-sahabatku (tentera-tentera Islam). Apabila kami tiba di Madinah (setelah selesai perang), mereka mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang apa yang telah aku lakukan (yakni bertayammum). Maka Rasulullah bertanya kepadaku; ‘Wahai Amru! Apakah kamu menunaikan solat bersama sahabat-sahabatmu sedangkan kamu berjunub?’. Lalu aku menjawab; ‘Aku teringat firman Allah; “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu”. (an-Nisa’; 29).
Maka kerana ayat itu aku pun bertayammum dan kemudian mengerjakan solat’. Mendengar peneranganku, Rasulullah s.a.w. ketawa dan baginda tidak berkata apa-apa”.

Imam ad-Daruqutni menceritakan bahawa Saidina ‘Ali ditanya berkenaan seorang lelaki yang berada dalam musafir, lalu ia ditimpa junub sedang air yang ada padanya hanya sedikit di mana ia bimbang jika air itu digunakan untuk mandi wajib menyebabkan ia kehausan. Jawab Saidina ‘Ali; “Hendaklah ia bertayammum”. Imam Ahmad pernah menceritakan; “Beberapa orang sahabat bertayammum dan mereka menyimpan air untuk minuman mereka”.

Apakah contoh-contoh keadaan yang mengharuskan tayammum kerana tidak mampu menggunakan air?

1. Tidak mampu menggunakan air kerana sakit, atau bimbang bertambah sakit, atau bimbang lambat sembuh. Hal tersebut diketahui dengan pengalaman atau makluman dari doktor.

2. Air yang ada diperlukan (untuk minum dan sebagainya) pada ketika itu atau akan datang.

3. Terdapat sangkaan yang kuat dalam dirinya bahawa akan ditimpa sakit jika ia menggunakan air.

4. Takut kepada musuh yang menghalangnya dari mendapat air sama ada musuh itu manusia atau binatang buas.

5. Air diperlukan untuk minuman haiwan yang bersamanya seperti kudanya atau sebagainya.

6. Air diperlukan untuk menguli tepung, untuk memasak dan sebagainya.

7. Air diperlukan untuk membasuh najis yang tidak dimaafkan (yakni mesti dibersihkan).

8. Bimbang kepada sejuk yang bersangatan jika musim sejuk luar biasa.

Apakah syarat-syarat sah tayammum?

Untuk sahnya tayammum, para ulamak telah menggariskan syarat-syarat berikut;

Pertama; Hendaklah orang yang bertayammum mempunyai keuzuran yang menghalangnya dari menggunakan air iaitu kerana keputusan air atau tidak mampu menggunakan air.

Kedua; Berusaha mencari air terlebih dahulu jika tayammum dilakukan kerana keputusan air.

Ketiga; Hendak lah tayammum itu dengan menggunakan tanah yang bersih

Keempat; Hendaklah bertayammum setelah masuk waktu

Syarat pertama telahpun kita huraikan tadi iaitu tatkala memperkatakan tentang bilakah harus kita bertayammum. Untuk berikutnya kita huraikan syarat-syarat selebihnya iaitu yang bersangkutan dengan kewajipan mencari air, bahan tayammum (iaitu tanah menurut jumhur ulamak) dan waktu dilakukan tayammum.

Apa maksud mencari air?

Seseorang yang ingin bertayammum kerana ketiadaan air, wajib ia berusaha mencari air terlebih dahulu di kawasan sekitarnya. Jika air tiada di rumah, hendaklah ia pergi ke masjid umpamanya atau ke rumah berdekatan moga-moga menemui air. Jangan semata-mata tiada air di rumah, lalu ia pun bertayammum. Setelah pasti benar-benar tidak ada air, barulah bertayammum. Mencari air itu wajib diulangi setiap kali hendak bertayammum. Tidak cukup dengan pencarian ketika kali pertama bertayammum sahaja.

Bagaimana jika ada air, namun tidak mencukupi untuk bersuci, adakah digunakan air baru tayammum atau terus tayammum?

Ada dua pandangan ulamak bagi masalah ini;

Pandangan pertama; wajib digunakan air yang ada itu, kemudian barulah bertayammum bagi anggota yang tidak dapat dicuci dengan air. Pandangan ini merupakan mazhab Imam Ahmad dan Imam Syafi’ie (dalam qaul jadidnya).

Pandangan kedua; hendaklah terus bertayammum dan tinggalkan air itu. Pandanagn ini adalah pandangan jumhur ulamak yang terdiri dari al-Hasan, az-Zuhri, Hammad, Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafi’ie (dalam qaul qadimnya), Ibnu al-Munzir dan al-Muzanie (murid Imam Syafi’ie).

Kalau seseorang itu lupa bahawa dalam kenderaannya ada air atau ia lupa ada menyimpan air di satu tempat, lalu ia pun bertayammum dan mengerjakan solat; bagaimana hukumnya?

Ada dua pandangan ulamak bagi masalah ini;

Pertama; menurut Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; tidak dipakai tayammum itu, yakni solatnya wajib diulangi semua setelah mengambil wudhuk dengan air tersebut. Hujjah mereka ialah; thoharah dengan air adalah perintah yang wajib. Ia tidak gugur semata-mata kerana lupa.

Kedua; menurut Imam Abu Hanifah; dipakai tayammum itu, yakni solatnya sah kerana lupa adanya air membawa ia kepada tidak dapat menggunakan air, maka halnya sama seperti orang yang ketiadaan air.

Adakah tayammum hanya harus dengan tanah sahaja? Bolehkah bertayammum dengan selain tanah?

Ada beberapa pandangan ulamak dalam masalah bahan yang harus digunakan untuk bertayammum;

Pertama; jumhur ulamak (mazhab Imam Syafi’ie, Imam Ahmad, Ishaq, Abu Yusuf dan Daud az-Dzahiri) mensyaratkan tayammum hendaklah dengan tanah, tidak harus dengan pasir, batu, kapur dan sebagainya yang tidak dikategorikan sebagai tanah. Dan disyaratkan tanah itu pula hendaklah berdebu (yakni dapat melekat pada tangan bila ditepuk) dan bersih.

Kedua; Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula berpendapat; tidak khusus kepada tanah sahaja. Harus tayammum dengan segala yang ada di atas permukaan bumi; tidak hanya tanah, tetapi juga pasir, kapur, batu dan seumpamanya. Malah menurut Imam Malik; harus tayammum dengan salji dan setiap yang melapisi permukaan bumi. Imam Malik dan Imam Abu Hanifah juga tidak mensyaratkan bahan-bahan untuk bertayammum itu berdebu. Oleh itu, pada pandangan mereka; harus bertayammum di atas batu yang tidak ada debu atau di atas tanah licin yang tidak ada debu yang melekat di tangan apabila ditepuk di atasnya.

Adakah harus bertayammum dengan menepuk di dinding, di atas permaidani, di pakaian, di belakang binatang kenderaan atau sebagainya?

Ada dua pandangan ulamak;

Pertama; mengikut pandangan mazhab Syafi’ie dan Ahmad; harus jika di atas tempat-tempat yang ditepuk itu ada terdapat debu yang dapat melekat di tangan sebagaimana yang disyaratkan tadi. Jika tidak terdapat debu padanya, tidak harus tayammum.

Kedua; mengikut Imam Malik; tidak harus melakukan tayammum dengan menepuk ke atas debu yang terdapat di atas pakaian, permaidani dan sebagainya itu. Menurut beliau, tayammum hendaklah dengan menepuk terus ke atas bumi.

Adakah harus bertayammum dengan tanah bernajis?

Tidak harus kerana tayammum wajib dengan tanah atau bahan yang bersih kerana Allah menyebutkan di dalam ayat “صعيدا طيبا” (sha’id yang bersih). Begitu juga, Nabi s.a.w. juga bersabda; “Sha’id (tanah) yang bersih adalah alat bersuci bagi seorang muslim jika ia tidak mendapati air sekalipun selama sepuluh tahun. Jika ia telah menemui air, hendaklah ia menyapu air (yakni membasuh) badannya. Demikian itu lebih baik baginya”. Menurut Abu Hamid; hukum tersebut telah disepakati oleh sekelian ulamak.

Adakah disyaratkan masuk waktu sahnya tayammum?

Ada dua pandangan ulamak;

Pertama; jumhur ulamak (terdiri dari mazhab Imam Malik, Syafi’ie, Ahmad dan lain-lain) berpandangan; tidak sah tayammum melainkan setelah masuk waktu solat sama ada tayammum kerana keputusan air atau kerana tidak mampu menggunakan air. Maksud ‘masuk waktu’ ialah tiba waktu yang mengharuskan suatu solat itu dilakukan. Disyaratkan masuk waktu kerana tayammum adalah toharah darurat seperti mana toharah wanita yang istihadhah di mana kedua-duanya tidak menghilangkan hadas, akan tetapi dilakukan hanya untuk mengharuskan solat sahaja. Maka sebagaimana wanita yang istihadhah tidak harus mengambil wudhuk melainkan setelah masuk waktu, begitu juga orang yang ingin melakukan tayammum juga tidak harus melakukannya melainkan setelah masuk waktu solat.

Kedua; Imam Abu Hanifah berpandangan; tayammum tidak terikat dengan waktu, yakni harus melakukan tayammum sekalipun belum masuk waktu. Beliau mengkiaskannya dengan wudhuk dan toharah-toharah yang lain (mandi, menyapu khuf, menghilangkan najis). Sebagaimana wudhuk harus dilakukan sebelum masuk waktu solat, maka tayammum juga sedemikian kerana ia disyariatkan sebagai ganti kepada kedua-duanya.

Apakah syarat tayammum bagi orang sakit atau luka?

Tidak semua jenis sakit atau luka mengharuskan tayammum. Sakit atau luka yang mengharuskan tayammum ialah sakit atau luka yang penggunaan air ditakuti akan menyebabkan at-talaf (kematian atau kemusnahan anggota) atau mendatangkan mudarat pada badan. Ia merangkumi;
1. Akan menyebabkan kematian atau kerosakan pada aggota (التلف); lumpuh dan sebagainya.
2. Penggunaan air menimbulkan penyakit yang membawa kematian atau kerosakan anggota.
3. Menyebabkan sakit bertambah teruk atau penyakit semakin melarat.
4. Menyebabkan lambat sembuh
5. Menyebabkan kesakitan yang tidak tertanggung.
6. Menimbulkan kecacatan dan kejelikan yang ketara pada badan; seperti kulit menjadi hitam atau sebagainya.

Kesan-kesan yang dibimbangi tersebut dari penggunaan air hendaklah disahkan oleh pengalaman sendiri atau berdasarkan makluman dari doktor yang mahir. Menurut mazhab Syafi’ie; doctor itu hendaklah muslim dan adil (tidak fasiq). Tidak diterima pengakuan atau pengesahan dari doctor kafir atau fasiq. Namun menurut mazhab Imam Malik; harus memakai pandangan atau makluman dari doktor kafir jika tidak ada doktor muslim.

Apakah syarat tayammum bagi orang yang kesejukan?

Syaratnya ialah tidak ada sebarang ikhtiar lagi yang dapat dilakuka bagi menggunakan air. Jika mampu berikhtiar sama ada dengan memanaskan air atau sebagainya, wajiblah dilakukan ikhtiar itu. Jika tidak mampu, barulah diharuskan tayammum.

Sejauhmanakah ibadah yang harus dilakukan dengan tayammum?

Tayammum mengharuskan apa yang diharuskan dengan wudhuk dan mandi. Seorang yang bertayammum harus mengerjakan solat fardhu, solat sunat, sujud tilawah, sujud syukur, membawa mushaf, membaca al-Quran dan beriktikaf. Hukum ini telah disepakati oleh ulamak.

Namun para Fuqahak berikhtilaf dalam menentukan bilangan solat fardhu yang harus dikerjakan dinisbahkan kepada satu tayammum yang dilakukan. Di sana ada tiga pandangan; 

Pandangan pertama; tayammum sama seperti wudhuk iaitu tidak terikat dengan bilangan solat. Selagi tayammum tidak batal –iaitu dengan menjumpai air atau dengan berlakunya hadas-, maka harus untuk melakukan dengan tayammum itu seberapa banyak solat yang dikehendaki sama ada fardhu atau sunat dan tanpa mengira waktu. Pandangan ini merupakan pendapat Sa’id bin al-Musayyab, al-Hasan, az-Zuhri, as-Tsauri, Imam Abu Hanifah, al-Muzani dan ar-Ruyani.

Pandangan kedua; Jumhur ulamak yang terdiri dari Saidina ‘Ali, Ibnu Umar, Ibnu ‘Abbas, as-Sya’bi, an-Nakha’ie, Qatadah, Yahya al-Ansari, Rabi’ah, Malik, Syafi’ie, al-Laits, Ishaq dan Imam Ahmad. Mereka berpendapat; satu tayammum hanya untuk satu solat fardhu atau satu ibadah wajib sahaja. Oleh demikian, tidak harus menjamakkan dua solat dengan satu tayammum atau melakukan dua tawaf atau melakukan satu solat fardhu dengan satu tawaf fardhu, menghimpunkan dua solat nazar atau antara satu solat fardhu dengan satu solat nazar. Hendaklah diperbaharui tayammum untuk setiap solat fardhu yang hendak dilakukan setelah dipastikan tidak air terlebih dahulu. Adapun solat sunat, harus dilakukan seberapa banyak yang dikehendaki.

Pandangan ketiga; Imam Abu Tsur dan fuqahak mazhab Hanbali.Mereka berpandangan; Tayammum terikat dengan waktu di mana satu tayammum hanya bagi satu waktu solat fardhu sahaja. Seorang yang bertayammum boleh melakukan apa sahaja solat yang dikehendaki sama ada solat fardhu dalam waktu, solat fardhu yang luput, menjamakkan dua solat dan seberapa banyak solat sunat yang diingini selama belum masuk waktu lain. Apabila masuk waktu lain, batallah tayammum dan wajib diulangi semula tayammum bagi mengharuskan solat kembali. Kedaaannya menyamai seorang wanita istihadhah atau orang-orang lainnya yang melakukan toharah darurat.

Apakah anggota-anggota tayammum?

Berdasarkan ayat al-Quran tadi dan hadis-hadis Nabi s.a.w. (sebahagiannya telah kita sebutkan tadi), anggota tayammum hanya dua sahaja (sama ada tayammum bagi menggantikan wudhuk atau bagi menggantikan mandi) iaitu;

1. Muka
2. Dua tangan

Mengenai muka tidak ada khilaf di kalangan ulamak bahawa keseluruhan kawasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk, maka ketika tayammum kawasan muka tersebut wajib diratai dengan debu. Adapun tangan, maka para ulamak berbeza pandangan tentang kawasan yang wajib disapui debu;

Pertama; mengikut jumhur atau majoriti ulamak iaitu Saidina ‘Ali, Ibnu ‘Umar, al-Hasan al-Basri, as-Sya’bi, Salim bin Abdullah, Imam Malik, al-Laits, Imam Abu Hanifah dan Syafi’ie; kawasan tangan yang wajib disapui debu adalah sama sebagaimana yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk iaitu bermula dari hujung jari hinggalah ke siku. Mereka berdalilkan –antaranya- sabda Nabi s.a.w.; “Tayammum itu dua kali tepukan, sekali untuk disapu ke muka dan sekali untuk di sapu ke kedua tangan hingga ke siku”.

Kedua; sekumpulan ulamak yang terdiri dari ‘Atho, Makhul, al-Auza’ie, Imam Ahmad, Ishaq, Imam Syafi’ie (mengikut qaul qadimnya sebagaimana diceritakan oleh Abu Tsur) dan disokong oleh Ibnu al-Munzir berpandangan; kawasan tangan yang wajib disapui debu ketika tayammum hanyalah sampai ke pergelangan tangan sahaja. Mereka berdalilkan hadis kisah ‘Ammar (yang telah kita kemukakan tadi) di mana Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Sesungguhnya memadai kamu menepuk dua tapak tangan kamu ke tanah, kemudian kamu hembusnya (untuk menipiskan sedikit debu di tapak tangan itu) dan seterusnya kamu sapukan debu ke muka dan ke dua tangan kamu (hingga pergelangannya)”. Adapun hadis yang dijadikan hujjah oleh jumhur tadi ia adalah dhaif. Sebenarnya ia hanyalah pandangan Ibnu Umar, bukan sabda Nabi s.a.w..

Menurut Imam Nawawi; pandangan kedua di atas adalah kuat dari segi dalilnya dan lebih hampir kepada kehendak as-Sunnah.

Berapakah bilangan tepukan yang wajib semasa melakukan tayammum?

Rentetan dari khilaf di atas, berlaku pula khilaf dalam menentukan berapakah bilangan tepukan ke tanah yang mesti dilakukan oleh orang yang melakukan tayammum? Mengikut jumhur ulamak tadi; tayammum wajib dengan sekurang-kurangnya dua kali tepukan ke tanah; satu tepukan untuk disapu ke muka dan satu tepukan lagi untuk disapu kepada dua tangan hingga ke siku. Jika dua kali tepukan itu mencukupi untuk menyapu keseluruhan kawasan muka dan tangan (hingga ke siku), tidak perlu lagi ditambah. Jika tidak, wajiblah tepukan itu ditambah hingga debu meratai seluruh kawasan yang wajib disapu itu.

Adapun pandangan kedua di atas (‘Atho, Makhul, al-Auza’ie, Imam Ahmad, Ishaq dan disokong oleh Ibnu al-Munzir), mereka menegaskan; yang wajib ialah sekali tepukan sahaja untuk kedua-dua anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan hingga pergelangannya.

Bilakah batalnya tayammum?

1. Tayammum adalah bersuci gantian bagi wudhuk. Apabila berlaku kepada orang yang bertayammum perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhuk sebagaimana yang telah kita jelaskan dalam tajuk yang lalu (contohnya, ia telah terkentut atau tersentuh kemaluan atau sebagainya), maka batallah tayammumnya. Kesimpulannya, perkara-perkara yang membatalkan wudhuk juga akan membawa kepada batalnya tayammum.

2. Bagi orang yang bertayammum kerana ketiadaan air, tayammumnya batal apabila telah bertemu air. Sebaik bertemu air, dengan sendiri tayammumnya terbatal. Apabila hendak solat semula, wajib ia mengambil wudhuk, yakni tidak cukup dengan tayammumnya tadi sekalipun ia tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan tayammumnya. Jika ia bertayammum tadi kerana ganti mandi wajib, hendaklah ia mandi wajib sebelum mengerjakan solat berikutnya.

3. Jika seorang bertayammum, kemudian belum sempat mengerjakan solat ia telah menemui air, tidak harus ia menunaikan solat dengan tayammum itu, akan tetapi hendaklah mengambil wudhuk, kemudian baru tunaikan solat. Ini kerana tayammumnya dengan sendiri terbatal dengan kerana bertemu air sekalipun belum sempat mengerjakan solat. Jika air ditemui semasa sedang solat (seperti ada orang memberitahunya semasa sedang solat itu), jika ia ingin meneruskan solatnya diharuskan dan solatnya sah. Namun sebaik-baiknya ialah ia menghentikan solatnya, kemudian mengambil wudhuk dan melakukan semula solat. Jika air ditemui setelah selesai solat, sah lah solat yang ditunaikan sebelum bertemu air itu dan tidak perlu diulangi semula sekalipun waktu masih ada.

4. Jika bertayammum kerana keuzuran (seperti sakit, sejuk keterlaluan dan sebagainya), tayammum dikira terbatal sebaik sahaja hilang keuzuran. Contohnya; jika seseorang bertayammum kerana sakit, maka sebaik ia sembuh dari sakit, batallah tayammumnya.

Nota Kaki

Lihat takrif Tayammum di dalam; Al-Mughni, 1/180.
Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.
Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Daruqutni. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar.
As-Solah ‘Ala Mazahib al-Arba’ah, hlm. 91.
Al-Mughni, 1/182-184, al-Majmu’, 2/269.
At-Tahzib, Imam al-Baghawi, 1/375.
Al-Majmu’, 2/294-295, al-Mughni, 1/183.
Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Zar r.a.. Kata beliau; hadis ini hasan soheh.
Dalam riwayat yang lain, lafaz hadis berbunyi;
الصعيد الطيب وضوء المسلم، وإن لم يجد الماء عشر سنين. فإذا وجد الماء فليتق الله وليمسه بشرته، فإن ذلك خير
“Sha’id yang baik adalah wudhuk seorang muslim ketika ia tidak menemui air sekalipun sepuluh tahun. Jika ia telah menemui air, hendaklah ia bertakwa kepada Allah dan sapulah kulitnya dengan air (yakni ratakanlah anggota wudhuknya dengan air). Demikian itu lebih baik baginya”. (Riwayat al-Bazzar dari Abu Hurairah r.a.. Menurut Imam Ibnu Hajar; perawi-perawi hadis ini adalah soheh. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5154).
Sabda Nabi s.a.w.; “…demikian itu lebih baik baginya”, bermaksud; bersuci dengan air itu lebih baik baginya dari segi keberkatan dan pahala. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 5154).
Al-Majmu’, 2/248.
Al-Mughni, 1/182, al-Majmu’, 2/272.
Al-Mughni, 1/195, at-Tahzib, 413-414, Tafsir Ibnu Kathir, 1/550 (Surah an-Nisa’, ayat 43).
At-Tahzib, 1/414.
As-Solah ‘Ala Mazahib al-Arba’ah, hlm. 90.
Al-Mughni, 1/197.
At-Tahzib, 1/396.
At-Tahzib, 1/402.
Al-Mughni, 1/198-199, al-Majmu’, 2/317-318, at-Tahzib, 1/396-402.
Pandangan yang masyhur dalam mazhab Hanbali berbeza dengan pandangan yang dinaqalkan dari Imam Ahmad. Lihat; al-Majmu’, 2/318.
Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, 1/413, al-Mughni, 1/198. Pandangan Abu Tsur; lihat dalam al-Mughni, 1/199 dan al-Majmu’, 2/318.
Al-Majmu’, 2/242, al-Mughni, 1/189.
Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani dari Ibnu ‘Umar r.a..
Al-Majmu’, 2/241.
Al-Majmuk, 2/242.
Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.
Al-Majmu’, 2/242.
Al-Majmu’, 2/241-242, al-Mugnni, 1/187.
Al-Majmu’, 2/242, al-Mughni, 1/187.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZILat 8:24 AM
Categories: Fiqh'

MENYAPU KHUF

Apa makna khuf?

Khuf bermakna kasut. Kasut yang dimaksudkan di sini bukan lah semua jenis kasut, tetapi kasut yang mempunyai ciri-ciri tertentu yang akan kita jelaskan nanti. Menyapu khuf merupakan keringanan yang diberikan oleh Syarak kepada umat Islam. Semasa mengambil wudhuk, orang yang memakai khuf tidak perlu menanggalkan khufnya. Memadai ia menyapu air di atas khufnya sebagai ganti kepada membasuh kaki. Keringanan ini terbuka untuk lelaki dan wanita, orang yang sedang musafir atau yang berada di dalam negeri, yang sihat atau yang sakit.

Jabir bin Abdullah al-Bajali r.a. menceritakan; “Aku telah melihat Nabi s.a.w. kencing, kemudian baginda mengambil wudhuk dan menyapu air atas dua khufnya”.[1]

Apakah ciri-ciri khuf harus disapu semasa mengambil wudhuk?

Jenis khuf atau kasut yang diberi keringanan tersebut ialah yang mempunyai ciri-ciri berikut;

1. Menutupi keseluruhan kaki yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk, iaitu dari hujung jari hingga ke buku lali.

Adalah dimaafkan jika terdapat sedikit koyakan pada khuf atau terdapat sedikit bahagian kaki yang tidak ditutupinya mengikut pandangan sebahagian ulamak antaranya Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.[2] Namun bagi Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; tidak harus menyapu khuf jika terdapat sebarang koyakan hingga menampakkan kulit kaki sekalipun kecil sahaja. Sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie mensyaratkan; hendaklah khuf yang dipakai tidak dapat ditembusi oleh air kecuali melalui lubang-lubang jahitan sahaja (maka ia dimaafkan kerana tidak dapat dielakkan).

2. Hendaklah tahan dibawa berjalan berterusan selama sehari semalam bagi orang yang berada dalam negeri atau tiga hari tiga malam bagi musafir.

3. Hendaklah dari bahan yang suci, bukan najis. Oleh demikian, tidak harus menyapu khuf (kasut) yang dibuat dari kulit babi atau anjing atau kulit binatang yang belum disamak.[3]

Dari syarat-syarat di atas, dapat kita simpulkan bahawa material kasut tidaklah dipentingkan. Asalkan kasut yang dipakai memiliki cirri-ciri di atas, haruslah kita menyapu air di atasnya semasa mengambil wudhuk tanpa perlu menanggalnya sama ada kasut itu dibuat dari kulit, getah, kain atau sebagainya.

Adakah disyaratkan bersuci ketika memakai khuf?

Ya. Bagi membolehkan kita menyapu di atas khuf, hendaklah ketika memakainya kita berada dalam keadaan suci dari hadas iaitu memakainya dalam keadaan berwudhuk. Mughirah bin Syu’bah r.a. menceritakan; “Saya bersama Nabi s.a.w. dalam satu perjalanan (musafir). Saya ingin menanggalkan dua khuf (kasut) beliau. Namun beliau berkata; ‘Biarkanlah. Saya menyarungnya semasa saya suci (yakni berwudhuk)’. Beliau kemudian hanya menyapu ke atas dua khufnya (semasa mengambil wudhuk)”.[4]

Adakah harus menyapu khuf yang dipakai selepas tayammum?

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; harus jika sebab tayammum kita itu bukan kerana ketiadaan air tetapi kerana sebab-sebab yang lain iaitu sakit atau sebagainya.

Bagaimana caranya menyapu khuf?

Orang yang memakai khuf dengan memenuhi syarat-syarat yang disebutkan tadi, apabila ia mengambil wudhuk selepas memakai khuf itu, memadai ia menyapu air ke atas khufnya sebagai ganti dari membasuh kaki. Sepakat semua ulamak bahawa tempat yang wajib disapu air ialah di bahagian atas khuf (bukan di bawahnya). Tidak memadai menyapu bawah khuf (yakni bahagian tapak), tanpa menyapu di atasnya. Saidina Ali pernah berkata; “Jika sekiranya agama itu boleh diputuskan dengan akal, nescaya menyapu di bawah khuf lebih logik dari menyapu di atasnya. Namun aku telah melihat Nabi s.a.w. menyapu bahagian atas dua khufnya”.

Adapun kadar yang wajib disapu, para ulamak berbeza pandangan tentangnya. Bagi mazhab Imam Syafi’ie; memadai dengan satu jari yang dibasahi air dan diletakkan di atasnya. Menurut mazhab Imam Ahmad; hendaklah disapu sebahagian besarnya. Menurut mazhab Imam Abu Hanifah pula; wajib menyapu sekurang-kurangnya seluas tiga jari.

Adakah disunatkan menyapu air di bahagian bawahnya? Mengikut pandangan jumhur ulamak termasuk Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafi’ie; sunat menyapu bawah khuf di samping menyapu atasnya. Mereka berdalilkan hadis dari Al-Mughirah bin Syu’bah r.a. yang menceritakan; “Sesunggunya Nabi s.a.w. menyapu di atas khuf dan di bawahnya”.[5] Namun bagi Imam Ahmad; tidak disunatkan. Beliau berhujjah dengan hadis Saidina ‘Ali tadi. Adapun hadis yang dijadikan hujjah oleh jumhur itu, hadis itu menurut beliau adalah dhaif, tidak boleh dijadikan hujjah.

Menyapu khuf tidak sunat diulangi tiga kali sebagaimana membasuh kaki, yakni cukup sekali sahaja. Malah menurut Imam al-Haramain dan Imam al-Ghazali; makruh mengulanginya.

Bagaimana cara menyapu khuf yang sempurna mengikut mazhab Imam Syafi’ie?

Pertama; Basahkan kedua tapak tangan dan jari-jarinya dengan air.

Kedua; Kemudian letakkan tapak tangan kanan di bahagian atas khuf iaitu di hujungnya dan tapak tangan kiri pula diletakkan di bahagian bawah kasut iaitu di belakangnya (bahagian tumit).

Ketiga; Seterusnya tarik tangan kanan di sepanjang bahagian atas khuf hingga ke betis dan tolak tapak kiri di sepanjang bahagian bawah khuf hingga ke hujung jari.

Berapa lamakah kita dibenarkan menyapu khuf?

Keharusan menyapu khuf tidaklah selama-lamanya. Ia terikat dengan tempoh yang telah ditetapkan oleh Syarak, iaitu;

a) Bagi orang muqim (iaitu yang berada dalam negeri, tidak keluar bermusafir) dibenar oleh Syarak menyapu khuf sehari semalam sahaja.

b) Bagi orang yang berada dalam musafir, tempohnya ialah tiga hari tiga malam. Menurut Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; musafir yang dimaksudkan itu ialah yang sampai jarak diharuskan solat Qasar iaitu dua marhalah .[6] Jika jarak musafir kurang dari dua marhalah, maka tempoh keharusan menyapu khuf baginya hanya sehari semalam sahaja iaitu tempoh yang dibenarkan bagi orang muqim tadi.[7]

Penetapan tempoh di atas adalah berdasarkan hadis dari Saidina ‘Ali r.a. yang menceritakan r.a.; “Nabi s.a.w. memberi (kebenaran) tiga hari tiga malam kepada orang musafir (untuk menyapu khuf) dan sehari semalam untuk orang mukim (yakni tidak bermusafir)”.[8]

Bilakah bermulanya tempoh tersebut?

Iaitu dari hadas pertama selepas memakai khuf (kasut).[9] Misalnya, selepas mengambil wudhuk untuk solat subuh kita pun memakai khuf, kemudian pada pukul 7.00 pagi wudhuk kita terbatal (bermakna kita telah berhadas), maka tempoh menyapu khuf kita bermula dari jam 7.00 pagi tersebut dan berterusan hingga selepas sehari atau tiga hari melihat kepada kedudukan kita tadi.[10]

Apabila tamat tempoh di atas iaitu sehari semalam bagi orang muqim dan tiga hari tiga malam bagi orang musafir, tamatlah kebenaran menyapu khuf. Maka selepas tempoh tersebut, wajiblah orang yang memakai khuf menanggal khufnya dan membasuh kakinya sebagaimana biasa tatkala mengambil wudhuk. Kemudian jika selepas mengambil wudhuk ia memakai khuf semula, haruslah ia kembali menyapu khuf dan ia tertakluk dengan tempoh yang baru.

Mana yang lebih baik; menyapu khuf atau membasuh kaki?

Bagi jumhur atau majoriti ulamak; membasuh kaki lebih baik. Namun bagi Imam Ahmad dan Abu Hanifah; menyapu khuf itu yang lebih baik kerana Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya Allah menyukai didatangi rukhsahNya (yakni kelonggaran yang diberiNya kepada hambaNya) sebagaimana Ia membenci didatangi maksiatNya (yakni laranganNya ke atas hambaNya)”.[11]

Apakah perkara-perkara lain yang membatalkan keharusan menyapu khuf?

Selain tamat tempoh yang ditetapkan tadi, ada beberapa perkara lain yang akan membatalkan keharusan menyapu khuf jika terjadi atau dilakukan, iaitu;

1. Menanggalkan khuf yang dipakai atau tertanggal dengan sendiri. Orang yang menanggalkan khufnya atau khufnya terlucut, tidak harus lagi ia menyapu khufnya sekalipun tempoh masih ada melainkan setelah ia mengambil wudhuk sebagaimana biasa dengan membasuh kakinya, kemudian memakai kembali khufnya dan memulakan tempoh sapuan yang baru.

2. Berlaku perkara-perkara yang mewajibkan mandi iaitu berhadas besar sama ada kerana berjunub, kedatangan haid dan nifas atau melahirkan anak.

Safwan bin ‘Assal r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. menyuruh kami supaya menyapu atas khuf-khuf kami dan tidak menanggalnya selama tempoh tiga hari sama ada selepas kami buang air besar (berak), kencing dan tidur. Kecualilah selepas janabah”.[12]

Kesimpulannya, semasa mandi wajib atau mandi hadas, tidak harus menyapu di atas khuf, akan tetapi wajib disampaikan air ke seluruh bahagian kaki sebagaimana yang disyaratkan dalam mandi wajib. Begitu juga, semasa mandi sunat –seperti mandi sunat jumaat, hari raya dan sebagainya-, hendaklah air sampai ke bahagian kaki. Tidak memadai dengan menyapu di atas khuf. Jika dilakukan tidak akan mendapat pahala sunat mandi.[13]

Adakah harus menyapu sarung kaki?

Mughirah bin Syu’bah r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. mengambil wudhuk dan baginda menyapu atas dua jaurab (sarung kaki) dan dua kasutnya”.[14]

Al-Jaurab bermaksud sarung kaki termasuklah stokin dan sebagainya. Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie, Ahmad, Malik, Abu Hanifah dan sebagainya); jaurab (sarung kaki) yang harus disapu ke atasnya semasa mengambil wudhuk tanpa perlu menanggalnya (untuk membasuh kaki) ialah yang tebal, tidak nipis, tahan dibawa berjalan dan menutupi kawasan kaki yang wajib dibasuh dalam wudhuk, yakni yang mempunyai ciri-ciri yang sama seperti khuf yang disebutkan tadi.[15] Dalam mazhab Imam Syafi’ie, keharusan menyapu jaurab terikat dengan dua syarat;[16]

1. Ianya hendaklah tebal, tidak nipis.
2. Hendaklah berlapik dengan kulit dibawahnya (yakni di bahagian tapaknya).

Oleh demikian, berdasarkan pandangan jumhur ulamak; tidak harus menyapu di atas jaurab (sarung kaki) yang diperbuat dari kain nipis sebagaimana yang biasa dipakai hari ini.

Namun demikian, ada segolongan ulamak mengharuskan menyapu jaurab (sarung kaki) sekalipun nipis. Menurut Imam Nawawi; pandangan ini diceritakan dari Saidina ‘Umar r.a., Ali r.a., Abu Yusuf, Muhammad, Ishaq dan Daud az-Dzahiri. Mereka berdalilkan hadis tadi yang menyebutkan jaurab (sarung kaki) secara umum tanpa membatasnya dengan jenis atau sifat tertentu.[17]

Adakah harus menyapu di atas serban?

Menurut Imam Ahmad;[18] orang yang melilit serban di kepalanya harus menyapu air ke atas kain serbannya semasa mengambil wudhuk tanpa perlu menanggalnya.[19] Ia berdalilkan hadis dari al-Mughirah bin Syu’bah r.a. yang menceritakan;

تَوَضَّأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَسَحَ عَلَى الْخُفَّيْنِ وَالْعِمَامَةِ
“Rasulullah s.a.w. mengambil wudhuk dan baginda menyapu air ke atas dua khuf dan kain serbannya”.[20]

Namun jumhur ulamak termasuk Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Abu Hanifah tidak mengharuskannya. Menurut mereka; ayat al-Quran memerintahkan kita supaya menyapu air ke kepala. Lagipun, kain serban di kepala tidaklah sulit/sukar untuk ditanggalkan tidak sepertimana khuf/kasut. Oleh demikian, tidak harus menyapu air ke atasnya sahaja tanpa menyapu ke kepala.[21]

Nota Kaki

[1] Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
[2] Menurut mazhab Hanafi dimaafkan jika kadarnya kurang dari saiz tiga jari. Menurut mazhab Imam Malik; masih diharuskan menyapunya jika luas koyakan tidak melebihi 1/3 kawasan kaki.
[3] Bagaimana dengan khuf yang terkena najis? Menurut mazhab Imam Syafi’ie, tidak harus menyapunya kecuali setelah najis dibersihkan. Namun menurut mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad; harus menyapu atasnya dengan syarat najis itu tidak berada di kawasan yang akan disapu air iaitu bahagian atasnya. Dan apabila hendak menunaikan solat, hendaklah najis itu disucikan kerana tidak sah solat dengan menanggung najis.
[4] Riwayat Bukhari dan Muslim.
[5] Riwayat Imam at-Tirmizi. (Hadis ini adalah dhaif mengikut pandangan ulamak sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam at-Tirmizi sendiri)
[6] Iaitu berjarak melebihi 87KM mengikut perkiraan hari ini.
[7] Mazhab Syafi’ie juga menetapkan; hendaklah musafir itu dengan tujuan yang harus, bukan untuk melakukan maksiat. Jika tujuan musafir adalah untuk melakukan maksiat, maka tempoh keharusan menyapu khuf hanya sehari semalam sahaja iaitu tempoh yang dibenarkan bagi orang muqim.
[8] Riwayat Imam Muslim.
[9] Ini bermakna; selagi tidak berlaku hadas maka belum bermulalah tempoh tersebut.
[10] Ini adalah pandangan jumhur ulamak termasuk Imam Abu Hanifah, Malik, Syafi’ie dan riwayat paling soheh dari Imam Ahmad. Ada pandangan lain iaitu dari Imam al-Auza’ie dan Abu Tsur iaitu; bermulanya tempoh ialah dari sapuan pertama selepas berlakunya hadas.
[11] Riwayat Imam Ahmad, Ibnu Hibban, al-Baihaqi. Hadis ini ditashihkan oleh Imam as-Suyuti dan al-Baihaqi serta dipersetujui oleh Imam al-Minawi..
[12] Riwayat Imam at-Tirmizi dan an-Nasai.
[13] Selain itu, jika kaki berdarah dan wajib dibasuh, tidak memadai menyapu khuf tanpa membasuhnya. Kesimpulannya, menyapu khuf tidak boleh menggantikan basuhan najis.
[14] Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan soheh.
[15] Al-Mughni (Ibnu Qudamah), al-Majmu’, jil. 1, hlm. 564.
[16] Al-Muhazzab, jil. 1.
[17] Lihat; al-Majmu’, jil. 1, hlm. 565. Pandangan inilah juga yang disokong oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam himpunan fatwanya.
[18] Begitu juga Abu Tsur, al-Qasim bin Salam dan beberapa ulamak lain. (Lihat; Bidayatul-Mujtahid, Imam Ibnu Ruysd, jil. 1, hlm. 23).
Keharusan menyapu atas serban itu terikat dengan beberapa syarat;
1. Hendaklah serban itu menutupi keseluruhan kepala kecuali yang biasa terdedah seperti depan kepala, dua telingan dan sisi-sisi kepala, maka dimaafkan.
2. Hendaklah serban itu mengikut gaya serban kaum muslimin, bukan seperti serban ahli Zimmah.
3. Dipakai ketika suci dari hadas.
4. Serban itu dipakai oleh orang lelaki, bukan orang perempuan.
Tempoh keharusan menyapu serban itu sama seperti meyapu khuf iaitu sehari semalam bagi orang mukim dan tiga hari tiga malam bagi orang musafir.
[19] Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 3, Kitab at-Toharah…
[20] Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau hadis ini hasan soheh. Lihat; al-Mughni, Ibnu Qudamah.
[21] Al-Mughni, Ibnu Qudamah.

Categories: Fiqh'

BERSUCI (MANDI)

Apa maksud mandi wajib?

Mandi wajib bermaksud mandi yang diwajibkan oleh Syarak kerana sebab-sebab yang telah ditetapkan.

Apakah sebab-sebab yang mewajibkan mandi?

1. Jimak

Jimak bermaksud bersetubuh iaitu memasukkan zakar ke dalam faraj. Seorang muslim diwajibkan mandi selepas bersetubuh berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.; “Apabila seseorang telah duduk di antara empat cabang perempuan (yakni dua tangan dan dua kaki/pahanya), kemudian khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan), maka wajiblah mandi”. Dalam satu riwayat disebutkan; “…sekalipun tidak keluar mani” (Riwayat Imam Muslim dari Saidatina ‘Aisyah r.a..). Menurut Imam Nawawi; maksudnya “..khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan)..” di dalam hadis ini ialah; menenggelamkan zakar ke dalam faraj perempuan, bukan sekadar menyentuh luarannya sahaja. Ijmak ulamak menyatakan bahawa jika seorang lelaki meletakkan sahaja zakarnya di atas faraj perempuan tanpa memasukkannya, tidak wajib mandi sama ada ke atas si lelaki atau si perempuan. (Syarah Soheh Muslim, Kitab al-Haidh, bab Naskh al-Ma’ minal-Ma’…).

Mengikut pandangan jumhur atau majoriti ulamak; diwajibkan mandi sama ada persetubuhan berlaku antara lelaki dan wanita atau dengan memasukkan zakar ke dalam dubur (yakni melakukan liwat), termasuklah mensetubuhi binatang dan orang mati. Bagi jumhur ulamak, asalkan berlaku persetubuhan iaitu masuknya hasyafah (yakni kepala zakar) ke dalam faraj atau dubur, wajiblah mandi sekalipun tidak keluar mani.

Menurut Imam Abu Hanifah; tidak wajib mandi kalau yang disetubuhi itu adalah binatang sekalipun perbuatan itu berdosa. Imam Ibnu Hazm pula berpandangan; tidak wajib mandi jika tidak keluar mani. Baginya, yang mewajibkan mandi bukanlah semata-mata kerana berlakunya persetubuhan tetapi kerana keluar mani.

2. Keluar mani

Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa wajib mandi dengan keluarnya mani. Ini berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Air (yakni mandi) adalah dari kerana air (yakni dari kerana keluar mani)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.). Ummu Salamah r.a. telah menceritakan; “Pernah Ummu Sulaim datang dan bertanya kepada Nabi s.a.w.; ‘Adakah seorang perempuan wajib mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air (yakni air mani)’” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak ada beza sama ada keluar mani itu kerana jimak, mimpi, berkhayal, mengeluarkannya dengan tangan, kerana melihat wanita atau kerana sebarang sebab, sama ada keluar mani itu dengan merasa lazat atau tanpa merasainya, sama ada yang keluar itu banyak atau sedikit, sama ada ketika jaga atau tidur, sama ada lelaki atau wanita, orang beraqal atau gila. Semuanya mewajibkan mandi. Bagi pandangan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Ahmad; tidak wajib mandi kecuali jika mani yang keluar adalah kerana syahwat dan keluarnya dalam keadaan memancut.

Kalau seseorang itu bermimpi (bersetubuh atau sebagainya) tetapi tidak nampak air mani pada badan atau pakaiannya apabila terjaga dari tidurnya atau ia ragu-ragu sama ada keluar mani atau tidak, maka dalam kes ini tidak wajib ia mandi. Namun jika ia melihat ada air mani pada badan atau pakaiannya dan ia tidak pasti; apakah ia telah bermimpi atau tidak? Dalam kes kedua ini, wajiblah ia mandi. Ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Ummu Sulaim (isteri Abu Talhah) telah datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata; ‘Ya Rasulullah s.a.w., sesungguhnya Allah tidak malu dengan kebenaran. Adakah wajib seorang wanita mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air mani’” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Berkata Imam Ibnu Munzir; telah ijmak bahawa seseorang jika ia melihat dalam mimpinya bahawa ia bersetubuh, namun setelah terjaga dari tidur ia tidak nampak sebarang kesan mani, tidak wajib atasnya mandi.

3. Haid dan nifas

Wanita yang kedatangan haid dan nifas, apabila kering darah haid atau darah nifas, wajib mereka mandi sebelum menunaikan solat atau sebelum diharuskan suaminya mensetubuhinya berdalilkan firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 222 (bermaksud); “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: ‘Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat’. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. (Al-Baqarah; 222)

Begitu juga berdasarkan hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah bin Hubaiysh r.a. menghadapi masalah istihadhah. Lalu Rasululah s.a.w. berkata kepadanya; ‘Bila datang haid, tinggallah solat dan apabila ia berlalu (yakni tempoh haid kamu tamat), maka mandilah dan tunaikanlah solat” (Riwayat Imam al-Bukhari).

Ayat dan hadis di atas menyentuh tentang haid. Dikiaskan kepadanya nifas kerana nifas adalah haid yang berkumpul. Begitu juga, nifas mengharamkan puasa, bersetubuh dan menggugurkan kewajipan solat sebagaimana haid. Maka wanita yang nifas apabila kering darah nifasnya, wajib ia mandi sebagaimana wanita yang haid. Telah ijmak para ulamak bahawa wanita yang nifas adalah umpama wanita yang haid dalam segenap hukum-hakamnya.

4. Wiladah

Wiladah bermaksud kelahiran anak termasuklah keguguran (sekalipun hanya segumpal darah atau segumpal daging). Menurut mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad (mengikut satu riwayat darinya); wanita yang melahirkan anak atau keguguran, ia wajib mandi jika ditakdirkan tiada darah nifas yang keluar. Ini kerana dikiaskan kepada mani. Anak atau janin adalah air mani yang telah menjadi kanak-kanak. Keluarnya anak atau janin dari faraj dapat diumpamakan seperti keluar mani darinya, maka wajiblah mandi. Namun jika ada darah nifas yang keluar selepas kelahiran atau keguguran tersebut, maka hukumnya tertakluk dengan hukum wanita yang kedatangan nifas dan ia hendaklah menunggu hingga kering darah nifasnya barulah mandi.

Namun mengikut mazhab Imam Abu Hanifah dan satu riwayat lain dari Imam Ahmad; wiladah tidak mewajibkan mandi kerana tidak ada dalil yang menegaskannya.

5. Mati

Seorang muslim yang mati wajib dimandikan sebelum dikafan kecuali orang yang mati syahid.* Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. telah bersabda mengenai seorang lelaki yang mati ketika sedang dalam ihram (haji); ‘Mandikanlah ia dengan air dan daun bidara, kemudian kafankanlah dia dengan dua helai kainnya’”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Niat mandi hendaklah dilakukan oleh orang menguruskan mandiannya.

(*Selain orang mati syahid, ada dua lagi jenazah muslim yang tidak perlu dimandikan;
Mayat yang tidak dapat dimandikan kerana dibimbangi akan terlerai. Sebagai ganti ia hendaklah ditayammumkan.
Seorang lelaki mati dan tidak ada orang untuk memandikannya melainkan seorang wanita ajnabi dan begitu juga sebaliknya.
(al-Asybah Wa an-Nadzair, Imam as-Suyuti, hlm. 545-546)

6. Orang kafir yang masuk Islam

Menurut mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad; orang kafir yang memeluk Islam wajib ia mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; seorang lelaki bernama Tsumamah bin Usal telah ditangkap oleh tentera Islam dan ditambat di satu tiang masjid. Nabi berkata kepada para sahabatnya; “Lepaskan Tsumamah”. Setelah dilepaskan Tsumamah pergi ke satu kawasan air berdekatan masjid, lalu ia mandi. Kemudian ia memasuki masjid dan mengucapkan dua kalimah syahadah. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Namun menurut jumhur ulamak termasuk mazhab Imam Syafi’ie dan Abu Hanifah; tidak wajib mandi atas orang kafir yang memeluk Islam, akan tetapi disunatkan sahaja. Ramai orang yang memeluk Islam di zaman Nabi s.a.w., namun baginda tidak menyuruh mereka agar mandi sama ada sebelum atau selepas memeluk Islam. Adapun hadis tadi, ia hendaklah difahami sebagai sunat sahaja, bukan wajib.

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; dikecualikan jika ia berjunub semasa kafirnya, maka wajiblah ia mandi. Adapun mazhab Imam Abu Hanifah; tidak wajib mandi sekalipun berjunub semasa kafirnya kerana Rasulullah s.a.w. ada bersabda; “Islam menghapuskan/ menggugurkan apa yang telah lalu” (Riwayat Imam Muslim dari Amru bin al-‘As r.a.)

7. Orang yang memandikan jenazah

Segolongan ulamak Salaf antaranya Saidina Ali, Abu Hurairah, Sa’id bin al-Musayyab, Ibnu Sirin, az-Zuhri dan sebagainya berpendapat; orang yang memandikan jenazah wajib ke atasnya mandi. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa memandikan orang mati, maka hendaklah ia mandi. Sesiapa membawa orang mati, maka hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau, hadis ini hasan).

Namun menurut pandangan Ibnu ‘Abbas, Ibnu Umar, Saidatina ‘Aisyah, al-Hasan, an-Nakha’ie, Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad dan sebagainya; tidak wajib ia mandi. Suruhan Nabi s.a.w. dalam hadis di atas hanyalah suruhan sunat sahaja, iaitu digalakkan mandi bukan diwajibkan. Terdapat satu riwayat dari Imam Ahmad menyebutkan; wajib mandi itu hanya jika yang dimandikan itu adalah mayat orang kafir. Ini berdalilkan arahan Nabi s.a.w. kepada Saidina ‘Ali r.a. agar ia mandi tatkala ia memandikan bapanya (Abu Thalib).

Apakah perbuatan-perbuatan yang menjadi rukun semasa mandi wajib?

Berdasarkan pandangan pelbagai ulamak, perbuatan-perbuatan yang menjadi rukun di dalam mandi wajib ialah;

1. Menghilangkan najis pada badan sebelum mandi jika ada.

Rukun ini disebut dalam mazhab Imam Syafi’ie dan juga Imam Ahmad. Dalilnya ialah hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang meriwayatkan dari Maimunah r.a. yang menceritakan; “(Semasa mandi wajib) Rasulullah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat kecuali dua kakinya dan baginda membasuh kemaluannya dan juga kekotoran yang mengenainya, kemudian baginda mencurahkan air ke badannya, berikutnya beliau mengalih dua kakinya dan membasuh keduanya. Begitulah mandi Rasulullah s.a.w. dari janabah” (Riwayat Imam al-Bukhari)

2. Niat

Wajib berniat di permulaan mandi semasa mula-mula menjirus air ke mana-mana bahagian badan; sama ada berniat melakukan mandi yang diwajibkan atau berniat menghilangkan janabah atau hadas besar atau berniat mengharuskan perkara yang dilarang tanpa mandi seperti solat, tawaf dan sebagainya. Niat adalah wajib pada pandangan majoriti ulamak termasuk mazhab Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad. Mereka berdalilkan hadis Nabi yang menegaskan; “Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niat”. Mazhab Imam Abu Hanifah berpendapat; berniat dipermulaan mandi hanya sunat sahaja, tidak wajib.

3. Meratakan air ke seluruh badan

Semasa mandi wajib meratakan air ke seluruh badan merangkumi; kulit yang nampak, rambut dan bulu, kulit di bawah rambut dan bulu –sama ada bulu itu tebal atau nipis-, kawasan-kawasan berlipat serta luaran kemaluan wanita (faraj) yang nampak ketika ia bertinggung. Rukun ini telah disepakati oleh sekelian ulamak.

Wajib menyampaikan air ke bahagian-bahagian berlipat di badan –sama ada lelaki atau perempuan-, bahagian dalam pusat, bahagian dalam cuping telinga (yakni bahagian berlekuk), celah-celah ketiak, celah papan punggung, celah-celah jari-jari tangan dan kaki dan kawasan-kawasan badan yang lain yang dihukum sebagai luaran badan. Begitu juga, bibir mulut (juga wajib dikenai air). Semua perkara tersebut telah disepakati oleh para ulamak. Bahagian mata, yang wajib dikenakan air ialah bahagian luar kelopak mata. Tidak wajib membasuh hingga ke dalam mata. Tidak wajib memasukkan air ke dalam corong telinga, memadai membasuh luarannya sahaja iaitu pangkal lubang telinga. Jika ada kekotoran di pangkal lubang telinga, hendaklah dicuci. (al-Majmu’, 2/228)

Jika di celah-celah kuku terdapat kekotoran yang menghalang air dari sampai ke kulit, tidak sah mandi.[1] Begitu juga, kalau di badan atau rambut terdapat bahan-bahan yang boleh menghalang air dari sampai ke kulit, tidak sah mandi melainkan dengan menanggalkannya terlebih dahulu. Jika rambut kusut hingga air tidak dapat sampai ke akar rambut (yakni kulit kepala), tidak sah mandi melainkan setelah rambut itu di keca-kecakan hingga air dapat menembusinya dan sampai ke akarnya. (Al-Majmu’, 1/529, 2/228).

Jika ada seurat dua rambut yang tidak dikenai air semasa mandi, adakah sah mandi? Menurut mazhab Imam Syafi’ie; tidak sah mandi. Bagi Imam Abu Hanifah; sah mandi (yakni dimaafkan). (Al-Majmu’, 2/228).

Adakah wanita wajib merungkai sanggul atau dandanan rambutnya semasa mandi? Dan adakah wajib dibasuh rambut yang terurai? Persoalan ini akan kita jawab di depan nanti.

4. Mengambil wudhuk.

Menurut Imam Daud az-Dzahiri dan Imam Abu Tsur; wajib mengambil wudhuk semasa mandi wajib. Mengambil wudhuk adalah syarat sah mandi, yakni menurut mereka; tidak sah mandi tanpa didahului mengambil wudhuk. Mereka berdalilkan hadis-hadis yang menceritakan tentang cara mandi Nabi s.a.w. di mana di antara yang dilakukan oleh Nabi semasa mandi ialah mengambil wudhuk.

Namun pandangan mereka menyalahi sekelian ulamak yang lain yang sepakat menyatakan; mengambil wudhuk sebelum mandi adalah sunat sahaja, tidak lah wajib. Dalam pengertian yang lain; menurut majoriti ulamak mengambil wudhuk semasa mandi hanya disunatkan, bukan diwajibkan. Majoriti ulamak berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; aku telah bertanya Nabi s.a.w.; “Ya Rasulullah s.a.w.! Aku adalah seorang yang menganyam rambut. Adakah perlu aku rungkaikannya untuk mandi janabah?”. Jawab Nabi s.a.w.; “Tidak perlu. Cukuplah kamu menuang air ke atas kepalamu dengan tiga cebukan tangan, kemudian kamu siramkan air ke badan kamu, maka dengan itu kamu menjadi suci” (Riwayat Imam Muslim). Di dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. tidak menyebut tentang wudhuk, menunjukkan bahawa ia adalah sunat, tidak wajib. Imam Ibnu Rusyd menjelaskan; “Apa yang terdapat dalam hadis Ummu Salamah tersebut adalah rukun-rukun mandi yang diwajibkan”. (Bidayatul-Mujtahid, jil. 1, hlm. 62).

5. Menggosok

Menggosok seluruh anggota dengan tangan semasa mandi adalah wajib mengikut pandangan Imam Malik dan disokong oleh Imam al-Muzani (salah seorang murid Imam Syafi’ie). Namun mengikut pandangan majoriti ulamak; menggosok adalah sunat sahaja. Yang wajib ialah memastikan air sampai ke seluruh badan. Jika air dapat sampai tanpa menggosok, kekallah hukumnya sebagai sunat. Namun jika air tidak dapat sampai melainkan dengan menggosok (comtohnya; di celah-celah jari yang rapat-rapat), maka ketika itu barulah hokum menggosok itu berubah menjadi wajib.

6. Muwalat

Muwalat bermaksud berturut-turut dari mula mandi hingga selesai tanpa berhenti atau melakukan pekerjaan lain. Menurut Imam Malik; muwalat ini adalah wajib semasa mandi bagi orang yang ingat dan mampu melakukannya. Adapun ulamak-ulamak yang lain; muwalat tidaklah wajib, akan tetapi disunatkan sahaja.

7. Berkumur dan Istinsyaq

Berkumur dan Istinsyaq adalah wajib dilakukan semasa mandi wajib mengikut pandangan Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad. Dalil mereka ialah sabda Nabi s.a.w. kepada Ummu Salamah r.a. tadi; “….kemudian kamu siramkan air ke badan kamu..”, di mana menurut mereka; mulut dan hidung termasuk dalam pengertian badan yang mesti dikenai air semasa mandi. (Lihat; al-Mughni, Ibnu Qudamah)

Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Malik; kedua-duanya hanya sunat sunat sahaja. Bagi Imam Syafi’ie; kedua-duanya adalah sunat muakkad di mana jika ditinggalkan adalah makruh. Imam Daud pula berpandangan; yang wajib hanya Istinsyaq sahaja. Adapun berkumur, tidak diwajibkan. Pandangan Imam Daud disokong oleh Imam Ibnu al-Munzir.

8. Membaca Bismillah

Menurut Imam Ahmad; membaca Bismillah ketika bersuci dari hadas (sama ada mengambil wudhuk atau mandi wajib) adalah wajib. Masa membaca Bismillah ialah selepas niat dan sebelum mula melakukan perbuatan-perbuatan untuk bersuci. (Lihat; al-Mughni, Ibnu Qudamah, jil. 1, hlm. 96). Namun tuntutan membaca Bismillah semasa mandi ini tidaklah sekuat tuntutan semasa mengambil wudhuk. Menurut pandangan majoriti ulamak; membaca Bismillah ini hanya sunat sahaja, tidak wajib sama ada semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib.

Apakah perbuatan-perbuatan lain yang dilakukan oleh Nabi ketika mandi wajib?

Selain dari perbuatan-perbuatan rukun atau wajib di atas, perbuatan-perbuatan lain yang disyariatkan (atas nama sunat) semasa mandi ialah;
1. Membasuh tangan terlebih dahulu.
2. Menggunakan tangan kiri ketika membasuh kemaluan dan ketika menghilangkan najis di badan jika ada.
3. Melakukan segala yang disunatkan semasa mengambil wudhuk.
4. Mula mandi dari atas ke bawah; yakni dari kepala turun ke kaki.
5. Memulakan mandi dari sebelah kanan; iaitu menjirus badan sebelah kanan, kemudian baru kiri. Tidak wajib tertib dalam memandikan angota badan. Namun disunatkan bermula dari kepala, kemudian bahagian atas badan dengan mendahulukan sebelah kanan.

Apakah hadis-hadis yang menjadi rujukan bagi sifat mandi yang sempurna?

Menurut Imam Ibnu Rusyd; para ulamak sepakat menyebutkan bahawa sifat mandi yang paling sempurna ialah yang terdapat di dalam hadis Saidatina ‘Aisyah r.a. dan Maimunah r.a..

1. Hadis ‘Aisyah r.a.

Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan; “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila baginda mandi janabah, baginda mula dengan membasuh dua tangannya. Kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya dengan menggunakan tangan kanannya, lalu (dengan tangan kiri itu) baginda membasuh kemaluannya. Kemudian baginda mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Kemudian baginda mengambil air, lalu memasukkan jari-jarinya ke akar rambutnya hingga apabila melihat air telah membasahi seluruh (kulit kepala dan akar-akar rambutnya), baginda mencebuk air (dan menjirus) ke kepalanya sebanyak tiga cebukan. Kemudian baginda menyiram air ke seluruh badannya. Kemudian baginda membasuh kedua kakinya”. (Riwayat Muslim)

2. Hadis Maimunah r.a.

Maimunah r.a. menceritakan; “Aku telah menyediakan untuk Nabi s.a.w. air untuk baginda mandi wajib. Baginda (mandi dengan mula) membasuh dua tangannya sebanyak dua atau tiga kali, kemudian baginda menuangkan air ke tangan kirinya lalu membasuh kemaluannya (yakni beristinjak), kemudian baginda menyapu tangannya ke tanah (untuk membersihkan tangan dari kesan najis selepas membasuh kemaluan atau istinjak tadi-pent.), kemudian baginda berkumur, beristinsyaq (membasuh hidung), membasuh muka dan dua tangannya (hingga ke siku), seterusnya baginda menyiramkan air ke seluruh jasadnya, berikutnya baginda s.a.w. mengalih/berganjak dari kedudukannya lalu mengakhiri mandi dengan membasuh kedua kakinya”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Ibnu ‘Abbas r.a. meriwayatkan dari Maimunah r.a. yang menceritakan; “(Semasa mandi wajib) Rasulullah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat kecuali dua kakinya dan baginda membasuh kemaluannya dan juga kekotoran yang mengenainya, kemudian baginda mencurahkan air ke badannya, berikutnya beliau mengalih dua kakinya dan membasuh keduanya. Begitulah mandi Rasulullah s.a.w. dari janabah”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Kita perhatikan di dalam hadis Maimunah di atas; Rasulullah mengambil wudhuk tanpa membasuh kakinya iaitu baginda menangguh basuhan kaki ke hujung mandi.

Bagaimana caranya melakukan mandi wajib yang sempurna?

Untuk melakukan mandi wajib dengan sempurna, ikutilah langkah-langkah berikut;

Langkah pertama

Baca Bismillah sambil menghadirkan niat di dalam hati (iaitu niat melakukan mandi wajib atau niat menghilangkan hadas). Kemudian basuh kedua tangan sebanyak tiga kali.

Langkah ke dua

Dengan menggunakan tangan kiri, basuh kemaluan (depan dan belakang) dan bersihkan najis atau kekotoran di badan jika ada.

Langkah ke tiga

Ambil wudhuk dengan sempurna sebagaimana wudhuk untuk mengerjakan solat. Jika ingin menangguhkan basuhan kaki ke hujung mandi diharuskan. Namun yang afdhal ialah menyempurnakannya.

Langkah ke empat

Kemudian lakukan mandian dengan bermula di bahagian kepala terlebih dahulu. Mula-mula, ambilkan air dan selati celah-celah rambut dengan jari-jari hingga rata air di kulit kepala dan akar-akar rambut. Setelah itu jiruskan air ke atas kepala dan ulanginya sebanyak tiga kali cebukan.

Langkah ke lima

Berikutnya, lakukan pula mandian di bahagian badan dengan menjirus air ke sebelah kanan terlebih dahulu, kemudian diikuti ke sebelah kiri. Semasa mandi, tangan hendaklah menggosok-gosok badan terutamanya bahagian-bahagian yang berlipat yang dikhuatiri tidak sampai air jika tidak digosok.

Langkah ke enam

Akhiri mandian dengan membasuh kedua kaki dan menggosok dicelah-celah jarinya. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; Apabila selesai mandian, disunatkan membaca doa sebagaimana doa yang sunat dibaca selepas mengambil wudhuk .

Wanita yang mendandan rambut atau mempunyai sanggul; wajibkah ia merungkaikan sanggul atau dandanannya itu ketika mandi?

Menurut mazhab Imam Syafi’ie; jika air dapat membasahi rambut dan dapat sampai ke kulit kepala tanpa merungkainya, maka tidak wajib merungkainya. Jika tidak, wajiblah ia merungkai dandanan atau sangggulnya. Jadi, yang penting ialah memastikan air mengenai rambut dan kulit kepala.

Imam Ahmad membezakan antara mandi kerana junub dan mandi kerana haid. Menurut beliau; jika mandi kerana junub, tidak wajib merungkai sanggul atau dandanan itu. Tetapi jika mandi kerana haid, wajiblah dirungkaikannya Ia berdalilkah dua hadis;

Pertama; hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; aku telah bertanya Nabi s.a.w.; “Ya Rasulullah s.a.w.! Aku adalah seorang yang mendandan rambut. Adakah perlu aku rungkaikannya untuk mandi junub?”. Jawab Nabi s.a.w.; “Tidak perlu. Cukuplah kamu menuang air ke atas kepalamu dengan tiga cebukan tangan, kemudian kamu siramkan air ke badan kamu, maka dengan itu kamu menjadi suci”(Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan at-Tirmizi). Hadis ini menjadi dalil bahawa; jika seorang perempuan mandi kerana junub, tidak wajib ia merungkai dandanan rambutnya.

Kedua; hadis dari ‘Aisyah –radhiyallahu ‘anha- yang menceritakan; Asma’ binti Syakal telah bertanya Nabi tentang mandi selepas haid. Lalu Nabi menerangkan; “Sesiapa dari kamu (yang kering darah haidnya-pent.) hendaklah ia mengambil air dan daun sidrnya, kemudian hendaklah ia mengambil wudhuk dengan menyempurnakan wudhuknya. Kemudian hendaklah ia menuangkan air ke atas kepalanya, lalu menggosok-gosokkan kepalanya dengan bersungguh-sungguh hingga air sampai ke segenap ruang kepalanya. Setelah itu hendaklah ia menyiramkan air ke badannya. Berikutnya, hendaklah ia mengambil secebis (kapas atau sebagainya) yang diletakkan wangian kasturi, kemudian bersihkanlah dengannya”. Asma’ bertanya; “Bagaimana aku hendak membersih dengannya?”. Nabi menjawab; “Subhanallah! Bersihkan lah dengannya”. Aisyah pun berkata kepadanya –dengan berbisik-; “Kamu cucikan dengannya kesan darah (yang masih ada di faraj kamu)”. Kemudian ia (yakni Asma’) bertanya pula tentang mandi kerana junub. Nabi menjawab; “Hendaklah ia (yakni wanita yang berjunub) mengambil air, lalu mengambil wudhuk dengan memperelokkan wudhuknya. Kemudian ia tuangkan air ke atas kepalanya sambil menggosok-gosok kepala hingga air sampai ke segenap ruang kepalanya. Setelah itu ia siramkan air ke seluruh badannya”. Berkata Aisyah; “Sebaik-baik wanita ialah wanita Ansar. Perasaan malu tidak menegah mereka dari mendalami agama” (Riwayat Imam Muslim). Hadis kedua ini menunjukkan perbezaan bagi mandi wanita antara mandi kerana junub dan mandi kerana haid. Semasa mandi kerana haid, diperintah oleh Nabi agar gosokan kepala dilakukan dengan sungguh-sungguh, sedangkan semasa mandi kerana junub baginda hanya menyuruh gosokan biasa sahaja. Jika dipadankan hadis ini dengan hadis pertama tadi, maka dapat disimpulkan bahawa; semasa mandi kerana haid wajiblah dandanan atau sanggul dirungkai agar gosokan dapat dilakukan dengan sungguh-sungguh sebagaimana yang disuruh oleh Nabi. Adapun semasa mandi kerana janabah, tidak wajib sanggul atau dandanan rambut dirungkai kerana sekalipun ia tidak rungkai, gosokan yang biasa masih dapat sempurnakan.

Apa hukum mandi telanjang?

Di khalayak ramai hukumnya adalah haram. Adapun di tempat yang tersembunyi atau tertutup, hukumnya harus. Berkata Qadhi ‘Iyadh; keharusan mandi bertelanjang di tempat yang tertutup atau tersembunyi dari orang lain merupakan pandangan jumhur atau majoriti ulamak”. Keharusan ini berdalilkan hadis Abu Hurairah r.a. yang meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. yang bercerita; “Adalah Bani Israel mandi dengan bertelanjang (sesama mereka di mana) sebahagian mereka melihat kepada sebahagian yang lain. Akan tetapi Nabi Musa a.s. mandi bersendirian (kerana menjaga auratnya). Maka mereka (yakni Bani Isreal) mendakwa; ‘Demi Allah! Tidak menghalang Musa mandi bersama kita melainkan kerana buah zakarnya bengkak’. Satu hari Musa pergi untuk mandi. Ia meletakkan pakaiannya di satu batu. Tiba-tiba batu itu lari bersama pakaiannya. Musa pun keluar dari tempat mandi itu (dalam keadaan bertelanjang) mengekori batu itu sambil memanggil; ‘Pakaianku, wahai batu’, hingga ia dilihat oleh Bani Isreal. Maka mereka berkata; ‘Demi Allah! Tidak ada sebarang kecacatan pada Musa (sebagaimana yang didakwa)’. Musa dapat mengambil kembali pakaiannya dan dia lalu memukul batu itu” (Riwayat Imam al-Bukhari). Berhujjah dengan hadis ini adalah satu cabang dari berhujjah dengan syariat sebelum Islam.

Sekalipun harus, namun yang terbaik ialah menutup aurat (yakni; sekalipun harus mandi bertelanjang di tempat tersembunyi, namun yang paling baik ialah mandi dengan menutup aurat). Dalilnya ialah hadis dari Mu’awiyah bin Haidah r.a. yang menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Bila masanya wajib kami tutup dan bila masanya harus kami buka?”. Jawab baginda; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau kepada hamba yang kamu miliki”. Aku bertanya lagi; “Bagaimana jika sekiranya seseorang dari kami sedang bersendirian?”. Nabi menjawab; “Allah lebih layak untuk kamu malu dari manusia” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Imam Abu Laila menganggahi pandangan jumhur di mana menurut beliau; ditegah mandi telanjang sekalipun ditempat tertutup atau tersembunyi kerana air juga mempunyai penghuninya.

Mengambil wudhuk semasa mandi wajib; mana yang afdhal antara menyegerakan basuhan kaki atau menangguhnya ke hujung mandi?

Harus sama ada hendak menyegerakan basuhan kaki atau menangguhnya iaitu dengan membasuhnya di hujung mandi. Dalil menyegerakannya ialah hadis ‘Aisyah r.a.. Adapun dalil menangguhnya ialah hadis Maimunah r.a.. Kedua-dua hadis tersebut telah kita bentang tadi (sila rujuk kembali). Mana yang afdhal; menyegerakannya atau menangguhnya? Majoriti ulamak berpendapat; yang afdhal ialah menangguhnya. Mengikut pandangan yang rajih dalam mazhab Syafi’ie; yang afdhal ialah menyegerakannya (yakni menyempurnakan wudhuk hingga basuhan kaki). Ini kerana kebanyakan riwayat dari ‘Aisyah dan Maimunah menyebutkan bahawa Nabi s.a.w. menyempurnakan wudhuknya hingga basuhan kaki, tanpa menangguhnya ke hujung mandi. Menurut Imam Malik pula; jika tempat mandi itu tidak bersih, elok ditangguhkan basuhan kaki. Namun jika tempat mandi itu bersih, maka yang afdhal ialah menyegerakan basuhan kaki. (Nailul-Autar, jil. 1, kitab at-Toharah, Abwab al-Aghsal al-Mustahabbah, bab Sifati al-Ghusl).

Adakah perlu mengambil wudhuk sekali lagi selepas mandi?

Mengambil wudhuk semasa mandi wajib hanya disunatkan sekali sahaja iaitu di awal mandi. Telah ijmak ulamak bahawa tidak disyari’atkan dua kali wudhuk dalam satu mandi. Ini berdalilkan hadis dari Aisyah r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. tidak mengambil wudhuk selepas mandi junub”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari ‘Aisyah r.a.. Berkata at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh). Kecualilah jika seseorang telah melakukan perkara yang membatalkan wudhuk selepas selesai mandinya. Maka ketika itu, wajiblah ia memgambil wudhuk.

Categories: Fiqh'

BERSUCI (WUDHUK)

Apakah hukum mengambil wudhuk?

Wudhuk adalah wajib setiap kali hendak mengerjakan solat termasuklah solat jenazah. Tidak sah solat tanpa wudhuk. Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda; “Allah tidak menerima solat seseorang dari kamu jika ia berhadas sehinggalah ia mengambil wudhu’” (Riwayat Imam Bukhari, at-Tirmizi dan Ahmad).

Selain untuk mengerjakan solat, wudhuk juga diwajibkan untuk melakukan perkara berikut;
1. Melakukan sujud; sama ada sujud tilawah atau sujud syukur (iaitu mengikut jumhur ulamak. Adapun menurut Imam Ibnu Hazim; tidak disyaratkan wudhuk untuk melakukan sujud, yakni harus sujud tanpa wudhuk.
2. Mengerjakan Tawaf (mengikut jumhur ulamak. Menurut mazhab Hanafi, tidak disyaratkan wudhu, yakni; sah tawaf tanpa wudhuk).
3. Memegang/ menyentuh, membawa atau memikul mushaf al-Quran (iaitu mengikut pandangan jumhur ulamak. Ada ulamak tidak mewajibkannya, antaranya Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi).
4. Menjadi khatib untuk solat jumaat (pada pandangan mazhab Syafi’ie).

Apakah kelebihan wudhuk?

Nabi s.a.w. bersabda; “Sesiapa mengambil wudhuk, lalu ia memperelokkan wudhuknya (yakni mengambil wudhuk dengan sempurna), akan gugurlah dosa-dosa dari tubuhnya termasuklah dosa dari celah-celah kukunya” (Riwayat Imam Muslim dari Usman bin ‘Affan r.a.).

Apakah syarat-syarat sah wudhuk?

1. Hendaklah air yang digunakan untuk mengambil wudhuk adalah air yang sah digunakan untuk bersuci iaitu air mutlak (rujuk penjelasan tentang air mutlak dalam tajuk yang lalu).

2. Tidak ada penghalang yang menghalang sampainya air ke anggota seperti cat, varnis dan sebagainya. Tidak sah wudhuk jika pada anggota wudhuk terdapat bahan yang menghalang air dari mengenai kulit atau rambut. Wanita yang mengecat kukunya, wajib menaggalkannya sebelum mengambil wudhuk. Jika tidak, wudhuknya tidak sah.

3. Tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan wudhuk ketika sedang mengambil wudhuk seperti kentut atau sebagainya. Jika seorang terkentut ketika sedang mengambil wudhuk, wajib ia mengulangi semula wudhuknya dari awal. Namun dikecualikan syarat ini bagi orang-orang yang berkeuzuran seperti wanita yang istihadhah, orang yang menghadapi sulasul-baul (kencing tak putus) dan orang yang tidak terkawal kentutnya. Seorang yang menghadapi sulasul-baul sebagai contohnya, jika sedang mengambil wudhuk air kencing menitis keluar dari kemaluannya, tidak perlu ia mengulangi wudhuknya kerana ia berkeuzuran.

4. Telah masuk waktu solat. Syarat ini khusus bagi orang yang berkeuzuran seperti wanita yang istihadhah, orang yang menghadapi sulasul-baul (kencing tak putus) dan orang yang sentiasa terkentut tadi. Mereka ini tidak harus mengambil wudhuk untuk menunaikan solat fardhu melainkan setelah masuk waktu kerana toharah mereka adalah toharah dharurat (terpaksa), maka tidak harus sebelum tibanya waktu perlu (وقت الحاجة).

Apakah perbuatan-perbuatan rukun semasa mengambil wudhuk?

Para ulamak berbeza pandangan dalam menghitung perbuatan-perbuatan yang menjadi rukun dalam wudhuk. Ada mazhab menyatakan rukun wudhuk ada enam, ada yang menyatakannya tujuh dan ada yang empat sahaja. Namun mereka tidak berbeza pada empat perbuatan iaitu;

1. Membasuh muka
2. Membasuh dua tangan hingga siku
3. Menyapu kepala
4. Membasuh kaki hingga buku lali

Keempat-empat perbuatan di atas disepakati oleh sekelian ulamak sebagai rukun wudhuk iaitu wajib dilakukan semasa mengambil wudhuk. Ini kerana keempat-empat perbuatan ini terkandung dalam firman Allah tentang wudhuk (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka ambillah wudhuk, iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…”. (Surah al-Maidah, ayat 6).

Selain dari empat di atas, perbuatan-perbuatan lain yang menurut sebahagian ulamak di anggap rukun ialah;

a) Niat; niat bermaksud mendetikkan di dalam hati keinginan untuk melakukan sesuatu amalan kerana Allah Taala. Mengikut pandangan Imam Syafiie dan Imam Ahmad, niat adalah wajib semasa mengambil wudhuk. Bagi mazhab Syafi’ie, niat mengambil wudhuk wajib dihadirkan ketika mula membasuh anggota wudhuk yang wajib (iaitu muka). Bagi mazhab Imam Ahmad pula, harus berniat sebelum memulakan wudhuk. Imam Abu Hanifah berpandangan; niat adalah sunat sahaja, tidak wajib.

2. Membaca Bismillah; menurut Imam Ahmad, membaca Bismillah adalah wajib semasa mengambil wudhuk. Adapun ulamak-ulamak yang lain –termasuk mazhab Syafi’ie- mereka mensunatkannya sahaja.

3. Muwalat; iaitu membasuh anggota demi anggota tanpa diselangi di antaranya dengan berhenti yang lama, yakni bersegera membasuh anggota yang lain sebelum kering air pada anggota sebelumnya. Muwalat ini adalah wajib pada pandangan mazhab Imam Malik dan Imam Ahmad. Adapun pada pandangan mazhab Imam Syafi’ie, muwalat ini disunatkan sahaja.

4. Tadlik; iaitu menggosok dengan melalukan tangan ke atas anggota-anggota wudhuk termasuklah menyelati (menggosok) celah-celah janggut dan celah-celah jari tangan dan kaki. Tadlik ini adalah wajib pada pandangan Imam Malik. Pada pandangan mazhab yang lain, ia sunat sahaja kecuali jika dikhuatiri tidak sampai air tanpa melakukannya, maka barulah wajib dilakukan.

5. Berkumur dan membasuh hidung; Berkumur dan membasuh hidung adalah wajib mengikut pandangan ulamak-ulamak mazhab Imam Ahmad kerana kedua-duanya termasuk dalam kawasan muka di sisi mereka.

6. Menyapu telinga; ia adalah wajib pada pandangan mazhab Imam Ahmad kerana ia termasuk dalam kawasan kepala di sisi mereka.

7. Tertib; iaitu membasuh mengikut urutan yang ditetapkan bermula dengan niat, kemudian membasuh muka, seterusnya membasuh tanggan hingga siku, menyapu kepala dan diakhiri dengan membasuh kaki iaitu tanpa mendahulukan yang kemudian atau mengkemudiankan yang dahulu. Tertib ini adalah wajib atau rukun pada pandangan Imam Syafi’ie.

Apakah perbuatan-perbuatan lain yang disyari’atkan semasa mengambil wudhuk?

Selain dari perbuatan-perbuatan rukun di atas, perbuatan-perbuatan lain yang disyari’atkan (yakni yang disuruh supaya dilakukan walaupun atas nama sunat) semasa mengambil wudhuk ialah;
1. Menggosok gigi (bersiwak) sebelum mula mengambil wudhuk.
2. Membasuh kedua tangan hingga ke pergelangannya
3. Mendahulukan anggota kanan dari kiri
7. Menyapu keseluruhan kepala
8. Mengulangi basuhan tiga kali (kecuali kepala)
9. Menjimatkan air semasa mengambil wudhuk
10. Membasuh anggota wudhuk melebihi sedikit dari had wajib.
11. Membaca doa selepas selesai mengambil wudhuk.
12. Menunaikan solat dua rakaat selepas mengambil wudhuk.

Apakah hadis-hadis yang menjadi rujukan kepada sifat wudhuk Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-?

Antara hadis yang menjadi rujukan tentang sifat wudhuk Nabi ialah;

Pertama;

Abdullah bin Zaid r.a. tatkala menceritakan cara Nabi s.a.w. mengambil wudhuk, beliau meminta satu bekas air. Kemudian beliau menuangkan air dari bekas itu ke atas dua tangannya, lalu membasuh kedua-dua tangannya itu tiga kali. Kemudian ia mencelup tangannya ke dalam bekas air itu, lalu berkumur, menghisap air ke dalam hidung dan menghamburnya sebanyak tiga kali dengan tiga cebukan tangan. Kemudian ia mencelupkan lagi tangannya ke dalam air, lalu membasuh mukanya tiga kali. Kemudian mencelupkan lagi tangannya, lalu membasuh kedua-dua tangannya hingga ke siku sebanyak dua kali. Kemudian ia mencelup dua tangannya, lalu menyapu dengan kedua-dua tangannya itu akan kepalanya iaitu dengan meletakkan kedua-dua tangannya di hadapan dan menolaknya ke belakang sebanyak sekali sahaja. Kemudian ia membasuh kedua-dua kakinya”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Malik, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai)

Kedua;

Humran menceritakan bahawa ia melihat ‘Usman bin ‘Affan r.a. meminta sebekas air untuk berwudhuk, lalu ia menuang air ke atas kedua-dua tangannya dan membasuh kedua-dua tangannya itu tiga kali. Kemudian ia mencelup tangan kanannya ke dalam air wudhuk itu, kemudian ia berkumur, menyedut air ke hidung dan menghamburnya. Kemudian ia membasuh mukanya sebanyak tiga kali dan membasuh kedua tangannya hingga ke dua siku tiga kali juga. Kemudian ia menyapu kepalanya. Kemudian ia membasuh kedua-dua kakinya tiga kali. Kemudian (setelah selesai mengambil wudhuk) ia berkata; ‘Aku telah melihat Nabi s.a.w. mengambil wudhuk seumpama wudhuk aku ini dan baginda bersabda; ‘Sesiapa mengambil wudhuk seumpama wudhuk aku ini, kemudian ia mengerjakan solat dua rakaat di mana dalam solat dua rakaat itu dia tidak berkata-kata kepada dirinya (dengan sesuatu dari urusan duniawi), nescaya Allah akan mengurniakan keampunan untuknya terhadap apa yang telah lalu dari dosa-dosanya”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai dan ad-Darimi)

Ketiga

Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. mengambil wudhuk di mana baginda mencebuk satu cebukan dengan tangan lalu berkumur dan berstinsyaq (yakni membasuh hidung), kemudian baginda mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh muka, kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh tangan kanannya (hingga ke siku), kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh tangan kirinya (hingga ke siku), kemudian baginda menyapu kepalanya dan dua telinganya; telinga dalam dengan kedua jari telunjuknya dan telinga luar dengan dua ibu jarinya, kemudian baginda mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh kaki kanannya, kemudian mencebuk satu cebukan lagi lalu membasuh kaki kirinya”. (Riwayat Imam an-Nasai dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh)

Keempat

Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; ‘Sesungguhnya Nabi s.a.w. mengambil wudhuk sekali sekali’ (Riwayat al-Hakim, at-Tirmizi dan Ahmad. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis yang serupa diriwayatkan juga dari Umar, Jabir, Buraidah, Abi Rafi’ dan Ibnul-Fakih. Namun hadis dari Ibnu ‘Abbas adalah paling baik dan paling soheh. (Sunan at-Tirmizi, abwab at-toharah)).

Abdullah bin Zaid r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. mengambil wudhuk dua dua kali”. (Riwayat Imam Bukhari dan Ahmad) Saidina ‘Usman r.a menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. mengambil wudhuk tiga-tiga kali”. (Riwayat Imam Muslim dan Ahmad)

‘Amru bin Syu’aib meriwayatkan dari bapanya (Syu’aib bin ‘Abdullah) yang meriwayatkan dari datuknya (iaitu ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a.), menceritakan; “Seorang ‘Arabi (Arab pendalaman) telah datang kepada Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang wudhuk. Maka Nabi s.a.w. memperlihatkan kepadanya (cara berwudhuk) tiga-tiga kali. Kemudian baginda bersabda; ‘Inilah cara sepatutnya mengambil wudhuk. Sesiapa yang menambah (dari bilangan tersebut) sesungguhnya ia melakukan kesalahan, melampau dan berlaku zalim”.
(Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar; hadis ini telah diriwayatkan dari jalan-jalan periwayatan yang soheh. Ia telah disahkan oleh Ibnu Khuzaimah dan lainnya. (Lihat; Nailul-Autar, Kitab at-Toharah, bab al-wudhu’ marratan au marratain au tsalatsan…))

Kelima

Abu Hurairah r.a. menceritakan; Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Apabila kamu memakai pakaian dan apabila kamu mengambil wudhuk, maka mulailah dengan sebelah kanan kamu”. (Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dengan sanad yang soheh)

Dari Aisyah r.a. menceritakan; “Rasulullah s.a.w. menyukai bermula dengan sebelah kanan dalam semua urusannya; ketika memakai dua kasut/sepatu, mensisir rambut dan bersuci”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Bagaimana cara berniat untuk mengambil wudhuk?

Iaitu dengan menghadirkan di dalam hati tatkala memulakan wudhuk (iaitu semasa membaca Bismillah atau semasa mula membasuh tangan) niat untuk mengambil wudhuk atau niat untuk menghilangkan hadas kecil. Yang dikatakan niat ialah; gerak hati kita tatkala kita melakukan sesuatu. Niat yang wajib kita hadirkan ialah di dalam hati. Adapun melafazkan dengan lidah, ia sunat sahaja di dalam mazhab Syafi’ie sendiri, tidak wajib. Malah ada ulamak yang tidak membenarkan niat dilafazkan dengan lidah kerana tidak pernah dilakukan oleh Nabi atau para sahabat.

Adakah wajib meratakan air ke seluruh anggota wudhuk?

Ya. Terdapat hadis menceritakan; “Seorang lelaki mengambil wudhuk, lalu ia membiarkan di kakinya tempat sebesar kuku (tidak dibasahi air) dan dilihat oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Maka baginda berkata kepadanya; “Kembali dan perelokkanlah wudhuk kamu”. Maka ia pun kembali (ke tempat wudhuk untuk memperelokkan wudhuknya), kemudian ia mengerjakan solat” (Riwayat Imam Muslim dari Jabir –radhiyallahu ‘anhu-).

Menurut Imam an-Nawawi, hadis di atas menunjukkan bahawa sesiapa mengabai atau meninggalkan walaupun bahagian yang kecil dari kawasan yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk, maka wudhuknya tidak sah sekalipun ia jahil. (Syarh Soheh Muslim, 3/134-135).

Bagaimana cara membasuh hidung yang sempurna?

Cara membasuh hidung yang sempurna ialah dengan menggabungkan antara Istinsyaq dan Istinsar sebagaimana dalam hadis Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-. Al-Istinsyaq bermaksud menghisap air ke dalam hidung, sementara al-Istinsar pula ialah menghambusnya keluar. Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan bahawa Nabi bersabda: “Apabila seseorang dari kamu mengambil wudhuk, maka masukkanlah air ke dalam hidungnya, kemudian hendaklah ia menghambuskannya”. (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Malik, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai). Basuhan hidung ini sunat diulangi dua atau tiga kali juga.

Adakah berkumur dan membasuh hidung sunat dilakukan dengan satu cebukan yang sama atau bersaingan?

Sunat berkumur dan membasuh hidung dilakukan dengan cebukan yang sama. Cebukkan air dengan tangan; gunakan sebahagian untuk berkumur dan sebahagian lagi untuk membasuh hidung. Kaifiyat inilah yang dilakukan oleh Nabi. Abdullah bin Zaid –radhiyallahu ‘anhu- (seorang sahabat) tatkala menceritakan sifat wudhuk Nabi, beliau mengambil air dari bekas air, lalu berkumur, menghisap air ke dalam hidung dan menghamburnya. Beliau melakukannya sebanyak tiga kali dengan tiga cebukan tangan (yakni setiap cebukan; sebahagian untuk berkumur dan sebahagian untuk membasuh hidung). (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Malik, Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai)

Apakah batasan kawasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk?

Had atau batasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk ialah; (secara menegak) bermula dari tempat mula tumbuhnya rambut (iaitu sempadan antara muka dan kepala) hingga ke dagu dan (secara melebar) dari telinga ke telinga. Wajib diratakan air hingga meliputi seluruh kawasan tersebut. Lelaki yang berjanggut hendaklah menggosok-gosok janggutnya agar air dapat sampai ke kulit di bawahnya. Menurut Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu-; “Sesungguhnya Nabi apabila mengambil wudhuk, baginda mengambil secebuk air dengan tangannya, lalu memasukkanya ke bawah dagunya, lalu menyelati (menggosok-gosok di celah-celah) janggutnya dengan air itu. Kemudian baginda bersabda; “Beginilah Tuhanku menyuruhku” (Riwayat Imam Abu Daud dan al-Hakim). Basuhan muka ini juga sunat diulang dua atau tiga kali juga.

Bagaimana cara menyapu kepala yang sempurna?

Cara yang sempurna ialah dengan meliputi keseluruhan kepala mengikut kaifiyat dalam hadis Nabi iaitu; membasahkan kedua tangan dengan air, kemudian meletaknya di bahagian depan kepala dan seterusnya menolaknya ke belakang hingga ke tengkuk. Kemudian menolak semula kedua-dua tangan itu kembali ke tempat mulanya (yakni depan kepala). Abdullah bin Zaid –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “(Ketika menyapu kepala) Nabi memulakan dengan bahagian depan kepalanya (yakni dengan meletakkan kedua-dua tangannya di bahagian depan kepalanya dan) menolaknya hingga ke tengkuknya. Kemudian ia menolak semula kedua-dua tangannya hingga kembali ke tempat mulanya” (Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Ahmad, Ibnu Majah, at-Tirmizi, an-Nasai dan Abu Daud).

Adakah menyapu telinga disunatkan dengan air yang baru atau dengan air baki sapuan kepala?

Dua telinga menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad termasuk dalam batasan kepala. Maka menurut mereka; dua telinga sunat disapu bersama dengan menyapu kepala (yakni menggunakan air yang sama untuk sapuan kepala, bukan air yang baru). Dalil mereka ialah hadis dari Abu Umamah al-Bahili –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan bahawa Nabi bersabda; “Dua telinga itu termasuk dari kepala” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Namun menurut Imam Syafi’ie, dua telinga tidak termasuk dalam kepala. Oleh itu, ia hendaklah disapu dengan air yang baru, bukan dengan air yang sama untuk sapuan kepala. Dalil beliau ialah hadis Abdullah bin Zaid al-Ansari yang menceritakan; “Aku telah melihat Nabi mengambil wudhuk di mana baginda mengambil air baru untuk menyapu dua telinganya, bukan air yang digunakan untuk menyapu kepalanya” (Riwayat Imam al-Hakim dan al-Baihaqi). Menurut Imam Syafi’ie, sapuan telinga juga sunat diulangi tiga kali.

Anggota-anggota wudhuk yang manakah yang sunat dilebihkan basuhannya dari had yang wajib semasa mengambil wudhuk?

Iaitulah muka, tangan hingga siku dan kaki. Tiga anggota wudhuk ini sunat dilebihkan sedikit basuhannya dari had yang wajib untuk memanjangkan nur pada anggota tersebut di akhirat kelak. Ini sebagaimana sabda Nabi; “Sesungguhnya umatku akan diseru pada hari kiamat dan mereka akan datang dengan wajah, tangan dan kaki mereka cemerlang bercahaya dari bekas wudhuk. Maka sesiapa dari kalangan kamu yang mampu untuk memanjangkan cahayanya, maka lakukanlah”. (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda; “Perhiasan pada diri seorang mukmin (pada hari kiamat) akan sampai sehingga tempat sampai wudhuknya” (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu-). Maksud hadis ialah; kelak di akhirat anggota-anggota wudhuk orang mukmin akan diberi penuh perhiasan di syurga.

Apakah hukum menggosok celah-celah jari tangan dan kaki ketika mengambil wudhuk?

Menurut Imam Malik dan al-Muzani; wajib menggosok celah-celah jari tangan dan kaki semasa mengambil wudhuk. Mereka berdalikan hadis dari Laqidh bin Shabrah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Aku telah bertanya kepada Rasulullah; “Ya Rasulullah! Beritahu kepadaku tentang wudhuk”. Baginda bersabda; “Sempurnakanlah wudhuk, selatilah (yakni gosoklah) di antara celah-celah jari (tangan dan kaki) dan bersungguh-sungguhlah dalam beristinsyaq (membasuh hidung) kecuali jika kamu berpuasa” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi). Begitu juga hadis dari al-Mustaurid bin Syaddad al-Fihri –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; “Aku melihat Nabi sapabila mengambil wudhuk baginda menggosok celah-celah jari kedua kakinya dengan jari kelingkingnya” Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah).

Namun menurut mazhab Syafi’ie, menggosok celah-celah jari tangan dan kaki adalah sunat sahaja. Ia tidak wajib kecuali ke atas orang yang mempunyai jari-jari kaki yang rapat-rapat di mana jika tidak digosok nescaya air tidak akan sampai ke celah-celah jari kakinya itu.

Adakah semua anggota wudhuk sunat diulangi basuhan dua atau tiga kali?

Ya, semua anggota wudhuk sunat diulangi basuhannya dua atau tiga kali kecuali sapuan kepala sahaja di mana terdapat khilaf di kalangan ulamak;

Pertama; menurut Imam Syafi’ie, menyapu kepala sama seperti anggota wudhuk yang lain iaitu sunat diulangi tiga kali. Beliau berdalilkan hadis Saidina Usman di mana beliau menceritakan; “Sesungguhnya Nabi mengambil wudhuk tiga-tiga kali” (Riwayat Imam Muslim dan Ahmad).

Kedua; menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Ahmad; menyapu kepala disunatkan sekali sahaja, yakni tidak sunat mengulanginya dua atau tiga kali. Mereka berdalilkan hadis dari Saidina ‘Ali yang menegaskan; “Nabi menyapu kepalanya sekali sahaja” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi dan an-Nasai). Selain itu menurut mereka; hadis-hadis tentang sifat wudhuk semuanya menceritakan bahawa Nabi menyapu kepala sekali sahaja.

Apakah doa yang sunat dibaca apabila selesai mengambil wudhuk?

Sebaik sahaja selesai mengambil wudhuk, disunatkan membaca doa yang terdapat dalam hadis iaitu;

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إلاَّ اللّهُ وَأَنَّ مُحمَّداً عَبْدُ اللّهِ وَرَسُولُهُ، اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِيْنَ، وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ
“Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba Allah dan RasulNya. Ya Allah! Jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang bersuci”.
(Berdasarkan hadis riwayat Imam Muslim dan at-Tirmizi dari Umar bin al-Khattab)

Apakah fadhilat solat sunat dua rakaat selepas wudhuk?

Sabda Nabi; “Sesiapa mengambil wudhuk dengan menyempurnakan wudhuknya, setelah itu ia lakukan solat dua rakaat dengan menumpukan hati dan wajah kepada solat dua rakaat itu, nescaya wajiblah untuknya syurga (dari Allah)”. (Riwayat Imam Abu Daud dari ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani r.a.).

Adakah solat sunat wudhuk harus dilakukan bila-bila masa?

Ya, solat sunat wudhuk harus ditunaikan bila-bila masa termasuklah dalam waktu-waktu tegahan kerana ia adalah solat bersebab. Jika selepas mengambil wudhuk seseorang itu tidak menunaikan solat sunat wudhuk tetapi menunaikan solat fardhu atau solat sunat yang lain, ia masih mendapat fadhilat solat selepas wudhuk tersebut. Kedudukannya sama seperti solat sunat tahiyyatul-masjid.

Bagaimana yang dikatakan pembaziran ketika mengambil wudhuk?

Pembaziran berlaku sama ada dalam penggunaan air (yakni menggunakan air secara berlebih-lebihan) atau menambahkan bilangan basuhan melebihi kadar maksima yang disunatkan iaitu tiga kali. Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa membasuh melebihi tiga kali sesungguhnya ia melakukan kesalahan dan melampau batas”. (Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Ibnu Majah, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah).

Jika mengambil wudhuk melalui tadahan air paip, seelok-eloknya kecilkan bukaan paip untuk mengelak air berlebihan ketika mengambil wudhuk. Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah s.a.w. berjalan melalui Sa’ad r.a. yang sedang mengambil wudhuk (dengan menggunakan air yang banyak). Lalu baginda berkata kepadanya; “Pembaziran apakah ini wahai Sa’ad?”. Lalu Sa’ad menjawab; “Adakah dalam menggunakan air juga terdapat pembaziran?”. Rasulullah menjawab; “Ya! Sekalipun engkau berada di tepi sungai yang mengalir airnya”. (Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Majah).

Categories: Fiqh'

BERSUCI (HADAS)

Apa maksud hadas?

Hadas ialah kekokotoran maknawi pada diri yang menegah sahnya ibadah yang disyaratkan bersuci iaitu solat, tawaf dan sebagainya. Orang berhadas tidak bersih di sisi Allah sekalipun di sisi manusia kelihatan bersih. Kerana itu, orang yang berhadas wajib menyucikan dirinya mengikut cara yang ditetapkan Syarak sebelum mengadap Allah melalui ibadah-ibadah tadi.

Berapa jenis hadas? Apa cara menyucikannya?

Hadas ada dua jenis, iaitu;
1. Hadas kecil
2. Hadas besar

Cara menyucikan hadas kecil ialah dengan mengambil wudhuk. Adapun cara menyucikan hadas besar ialah dengan mandi. Jika kedua-duanya tidak dapat dilakukan kerana sakit, ketiadaan air atau sebagainya, hendaklah diganti dengan tayammum. Kesimpulannya, cara menyucikan hadas yang ditetapkan oleh Syarak ada tiga, iaitu;
1. Wudhuk; untuk menyucikan hadas kecil
2. Mandi; untuk menyucikan hadas besar
3. Tayammum; gantian kepada wudhuk atau mandi.

Apakah dalil kewajipan bersuci dari hadas

Kewajipan bersuci dari hadas secara umumnya (merangkumi mengambil wudhuk, mandi wajib dan tayammum) disebut oleh Allah di dalam surah al-Maidah, ayat 6 (yang bermaksud); “Wahai orang-orang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah (dengan mandi wajib); dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan (debu) tanah yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan (debu) tanah itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi ia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu supaya kamu bersyukur” (al-Maidah; 6).

Perhatikan; di awal ayat Allah menyebut tentang wudhuk, di tengahnya menyebut tentang mandi wajib dan di hujung pula menyebut tentang tayammum.

SEBAB-SEBAB HADAS KECIL

Apa sebab terjadinya hadas kecil?
(Perkara-perkara yang membatalkan wudhuk)

Hadas kecil terjadi apabila seseorang itu terbatal wudhuknya. Sebab-sebab yang membatalkan wudhuk ialah;

1. Keluar sesuatu dari kemaluan

Keluar sesuatu dari kemaluan sama ada kemaluan hadapan atau belakang, yakni zakar/faraj atau dubur sama ada yang keluar itu air kencing, tahi, kentut, air mazi atau air wadi akan membatalkan wudhuk. Ia telah disepakati oleh sekelian ulamak berdalilkan ayat Allah (yang bermaksud); “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuhan dengan perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…”. (al-Maidah; 6)

Ungkapan “…atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air…” di dalam ayat di atas bermaksud selepas kencing atau berak, yakni apabila seseorang dari kamu selesai dari kencing atau berak, hendaklah ia mengambil wudhuk. Jika tidak ditemui air, hendaklah ia bertayammum. Di dalam hadis, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Tidak diterima solat seseorang dari kamu jika ia berhadas hinggalah ia mengambil wudhuk (terlebih dahulu)”. Seorang lelaki penduduk Hadramaut bertanya Abu Hurairah (yang menyampaikan hadis ini); “Wahai Abu Hurairah, apa itu hadas?”. Jawab beliau; “Kentut (sama ada yang tidak berbunyi atau yang berbunyi)” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah). Dalam hadis yang lain, Nabi bersabda; “Tidak wajib wudhuk kecuali bila terdengar bunyi (yakni bunyi kentut) atau keluar angin (kentut tanpa bunyi)” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah. Menurut Imam an-Nawawi, hadis ini soheh).

Bagaimana jika yang keluar dari kemaluan itu adalah batu, darah, ulat dan sebagainya dari perkara yang jarang berlaku?

Menurut jumhur ulamak –termasuk mazhab Syafi’ie, Abu Hanifah dan Ahmad-; semua yang keluar melalui zakar dan dubur akan membatalkan wudhuk sama ada dari benda-benda yang biasa (yakni tahi, kencing dan sebagainya tadi) atau yang luar biasa (batu, darah, ulat dan sebagainya). Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. memerintahkan wanita yang mengalami istihadhah (yakni keluar darah dari kemaluannya di luar masa haid) agar mengambil wudhuk setiap kali hendak menunaikan solat fardhu (Riwayat Imam Abu Daud dan ad-Daruqutni dari Fatimah bin Abi Hubais r.a. dengan sanad yang siqah). Hadis ini menunjukkan bahawa keluar darah dari kemaluan membatalkan wudhuk sekalipun ia bukan selalu berlaku. Dikias kepadanya benda-benda lain yang jarang keluar melalui kemaluan. Mazhab Imam Malik berpendapat; “Perkara-perkara yang jarang keluar melalui kemaluan itu tidak membatalkan wudhuk”.

Jika seseorang tidak dapat mengeluarkan najis melalui saluran asal (yakni zakar atau duburnya), lalu dibuat saluran di bahagian ususnya, adakah najis yang keluar melalui saluran baru itu akan membatalkan wudhuk?

Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan juga Imam Malik; “Ia membatalkan wudhuk jika sekiranya lubang atau saluran itu berada di bawah perut dan saluran najis yang asal (iaitu zakar atau dubur) telah tertutup, yakni saluran baru itu telah mengambil tempat saluran asal sebagai tempat keluar najis”.

2. Tidur

Tidur membatalkan wudhuk berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Mata adalah pengikat punggung (dubur). Maka sesiapa tidur, hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Ali r.a.).

Menurut mazhab Syafi’ie dan juga Abu Hanifah, tidur yang membatalkan wudhuk ialah tidur nyenyak yang tidak tetap kedudukannya. Adapun tidur yang tetap kedudukannya, maka ia tidak membatalkan wudhuk. Yang dikatakan tidur yang tetap kedudukan ialah tidur sambil duduk dalam keadaan punggung rapat ke tanah (tidak beralih ke kanan atau ke kiri). Mereka berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang bercerita; “Sahabat-sahabat Nabi s.a.w. tatkala sedang menunggu untuk menunaikan solat Isyak mereka tertidur sambil duduk. Kemudian (apabila masuk waktu Isyak) mereka menunaikan solat tanpa mereka mengambil wudhuk (terlebih dahulu)” (Riwayat Imam Syafi’ie, Abu Daud, Muslim dan at-Tirmizi). Bagi ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie dan juga Abu Hanifah, bukan semata-mata tidur itu yang membatalkan wudhuk, akan tetapi kebimbangan akan keluarnya sesuatu dari dua jalan (qubul atau dubur) ketika tidur itu. Tidur yang tetap kedudukan tidak ada kebimbangan akan keluarnya sesuatu dari qubul atau dubur kerana papan punggung rapat ke tanah. Oleh itu, ia tidak membatalkan wudhuk. Adapun tidur yang tidak tetap kedudukannya, kebimbangan itu ada. Oleh itu, ia membatalkan wudhuk.

Ulamak-ulamak mazhab Malik dan Hanbali pula berpendapat; tidur yang nyenyak (yang tidak sedarkan diri) keseluruhannya membatalkan wudhuk sama ada tetap kedudukannya atau tidak. Ini kerana bagi mereka, tidur itu sendiri menjadi faktor yang membatalkan wudhuk. Asalkan wujudnya tidur dan tidur itu nenyak, maka batallah wudhuk sama ada sambil duduk, berbaring atau melentang.

3. Hilang akal

Hilang akal dengan sebab mabuk, gila, pitam, termakan ubat yang memabukkan atau sebagainya. Hal ini telah disepakati oleh sekelian ulamak kerana berdalilkan kepada hadis tentang tidur di atas di mana kebimbangan akan keluarnya sesuatu dari dua jalan (zakar atau dubur) ketika seseorang itu gila, pitam atau mabuk lebih kuat dari ketika ia tidur. Maka jika tidur boleh menyebabkan batal wudhuk, maka lebih-lebih lagilah hilang akal.

4. Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan

Berlaku sentuhan kulit antara lelaki dan wanita yang bukan mahram membatalkan wudhuk berdalilkan firman Allah di dalam surah al-Maidah, ayat 6 (yang bermaksud); “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuhan dengan perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah debu yang bersih…”.

Menurut mazhab Syafi’ie, semata-mata berlakunya sentuhan dan tanpa berlapik, akan batallah wudhuk sama ada sentuhan dengan syahwat atau tidak. Mengikut mazhab Imam Abu Hanifah, bersentuhan tidak membatalkan wudhuk kecuali yang membabitkan alat kemaluan (yakni zakar dan faraj) iaitulah bersetubuh. Adapun semata-mata bersentuhan tidaklah membatalkan wudhuk. Mengikut mazhab Imam Ahmad dan Malik pula; bersentuhan antara lelaki dan perempuan hanya membatalkan wudhuk jika dengan merasai kelazatan atau dengan maksud merasai kelazatan. Adapun bersentuhan semata-mata tidaklah membatalkan wudhuk.

Perbezaan pandangan ulamak di atas berlaku berpunca dari perbezaan mereka dalam mentafsirkan ungkapan “أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء” (atau kamu bersentuhan dengan perempuan) dalam ayat di atas. Menurut Imam Syafi’ie, ia bermaksud bersentuhan secara mutlaknya. Imam Abu Hanifah pula mentafsir ayat ini dengan pandangan Ibnu Abbas yang berkata; maksud ayat di atas ialah jimak (persetubuhan). Imam Malik dan Ahmad pula mentafsir ayat di atas dengan sentuhan yang disertai syahwat. Pandangan mereka disokong oleh hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. mencium isteri-isterinya, kemudian baginda menunaikan solat tanpa mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Abu Daud, an-Nasai, Ahmad dan at-Tirmizi. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh. Lihat; Misykat al-Masabih, hadis no. 323). Hadis ini menunjukkan bahawa sentuhan biasa tidaklah membatalkan wudhuk. Jika tidak, sudah tentu Nabi akan mengambil wudhuk sebelum menunaikan solat selepas mencium isteri-isterinya tadi.

Adakah orang yang disentuh turut terbatal?

Menurut mazhab Syafi’ie dan Malik; “Kedua-dua yang menyentuh dan yang disentuh batal wudhuknya”. Menurut Imam Ahmad (dalam satu riwayat darinya); “Orang yang disentuh tidak batal wudhuknya”.

5. Menyentuh zakar atau faraj

Menyentuh zakar atau faraj dengan tangan tanpa berlapik akan membatalkan wudhuk. Ini adalah mazhab Syafi’ie dan Ahmad. Mereka berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa menyentuh zakarnya, janganlah ia menunaikan solat hinggalah ia mengambil wudhuk”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Busrah binti Safwan r.a.. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh). Yang dimaksudkan dengan zakar ialah batangnya sahaja, tidak termasuk dua kantung telurnya. Sepakat para ulamak menyatakan; tidak batal wudhuk dengan menyentuh dua kantung telur itu sekalipun tanpa berlapik.

Sentuhan yang membatalkan wudhuk ialah sentuhan dengan tangan. Sentuhan dengan anggota yang lain dari tangan tidak membatalkan wudhuk dan ini telah disepakati oleh sekelian ulamak. Menurut mazhab mazhab Syafi’ie, sentuhan tangan yang membatalkan wudhuk itu ialah dengan bahagian tapak tangan atau perut-perut anak jari dan tanpa berlapik. Adapun sentuhan dengan belakang tangan, tidaklah membatalkan wudhuk. Menurut mazhab Imam Ahmad, sentuhan tangan (tanpa berlapik) secara keseluruhannya membatalkan wudhuk sama ada dengan bahagian tapaknya atau belakangnya.

Menurut mazhab Imam Abu Hanifah; menyentuh zakar atau faraj tidak membatalkan wudhuk secara keseluruhannya. Mereka berdalilkan hadis dari Talq (طلق) bin ‘Ali r.a. yang telah bertanya Nabi s.a.w.; “Seorang lelaki telah menyentuh zakarnya. Adakah wajib atasnya mengambil wudhuk?”. Maka baginda menjawab; “Ia adalah sebahagian dari kamu” (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Menurut Ibnu Hibban; hadis ini adalah soheh dan disokong oleh al-Albani. Lihat; al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah Lil-Albani, hlm. 47). (Sebahagian ulamak –antaranya Ibnu Hibban, Ibnu ‘Arabi dan al-Hazimi- berpandangan; hukum dalam hadis ini telah dimansukhkan. Lihat; al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Wahbah Zuhaili).

Menurut pandangan Imam Malik pula; sentuhan yang membatalkan wudhuk ialah sentuhan dengan syahwat. Adapun sentuhan tanpa syahwat, tidaklah membatalkan wudhuk. Mereka memadankan antara dua hadis di atas; hadis pertama merujuk kepada sentuhan dengan syahwat dan hadis kedua pula merujuk kepada sentuhan tanpa syahwat. Pandangan ini disokong oleh Imam Ibnu Taimiyyah. (Lihat; al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah Lil-Albani, hlm. 48).

Adakah menyentuh zakar atau faraj orang lain juga membatalkan wudhuk?

Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; “Batal wudhuk sekalipun yang disentuh itu zakar/faraj anak kecil atau zakar/faraj orang yang telah mati”. Menurut Imam Malik; “Yang membatalkan wudhuk ialah menyentuh zakar/faraj orang dewasa. Adapun menyentuh zakar/faraj kanak-kanak, tidaklah membatalkan wudhuk”.

Orang yang disentuh zakar/farajnya, adakah wudhuknya turut terbatal?

Menurut Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; “Tidak batal wudhuknya”. Menurut Imam Malik; “Wudhuknya turut terbatal”.

Bagaimana pula dengan menyentuh dubur, adakah juga akan membatalkan wudhuk?

Menurut mazhab Syafi’ie dan Ahmad; “Menyentuh dubur (iaitu bahagian lingkaran lubangnya) membatalkan wudhuk”. Mereka mengkiaskan dubur kepada zakar/faraj kerana ia juga termasuk dalam erti kemaluan manusia”. Dalam hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa menyentuh farajnya, hendaklah ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Ummu Habibah r.a.). Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya at-Tahzib, mengikut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; “Perkataan al-Faraj digunakan untuk makna kemaluan hadapan (yakni zakar/faraj) dan juga dubur, sama ada bagi lelaki atau perempuan”. Pada pandangan Imam Malik, menyentuh dubur tidaklah membatalkan wudhuk.

6. Keluar najis dari badan

Keluar darah (sama ada darah bekam, darah hidung atau sebagainya), nanah atau air bisa (iaitu benda-benda yang dianggap najis) dari badan membatalkan wudhuk mengikut pandangan mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad sekalipun tidak melaui zakar/faraj atau dubur, dengan syarat yang keluar itu adalah banyak (mengikut Imam Ahmad) atau mengalir (mengikut Imam Abu Hanifah). Dalil mereka ialah sabda Nabi s.a.w.; “Berwudhuk (adalah wajib) bagi setiap darah yang mengalir” (Riwayat Imam Daruqutni dari Tamim ad-Dari r.a.. Menurut Imam Ibnu Hajar; hadis ini dhaif. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9680). Dalam hadis yang lain baginda bersabda; “Sesiapa muntah atau berdarah hidungnya atau meloya (hingga muntah penuh mulut) atau keluar mazi (ketika ia sedang mengerjakan solat), hendaklah ia keluar dari solatnya dan mengambil wudhuk, kemudian hendaklah ia menyambung (yakni meneruskan) solatnya dan janganlah ia bercakap-cakap” (Riwayat Ibnu Majah dari Aisyah r.a.. Menurut Imam Ahmad, hadis ini dhaif. Lihat; Bulughul-Maram, bab Nawaqid al-Wudhu’).

Namun mengikut pandangan mazhab Imam Syafi’ie dan Malik perkara tersebut tidaklah membatalkan wudhuk. Mereka berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. telah berbekam, kemudian baginda menunaikan solat tanpa mengambil wudhuk. Baginda hanya membasuh tempat bekamnya sahaja” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni. Menurut Imam Syaukani, hadis ini dhaif (Kitab at-Toharah, bab al-Aghsal al-Mustahabbah). Hadis ini menunjukkan bahawa keluar darah dari badan tidaklah membatalkan wudhuk.

7. Muntah

Muntah membatalkan wudhuk pada pandangan mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad jika muntah itu banyak atau hingga memenuhi mulut. Dalil mereka ialah sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa muntah atau berdarah hidungnya atau meloya (hingga keluar muntah penuh mulut) atau keluar mazi (ketika ia sedang mengerjakan solat), hendaklah ia keluar dari solatnya dan mengambil wudhuk, kemudian hendaklah ia menyambung (yakni meneruskan) solatnya dan janganlah ia bercakap-cakap” (Riwayat Ibnu Majah dari Aisyah r.a.. Menurut Imam Ahmad, hadis ini dhaif. Lihat; Bulughul-Maram, bab Nawaqid al-Wudhu’).

Namun menurut pandangan mazhab Imam Syafi’ie dan Malik, ia tidaklah membatalkan wudhuk. Mereka berdalilkan hadis riwayat Imam Daruqutni yang menceritakan; “Nabi s.a.w. telah muntah, namun baginda tidak mengambil wudhuk”. Dalam hadis lain dari Sauban r.a. menceritakan; “Aku bertanya Nabi s.a.w.; ‘Adakah wajib mengambil wudhuk kerana muntah?’. Jawab baginda; “Jika wajib tentu aku akan menemuinya di dalam kitab Allah” (Lihat hadis ini dalam; Nailul-Autar, Kitab at-Toharah, Abwab Nawaqidh al-Wudhu’).

8. Ketawa berdekah di dalam solat

Sepakat para ulamak menyatakan bahawa ketawa denagn berdekah (yakni hingga didengari orang orang berdekatan) ketika sedang solat akan membatalkan solat. Adakah ia juga turut membatalkan wudhuk? Menurut Imam Abu Hanifah; ketawa berdekah di dalam solat akan membatalkan wudhuk. Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w.; “Sesiapa yang ketawa hingga berdekah, hendaklah ia ulangi solat dan juga wudhuknya” (Riwayat Imam at-Tabrani dari Abu Musa al-Asy’ari. Menurut ulamak hadis; jalan-jalan periwayatan hadis ini sebahagiannya dhaif dan sebahagiannya mursal).

Menurut jumhur ulamak –termasuklah mazhab Syafi’ie, Maliki dan Imam Ahmad-, ketawa berdekah itu tidaklah membatalkan wudhuk kerana perkara yang jika berlakunya di luar solat tidak membatalkan wudhuk, tentunya jika berlaku di dalam solat juga tidak akan membatalkan wudhuk. Adapun hadis di atas, ia tidak dapat dijadikan hujjah kerana mursal.

9. Memakan daging unta

Ia membatalkan wudhuk mengikut mazhab Imam Ahmad dengan berdalilkan hadis dari Jabir bin Abdullah r.a. yang menceritakan; “Seorang lelaki telah bertanya Nabi s.a.w.; ‘Adakah saya perlu mengambil wudhuk selepas memakan dahing kambing?’. Jawab Nabi; ‘Jika kamu mahu ambillah wudhuk dan jika tidak mahu tidak payahlah mengambil wudhuk’. Ia bertanya lagi; ‘Adakah perlu saya mengambil wudhuk selepas memakan daging unta’. Jawab Nabi; ‘Ya’. Ia bertanya lagi; ‘Adakah harus saya menunaikan solat di kandang kambing?’. Jawab Nabi; ‘Ya’. Ia bertanya lagi; ‘Haruskan aku menunaikan solat di tempat berbaring unta (di sekitar air/telaga)’. Jawab Nabi; ‘Tidak harus’” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun di sisi mazhab-mazhab yang lain (Imam Malik, Syafi’ie dan Abu Hanifah), ia tidaklah membatalkan wudhuk. Berkenaan hadis tadi, mereka menjawab; maksud wudhuk di dalam hadis tadi ialah membasuh tangan dan mulut untuk tujuan kebersihan. Ini sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; “Nabi meminum susu. Kemudian baginda meminta air, lalu berkumur dan berkata; ‘Sesungguhnya ia berlemak’”. (Riwayat Imam Muslim).

10. Timbul syak atau keraguan

Menurut mazhab Imam Malik; jika seseorang itu syak atau ragu sama ada ia masih berwudhuk atau tidak, semata-mata timbulnya syak itu, maka batallah wudhuknya. Namun jumhur mazhab berpendapat; semata-mata syak atau ragu tidaklah membatalkan wudhuk sehinggalah diyakini benar-benar bahawa telah berlakunya perkara-perkara yang membatalkan wudhuk tadi, barulah wudhuk dikira batal. Pendapat jumhur ini bertepatan dengan hadis Nabi di mana ‘Ubbad bin Tamim meriwayatkan dari bapa saudaranya yang bertanya Nabi s.a.w. tentang seorang lelaki yang ragu-ragu semasa sedang solat; adakah keluar darinya punggungnya sesuatu atau tidak?. Nabi menjawab; “Janganlah ia keluar dari solatnya sehinggalah ia terdengar bunyi (kentut) atau mendapati keluar angin”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

11. Memandikan mayat.

Orang yang terlibat secara langsung memandikan mayat, batal wudhuknya menurut mazhab Imam Ahmad. Adapun mazhab-mazhab yang lain, ia tidak membatalkan wudhuk.

SEBAB-SEBAB HADAS BESAR

Apakah sebab terjadinya hadas besar?

Hadas besar terjadi kerana dua sebab;

1. Kerana berjunub

Seorang itu dikatakan berjunub dengan dua sebab;

(a) Kerana bersetubuh dengan pasangan (suami atau isteri) sama ada keluar mani atau tidak ketika persetubuhan itu. Semata-mata berlakunya persetubuhan iaitu masuknya zakar ke dalam faraj, maka dianggaplah seseorang itu berjunub sekalipun tidak keluar mani. Sabda Nabi s.a.w.; “Apabila seseorang telah duduk di antara empat cabang perempuan (yakni dua tangan dan dua kaki/pahanya), kemudian khitan (kemaluan) telah menyentuh khitan (kemaluan), maka wajiblah mandi”. Dalam satu riwayat disebutkan; “…sekalipun tidak keluar mani”. (Riwayat Imam Muslim dari Saidatina ‘Aisyah r.a.).

(b) Keluar mani dari kemaluan sama ada dengan sengaja (seperti mengeluarkan dengan tangan atau berkhayal) atau tidak sengaja (seperti bermimpi). Orang yang keluar mani dari kemaluannya ia dianggap berjunub dan wajib mandi berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Air (yakni mandi) adalah dari kerana air (yakni dari kerana keluar mani)” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.). Ummu Salamah r.a. telah menceritakan; “Pernah Ummu Sulaim datang dan bertanya kepada Nabi s.a.w.; ‘Adakah seorang perempuan wajib mandi jika ia bermimpi?’. Jawab Nabi s.a.w.; ‘Ya, jika ia melihat air (yakni air mani)’’ (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

2. Kerana kedatangan haid dan nifas

Wanita yang kedatangan haid dan nifas adalah berhadas besar dan wajib mandi apabila kering darahnya sebelum ia diharuskan menunaikan solat dan bersetubuh dengan suaminya. Ini berdalilkan ayat al-Quran (surah al-Baqarah, ayat 222) dan hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah bin Hubaiysh r.a. menghadapi masalah istihadhah. Lalu Rasululah s.a.w. berkata kepadanya; ‘Bila datang haid, tinggallah solat dan apabila ia berlalu (yakni tempoh haid kamu tamat), maka mandilah dan tunaikanlah solat” (Riwayat Imam al-Bukhari). Walaupun ayat dan hadis hanya menyebut tentang haid, namun dikiaskan kepadanya nifas kerana bifas adalah haid yang berkumpul. Telah ijmak para ulamak bahawa wanita yang nifas adalah umpama wanita yang haid dalam segenap hukum-hakamnya.

TEGAHAN-TEGAHAN SYARAK KE ATAS ORANG BERHADAS

Apakah tegahan-tegahan Syarak ke atas orang berhadas kecil (atau orang yang tidak berwudhuk)?

1. Mengerjakan solat

Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa orang yang tidak berwudhuk, haram mengerjakan solat sama ada solat fardhu, solat jenazah atau solat sunat. Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w.; “Allah tidak menerima solat seseorang dari kamu jika ia berhadas sehinggalah ia mengambil wudhu’” (Riwayat Imam Bukhari, at-Tirmizi dan Ahmad dari Abu Hurairah r.a.).

Termasuk dalam pengertian solat ialah sujud tilawah, sujud syukur dan khutbah Jumaat mengikut pandangan jumhur atau majoriti ulamak. Jadi wajib berwudhuk untuk melakukannya mengikut jumhur ulamak. Namun sebahagian ulamak –antaranya Imam Ibnu Hazm- tidak mewajibkan wudhuk untuk melakukan sujud. Menurut Ibnu Hazm; sujud Tilawah tidaklah dapat dianggap sebagai solat kerana yang dikatakan solat itu ialah yang mempunyai rakaat (iaitu satu atau dua rakaat), padahal membaca al-Quran tidaklah mempunyai rakaat. Oleh kerana ia bukan solat, maka harus dilakukan tanpa wudhuk. Malah harus dilakukan oleh orang berjunub dan wanita yang sedang haid dan nifas dan begitu juga, harus mengadap ke arah lain dari qiblat. Hukumnya sama seperti hukum berzikir, tidak ada beza antara keduanya. (al-Muhalla, 1/80).

2. Mengerjakan tawaf

Tidak harus tawaf melainkan dalam keadaan berwudhuk kerana sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya tawaf mengelilingi Baitullah (Kaabah) adalah solat. Maka apabila kamu mengerjakan tawaf, hendaklah mengurangkan bercakap” (Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasai). Dalam hadis ini, Rasulullah menyamakan tawaf dengan solat. Oleh demikian, diwajibkan berwudhuk untuk mengerjakan tawaf sebagaimana diwajibkan untuk solat.

3. Menyentuh mushaf al-Quran dan membawanya

Menurut jumhur ulamak, wajib berwudhuk untuk menyentuh mushaf al-Quran atau membawanya kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Jangan menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci” (Riwayat Imam at-Thabrani dari Ibnu ‘Umar r.a.. Menurut Imam al-Haithami; perawi-perawi hadis ini adalah tsiqah. Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9986). Sebahagian ulamak tidak mewajibkannya, yakni bagi mereka harus menyentuh mushaf al-Quran tanpa berwudhuk. Antara mereka ialah Ibnu ‘Abbas, ulamak-ulamak mazhab Zaidiyah dan Zahiriyah (termasuk Ibnu Hazm). Menurut mereka, maksud suci dalam hadis di atas ialah suci dari kufur. Jadi, maksud hadis tersebut menurut mereka; “Jangan menyentuh al-Quran melainkan orang beriman”.

Adapun untuk membaca atau melihat sahaja tanpa menyentuhnya, tidaklah diwajibkan berwudhuk. Hukum ini disepakati oleh sekelian ulamak. Begitu juga, para ulamak mengharuskan kanak-kanak menyentuh al-Quran tanpa wudhuk untuk tujuan belajar kerana ia belum mukallaf. Namun yang afdhal ialah menyuruhnya mengambil wudhuk.

Apakah tegahan-tegahan Syarak ke atas atas orang yang berjunub?

Ditegah ke atas orang berjunub segala tegahan terhadap orang yang berhadas kecil tadi dengan ditambah dua lagi tegahan, iaitu;

1. Membaca al-Quran

Diharamkan ke atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Tegahan ini disepakati oleh jumhur ulamak termasuk imam-imam mazhab empat iaitu Abu Hanifah, Malik, Syafi’ie dan Ahmad. Mereka berdalilkan hadis dari Saidina ‘Ali r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. sentiasa membaca al-Quran. Tidak ada sesuatu yang menghalangnya dari membaca al-Quran kecuali kerana jnub” (Riwayat al-Hakim, Ibnu Majah dan Ahmad. Hadis ini telah ditashihkan oleh al-Hakim). Mengikut riwayat at-Tirmizi, hadisnya berbunyi; “Rasulullah s.a.w. membaca kepada kami al-Quran pada setiap keadaan selama baginda tidak berjunub” (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Saidina ‘Ali r.a.. Berkata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh) Saidina ‘Ali pernah ditanya berkenaan seorang berjunub membaca al-Quran. Ia menjawab; “Tidak harus sekalipun satu huruf”. Adapun melihat kepada al-Quran atau membacanya dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), ia tidaklah ditegah.

Namun larangan membaca al-Quran tersebut dikecualikan bagi yang dibaca dengan niat doa, memuji Allah, membuka majlis, mengajar, memohon perlindungan Allah dan berzikir. Contohnya; membaca Bismillah sebelum memulakan sesuatu, membaca “al-Hamdulillah” untuk bersyukur kepada Allah, membaca zikir ketika menaiki kenderaan dan sebagainya. Terdapat pandangan dari Imam Malik mengharuskan wanita haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.

Terdapat ulamak-ulamak yang menganggahi pandangan jumhur ulamak di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhanya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berzikir kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (Riwayat Imam Muslim). Membaca al-Quran termasuk di dalam pengertian zikir.

2. Berhenti/menetap/beriktikaf di dalam masjid

Diharamkan ke atas orang berjunub untuk berhenti atau duduk di dalam masjid termasuklah beriktikaf berdalilkan firman Allah dalam surah al-Nisa’, ayat 43 (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan, dan begitu juga (jangan hampiri tempat solat, iaitu masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci…”. (an-Nisa’: 43). Begitu juga, berdalilkan sabda Nabi; “Sesungguhnya tidak halal (yakni tidak harus) masjid bagi wanita haid dan orang berjunub” (Riwayat Imam al-Baihaqi, Abu Daud dan Ibnu Majah dari Aisyah r.a.. Kata al-Baihaqi; hadis ini soheh. Namun menurut Imam Ibnu Kathir di dalam tafsirnya; Telah berkata Imam al-Khattabi; “Hadis ini telah didhaifkan oleh sekumpulan ulamak hadis”).

Diharuskan jika sekadar melalui/melintas (contohnya dari satu pintu ke satu pintu yang lain) sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam ayat di atas; “….kecuali kamu hendak melintas sahaja…”. Menurut mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Malik; keharusan melintas itu adalah secara keseluruhannya sama ada kerana keperluan atau saja-saja. Cuma bagi wanita yang kedatangan haid dan nifas, keharusan melintasi tersebut terikat dengan syarat tidak bimbang akan mencemarkan masjid. Maksudnya, jika ia khuatir semasa melintasi masjid itu darahnya akan menitis keluar, ditegah ia melintasi ruang masjid. Bagi Imam Abu Hanifah; tidak harus melintas kecuali kerana tidak ada jalan lain dan ia hendaklah mengambil wudhuk terlebih dahulu, kemudian baru melintas. Menurut Imam Ahmad; harus melintas jika ada hajat atau keperluan sahaja. Kalau tidak ada sebarang hajat atau keperluan, tidak harus melintas. Selain itu, Imam Ahmad berpendapat; orang yang berjunub harus duduk di dalam masjid jika ia mengambil wudhuk. Ia berdalilkan kepada riwayat A’tho’ bin Yasar (seorang Tabi’in) yang menceritakan; “Aku telah melihat beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w.; mereka duduk di dalam masjid sedangkan mereka berjunub apabila mereka telah mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk menunaikan solat”.( Lihat Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 43. Berkata Imam Ibnu Kathir; riwayat ini sanadnya adalah soheh mengikut syarat Imam Muslim). Bagi ulamak-ulamak yang lain, pengharaman tersebut tidak terangkat melainkan dengan mandi wajib. Adapun wudhuk ia tidak memberi kesan kepada pengharaman tersebut.

Pengharaman di atas adalah pandangan jumhur ulamak. Terdapat juga ulamak-ulamak yang tidak bersetuju dengan pandangan jumhur tersebut, antara mereka Imam al-Muzani, Daud az-Zahiri dan Ibnu al-Munzir. Bagi mereka; harus orang yang berjunub untuk menetap di dalam masjid secara mutlaknya, yakni tidak diharamkan. Mereka berdalilkan sabda Nabi s.a.w. yang menegaskan; “Seorang muslim tidaklah najis” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Imam al-Muzani berhujjah; “Orang musyrik diharuskan duduk di dalam masjid, maka orang muslim lebih utama diharuskan”. Hujjah mereka juga; “Asal hukum duduk di dalam masjid ialah harus hinggalah ada dalil yang kuat mengharamkanya. Dalil-dalil pengharaman yang dikemukakan oleh jumhur ulamak tadi semuanya lemah, tidak kuat”. Adapun ayat di atas, ia tidak bermaksud “menghampiri tempat solat, yakni masjid” tetapi “menghampiri solat itu sendiri” sebagaimana di awal ayat. Ungkapan “عابري سبيل” pula bukan bermaksud “orang-orang yang melintasi jalan” sebagaimana tafsiran jumhur di atas, tetapi bermaksud “orang-orang yang bermusafir”. Kesimpulannya, bagi pandangan kedua ini, ayat tersebut bermaksud; “Dan janganlah orang-orang yang berjunub menghampiri solat (yakni mengerjakannya) kecuali bagi orang-orang yang bermusafir (yang berjunub semasa musafirnya dan ia tidak menemui air untuk mandi, maka hendaklah ia mengerjakan solat dengan bertayammum hinggalah ia menemui air)”. (Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nisa’, ayat 43).

Apakah perkara-perkara yang dimakruhkan ke atas orang berjunub?

1. Tidur sebelum membasuh kemaluan dan mengambil wudhuk

Dimakruhkan ke atas orang berjunub tidur sebelum membasuh kemaluannya dan mengambil wudhuk. Ibnu Umar r.a. pernah bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Adakah harus seseorang dari kami tidur dalam keadaan ia berjunub?”. Baginda menjawab; “Ya, jika ia mengambil wudhuk” ( Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim). Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan; “Adalah Nabi s.a.w. jika ia hendak tidur semasa ia sedang berjunub, ia akan membasuh kemaluannya dan mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk solat” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

2. Makan atau minum kecuali setelah mengambil wudhuk terlebih dahulu.

Terdapat hadis menjelaskan; “Adalah Rasulullah s.a.w. semasa ia berjunub jika ia hendak makan atau minum, beliau akan mengambil wudhuk sebagaimana wudhuk untuk solat” (Riwayat Imam Muslim). Ammar bin Yasir r.a. menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. memberi kelonggaran kepada orang berjunub jika ia hendak makan atau minum atau tidur asalkan ia mengambil wudhuk” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi. Berkata Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh).

3. Kembali bersetubuh

Orang yang berjunub makruh untuk kembali bersetubuh (sama ada dengan isteri yang sama atau isteri yang lain) kecuali setelah mengambil wudhuk terlebih dahulu. Diriwayatkan oleh Abi Sa’id al-Khudri r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda; “Jika seseorang dari kamu telah mendatangi isterinya (yakni mensetubuhinya) kemudian ia ingin kembali bersetubuh, hendaklah ia mengambil wudhuk di antara keduanya (yakni di antara dua setubuh itu)” (Riwayat Imam Muslim).

Apakah tegahan-tegahan Syarak ke atas wanita yang kedatangan haid dan nifas?

Segala tegahan ke atas orang yang berhadas kecil dan berjunub di atas, juga ditegah wanita yang kedatangan haid dan nifas melakukannya. Selain itu, ditambah dua tegahan lagi iaitu;

1. Puasa

Wanita yang sedang haid dan nifas ditegah berpuasa termasuklah puasa Ramadhan. Jika darah haid atau nifas itu datang ketika ia sedang berpuasa, batallah puasanya. Abu Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. telah bertanya kaum wanita; “Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian seorang lelaki?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya akal wanita”. Baginda bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lantas berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.). Bagi puasa Ramadan, wajib ia menggantinya pada bulan yang lain.

2. Bersetubuh dan beristimta’ dengan suami pada batasan antara pusat hingga lutut

Haram seorang lelaki mensetubuhi isterinya pada farajnya ketika ia sedang haid atau nifas. Pengharaman ini disepakati oleh sekelian ulamak berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. (al-Baqarah; 222) Pengharaman mensetubuhi isteri yang kedatangan haid dan nifas ini berterusan hinggalah selepas mandi wajib. Jika darah haid atau nifas telah kering, namun belum dilakukan mandi wajib, tidak harus suami mensetubuhinya. Kesimpulannya, suami hendaklah menunggu hingga isterinya mandi wajib barulah ia harus mensetubuhinya.

Begitu juga, haram beristimta’ (berseronok) dengannya pada kawasan di antara pusat dengan lutut sekalipun tanpa bersetubuh mengikut pandangan jumhur ulamak termasuklah Imam Abu Hanifah, Malik dan Syafi’ie. Menurut sebahagian ulamak (antaranya Imam Ahmad); yang diharamkan hanyalah mensetubuhi farajnya sahaja. Adapun beristimta’ sahaja (tanpa bersetubuh), tidaklah diharamkan termasuklah di kawasan antara pusat dan lutut, cuma dimakruhkan sahaja di kawasan tersebut. Pandangan kedua ini berdalilkan hadis dari Anas r.a. yang menceritakan; “Orang-orang Yahudi apabila isteri mereka kedatangan haid, maka mereka tidak akan makan bersamanya, maka Nabi s.a.w. bersabda kepada orang-orang beriman; “Buatlah apa sahaja (dengan isteri kamu yang haid) kecuali nikah (yakni jimak atau bersetubuh)” (Riwayat Imam Muslim). Adapun beristimta’ dengannya pada bahagian lain dari kawasan antara pusat dan lutut atau sekadar mencium, memeluk, menyentuh atau sebagainya, hukumnya adalah harus dan halal dengan sepakat para ulamak.

3. Dijatuhkan talak ke atasnya

Diharamkan suami menjatuhkan talak ke atas isterinya semasa ia sedang haid atau nifas kerana ia akan memanjangkan iddah. Tegahan ini berdalilkan hadis dari Abdullah bin Umar r.a. yang menceritakan bahawa dia telah menceraikan isterinya semasa isterinya sedang haid. Lalu bapanya (iaitu Saidina Umar r.a.) mengadu kepada Rasulullah s.a.w.. Rasulullah lalu berkata kepada Umar; “Perintahkan Abdullah supaya rujuk kembali isterinya. Kemudian jika ia mahu ceraikan isterinya itu apabila ia telah bersih dari haidnya atau ketika dia hamil” (Riwayat al-Jamaah kecuali Imam al-Bukhari dari Ibnu Umar).

Perhatian;

Semua tegahan Syarak ke atas wanita haid atau nifas tidak terangkat kecuali setelah ia mandi wajib melainkan tiga tegahan sahaja iaitu;
a) Puasa
b) Talak
c) Melintasi masjid.

Ketiga-tiga larangan di atas terangkat sebaik sahaja kering darah haid atau nifas, iaitu tidak disyaratkan selepas mandi barulah perkara-perkara tersebut boleh dilakukan. Adapun tegahan-tegahan yang lain (iaitu solat, memegang al-Quran, membacanya, tawaf, bersetubuh dengan suami dan sebagainya) tidak terangkat melainkan setelah mandi wajib.

Categories: Fiqh'