Maulana Muhammad Asri Yusuf
1. Pengenalan
Banyak sekali terdapat dalam kitab-kitab tasauf, sirah dan maulid kenyataan yang menunjukkan bahawa kejadian pertama alam semesta ini adalah Nur Muhammad. Kenyataan seperti ini telah menimbulkan banyak pula fahaman-fahaman lain berhubung dengan Rasulullah s.a.w seperti Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai bayang, tergila-gilanya perempuan-perempuan kepada ayahanda Nabi s.a.w. ketika Nur Muhammad dikatakan memancar di dahinya sampai membawa mereka mati dan sebagainya.
Ia juga mendekatkan kepada konsep Nur Panjthan (Nabi Muhammad, Ali, Fatimah, Hasan dan Husain) yang dikatakan berlegar-legar mengelilingi arasy sebelum kejadian alam semesta selama 50,000 tahun mengikut ajaran Syiah. Ia juga merupakan punca kesesatan golongan Barelwi yang mempercayai bahawa Nabi Muhammad bukannya seorang manusia biasa dari segi kejadian asalnya tetapi kejadiannya berbeza dari yang lain kerana ia adalah Nur yang terpancar daripada nur Allah. Untuk ini banyak sekali ayat-ayat Al-Quran ditakwilkan dengan sewenang-wenangnya dan banyak pula hadis-hadis yang sahih diketepikan atau diabaikan langsung.
Walaupun pengarang kitab-kitab sirah dan maulid dan juga pengarang-pengarang kitab-kitab tasauf itu mengemukakan riwayat tentang Nur Muhammad tetapi tidak pula mereka menyatakan sanadnya, di samping tidak diketahui langsung punca-puncanya yang boleh dipertanggungjawabkan. Kalaupun ada hanya satu hadis yang dikatakan telah dikemukakan oleh Abdul Razak dalam “Musannaf”nya, InsyaAllah akan diterangkan kemudian. Tetapi anehnya banyak lagi perincian yang tidak terdapat di dalam hadis Abdul Razak itu tentang Nur Muhammad dapat kita lihat dalam riwayat-riwayat yang dikemukakan mereka. Sebagai contohnya, dapat kita lihat pada muka surat pertama lagi daripada kitab “Madariju As-Suud” karangan Muhammad Nawawi Bantan, syarah kepada kitab Maulid Nabawi karangan Syed Jaafar yang lebih dikenali sebagai “Al Barzanji”. Kitab tersebut dibuka dengan puji-pujian kepada Allah yang telah memulakan wujud ini dengan Nur Muhammad yang meresap dalam segala perkara yang ditakdirkan Allah sebelum diciptanya langit dan bumi selama 50,000 tahun.
2. Nur Muhammad Versi Ka’bul Akhbar
Kata Ka’bul Akhbar, “Bila Allah hendak menjadikan sekelian maujudat dengan merendahkan bumi dan meninggikan langit-langit, maka Dia menggenggam satu genggaman daripada NurNya. Diapun berkata kepada segenggam NurNya itu, “Jadilah engkau Muhammad”. Maka iapun menjadi satu tiang daripada Nur yang berkilau-kilau sampai daripada hijab kegelapan lalu Nur itupun bersujud seraya berkata “Segala puji bagi Allah”. Maka Allah berfirman, “Untuk itulah Kuciptakan engkau dan Kunamakan engkau Muhammad. Daripadamulah Aku memulakan kejadian makhluk ini dan denganmulah Aku menyudahi Rasul-Rasul”. Kemudian sesungguhnya Allah membahagikan NurNya itu kepada 4 bahagian pula. Daripada bahagian pertama dijadikanNya Lauh (Luh Mahfuz), daripada yang kedua dijadikan nya Qalam. Kemudian Allah berfirma kepada Qalam, “Tulislah”. Maka menggeletarlah Qalam itu selama 1,000 tahun justeru hebatnya perintah Allah kepadanya itu. Kemudian Qalam berkata, “Apakah yang perlu kutulis? Allah berfirman, “Tulislah Laailaha illallah Muhammadun Rasulullah”. Maka Qalam itu pun menulislah apa yang diperintahkan dan setelah itu ia mengikut ilmu Allah (dengan menulis) berhubung dengan makhlukNya.
Qalam menulis, “Wahai anak-anak Adam daripada sulbinya! Sesiapa yang taat kepada Allah akan dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka kepada Allah akan dimasukkanNya ke dalam neraka. Wahai ummat Nuh! Sesiapa yang taat kepada Allah akan dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka akan dimasukkanNya ke dalam neraka. Wahai ummat Ibrahim! Sesiapa yang taat kepada Allah akan dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka akan dimasukkanNya ke dalam neraka. Wahai ummat Musa! Sesiapa yang taat kepada Allah akan dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka akan dimasukkanNya ke dalam neraka. Wahai ummat Muhammad! Sesiapa yang taat kepada Allah akan dimasukkanNya ke dalam syurga dan sesiapa yang derhaka kepada Allah…..” Qalam sudah hampir menulis akan dimasukkanNya ke dalam neraka tiba-tiba terdengar seruan daripada Tuhan Yang Maha Tinggi, “Wahai Qalam! Beradablah”. Maka pecahlah Qalam itu kerana kehebatan Allah dan tertulis noktah dengan tangan Qudrat . Kerana itulah pada kebiasaannya setiap qalam tidak menulis melainkan dalam keadaan terpecah-pecah dan berbintik-bintik dan tuhanpun berkata kepadanya, “Tulislah ummat yang berdosa dan Tuhan Yang Pengampun”.
Kemudian daripada bahagian yang ketiga daripada Nur Muhammad itu Allah menjadikan arasy. Bahagian keempat pula dibahagikan kepada empat bahagian. Yang pertama daripadanya dijadikan Akal dan yang kedua dijadikan Ma’rifat dan yang ketiga dijadikan Nur Arasy, Cahaya Penglihatan dan Cahaya Siang. Semua Nur-Nur ini adalah daripada Nur Muhammad. Oleh itu Nur Muhammad adalah makhluk yang terawal dari segala-galanya yang dijadikan Tuhan.
Sementara bahagian yang keempat daripada empat bahagian itu pula disimpan di bawah arasy sehingga Allah `Azzawajalla menjadikan Adam dan diperintahkan malaikat supaya bersujud kepadanya.
Adam dimasukkan ke dalam syurga, ketika itu malaikat berdiri di bahagian belakang Adam bersaf-saf. Mereka memandang kepada Nur Muhammad lalu berkatalah Adam, “Wahai Tuhan! Kenapakah malaikat ini berdiri di belakangku bersaf-saf?” Allah berkata, “Wahai Adam! Mereka memandang kepada Nur Kekasihku (Muhammad) penyudah sekelian Rasul yang akan Ku keluarkan daripada belakangmu.” Berkatalah Adam, “Wahai Tuhan! Letakkanlah Nur itu di sebelah hadapanku supaya malaikat mengadapku.” Maka Allahpun meletakkannya di dahinya. Pada ketika itu para malaikat pun berdiri mengadap wajah Adam lalu Adam pun berkata “Wahai Tuhan! Letakkanlah Nur ini di suatu tempat yang dapat aku melihatnya”. Maka Allahpun meletakkan Nur Muhammad itu di jari telunjuknya.
Adam melihat kepada kecantikan Nur itu, maka bertambah-tambahlah kecantikan dan serinya. Adam mendengar Nur itu bertasbih dengan tasbih yang agung. Kemudian Nur itu berpindah daripada Adam kepada Hawa. Adam melihat Nur itu pada wajah Hawa bagai matahari yang bersinar-sinar. Kemudian Hawa melahirkan Rasul yang mula-mula daripada anak Adam iaitu Syith. Maka hilanglah Nur itu daripada wajah Hawa, berpindah pulalah ia kepada Syith. Adam meminta kepada Syith agar tidak diletakkannya Nur itu melainkan pada perempuan-perempuan yang suci.
Kemudian terus berpindah-pindahlah Nur itu daripada seorang lelaki mulia kepada seorang lelaki mulia yang lain dan daripada seorang perempuan yang suci kepada seorang perempuan suci yang lain hinggalah ia sampai kepada sulbi Abdullah bin Abdul Mutalib. Kemudian Allah mengeluarkannya ke dunia lalu dijadikanNya penghulu sekelian Rasul dan penyudah sekelian Nabi, dijadikannya rahmat kepada sekelian alam dan pemimpin kepada orang-orang yang bertuah.
3. Nur Muhammad Versi Syeikh Zainal Abidin Al-Fathaani
Contoh yang kedua pula dapat kita lihat di dalam kitab – kitab seperti “Daqaa’iqu Al Akhbar Fi Zikri Al Jannati Wa An Nar” karangan Abdul Rahim bin Ahmad Al Qadhi, “Kasyfu Al Ghaibiah” sebuah kitab jawi karangan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al Fathaani dan lain – lain di mana disebutkan di dalam helaian pertamanya lagi tentang kejadian Nur Muhammad itu tetapi ia jauh berbeza daripada apa yang terdapat di dalam kitab “Madariju As Su’ud” tadi , begini bunyinya ;
Bab Yang Pertama Pada Menyatakan Kejadian Ruh Agung Iaitu Nur Penghulu Kita Dan Nabi Kita Muhammad s.a.w.
Tersebut di dalam hadis bahawasanya Allah telah menjadikan satu pohon kayu yang mempunyai empat dahan . Pohon kayu itu dinamakan “Syajaratu Al Muttaqin.” Dalam sesetengah riwayat tersebut “ Syajaratu Al Yaqin “ . Kemudian Ia menjadikan Nur Muhamamd di dalam hijab daripada permata yang sangat putih seperti rupa burung merak dan diletakkan burung merak itu di atas pohon tadi, maka bertasbihlah Nur itu di atas pohon tadi selama 70,000 tahun .
Setelah itu Allah menjadikan cermin malu, diletakkan cermin itu berhadapan dengannya . Bila burung merak itu menilik dirinya di dalam cermin itu , dilihatnya rupanya sangat cantik dan sangat elok . Maka malulah ia kepada Allah Taala lalu berpeluh dan bertitiklah daripadanya enam titik peluh .
Daripada titik yang pertama Allah jadikan ruh Abu Bakr ra. Dan daripada titik yang kedua dijadikan ruh Umar ra . Daripada titik yang ketiga dijadikan ruh Utsman ra . Dan daripada titik yang keempat dijadikan ruh Ali ra . Daripada titik yang kelima dijadikan pokok bunga ros dan daripada titik yang keenam dijadikan padi.
Setelah itu bersujudlah Nur Muhammad itu sebanyak lima kali. Lima kali sujud itu merupakan fardhu yang ditentukan oleh Allah swt berupa sembahyang lima waktu ke atas Nabi Muhammad dan ke atas ummatnya.
Kemudian Allah menilik pula kepada Nur itu, maka berpeluhlah ia kerana malu kepada Allah. Daripada peluh hidungnya Allah menjadikan malaikat, daripada peluh mukanya Allah menjadikan arasy, qursi, lauh, qalam, matahari, bulan, hijab, segala bintang dan segala sesuatu yang terdapat di langit. Daripada peluh dadanya Allah menjadikan sekelian nur Rasul, sekelian ulamak, syuhada’ dan solihin. Daripada peluh belakangnya Allah menjadikan Baitul Ma’mur, Ka’bah, Baitul Maqdis dan segala tapak masjid di dunia ini.
Daripada peluh dua keningnya itu Allah menjadikan ummat Nabi Muhammad, daripada sekelian mukmin lelaki dan perempuan. Daripada peluh dua telinganya Allah menjadikan segala ruh Yahudi, Nasrani, Majusi dan seumpamanya daripada mulhid, kafir dan munafiqin. Daripada peluh dua kakinya Allah menjadikan segala bumi daripada Masyrik dan Maghrib dan segala apa yang ada di dalamnya.
Kemudian Allah berfirman kepada Nur, “Perhatikanlah di sebelah hadapanmu wahai Nur Muhammad!” Apabila ia memerhatikan tiba-tiba ia melihat di sebelah hadapan dan belakangnya dan di sebelah kanan dan kirinya nur semata-mata. Nur-nur itu adalah Abu Bakr, Umar, Usman dan Ali. Nur-nur itu kemudiannya bertasbih selama 70,000 tahun. Kemudian Allah menjadikan nur para Nabi daripada Nur Muhammad. Allah menilik kepada Nur Muhammad maka dijadikanNya daripada Nur itu ruh-ruh mereka itu yakni dijadikan ruh sekelian Nabi itu daripada peluh Nur Muhammad saw. Daripada peluh ruh-ruh para Nabi itu dijadikan ruh-ruh ummat mereka dan dijadikan ruh orang-orang mukmin dari kalangan ummat Muhammad daripada peluh Nabi Muhammad. Maka mengucaplah sekelian mereka ‘Laaila ha illallah Muhammadun Rasulullah”.
Kemudian Allah menjadikan “qandil” daripada “aqiaq” yang merah. Bahagian luarnya dapat dilihat daripada dalamnya. Kemudian Allah menjadikan rupa Muhammad itu seperti rupanya di dalam dunia ini.
Lalu diletakkan di dalam qandil itu. Maka berdirilah ia di dalam qandil itu seperti berdirinya di dalam sembahyang dan ruh-ruh para Nabi dan lain-lain mengelilingi qandil Nur Muhammad itu. Mereka semua bertasbih dan bertahlil selama 100,000 tahun.
Kemudian Allah memerintahkan supaya tiap-tiap ruh itu menilik Nur Muhammad itu. Ada di antaranya melihat kepalanya maka jadilah ia khalifah dan sultan antara sekelian makhluk, di antara mereka ada yang melihat dua matanya maka jadilah ia hafiz bagi kalam Allah . Di antara mereka ada yang melihat dua keningnya maka jadilah ia pelukis. Di antara mereka ada yang melihat dua telinganya maka jadilah ia orang yang mendengar dan patuh. Di antara mereka ada yang melihat dua pipinya maka jadilah ia orang yang berbuat baik dan berakal. Di antara mereka ada yang melihat dua bibir mulutnya maka jadilah ia pembesar-pembesar di sisi raja. Di antara mereka ada yang melihat hidungnya maka jadilah ia pujangga, doktor dan penjual wangi-wangian . Di antara mereka ada yang melihat mulutnya maka jadilah ia orang yang berkuasa. Di antara mereka ada yang melihat kakinya maka jadilah ia orang rupawan sama ada lelaki atau perempuan. Di antara mereka ada yang melihat akan lidahnya maka jadilah ia utusan raja-raja. Di antara mereka ada yang melihat halkumnya maka jadilah ia penasihat dan muazzin (tukang azan). Di antara mereka ada yang melihat janggutnya maka jadilah ia orang yang berjuang “fi sabilillah.”
Di antara mereka ada orang yang melihat tengkoknya maka jadilah ia saudagar. Di antara mereka ada yang melihat dua lengannya maka jadilah ia orang yang pandai bermain kuda dan pedang. Di antara mereka ada yang melihat lengan kanannya maka jadilah ia tukang berbekam. Di antara mereka ada yang melihat lengan kirinya maka jadilah ia orang yang jahil. Di antara mereka ada yang melihat tapak tangan kanannya maka jadilah ia penjual emas dan perak dan tukang sukat. Di antara mereka ada yang melihat tangan kirinya maka jadilah ia orang yang pandai menyukat. Di antara mereka ada yang melihat dua tangannya maka jadilah ia orang yang pemurah dan terpuji. Di antara mereka ada yang melihat belakang tapak tangannya yang kiri maka jadilah ia orang yang bakhil. Di antara mereka ada yang melihat belakang tapak tangannya yang kanan maka jadilah tukang masak. Di antara mereka ada yang melihat ruas-ruas anak jari yang kiri maka jadilah ia juru tulis. Di antara mereka ada yang melihat anak-anak jari yang kiri maka jadilah ia tukang jahit. Di antara mereka ada yang melihat segala anak-anak jari yang kiri maka jadilah ia tukang besi. Di antara mereka ada yang melihat dadanya maka jadilah ia orang yang `alim, mulia dan mujtahid. Di antara mereka ada yang melihat belakangnya maka jadilah ia orang yang tawadhu’ dan taat mengikut syara’. Di antara mereka ada yang melihat dua lambungnya maka jadilah ia orang yang berperang fi sabilillah. Di antara mereka ada yang melihat perutnya maka jadilah ia orang yang bersifat qana’ah dan zahid. Di antara mereka ada yang melihat dua lututnya maka jadilah ia orang yang ruku’ dan orang yang sujud. Di antara mereka ada yang melihat dua kakinya maka jadilah ia orang yang pandai berburu. Di antara mereka ada yang melihat dua tapak kakinya maka jadilah ia orang yang berjalan. Di antara mereka ada yang melihat bayang-bayangnya maka jadilah ia penyanyi dan pemain gendang.
Di antara mereka ada yang tiada melihat sesuatu daripadanya maka jadilah ia Yahudi dan Nasrani atau kafir dan musyrik atau Majusi. Di antara mereka ada yang tiada langsung melihatnya maka jadilah ia orang yang mendakwa ketuhanan seperti Fir’aun dan lainnya daripada orang kafir”.